Hadis Pilihan

Alhamdulillah hari ini kita berkongsi satu hadis yang diriwayatkan oleh saidatina Aisyah r.a
yang bermaksud:
"Saya mendengar Nabi saw bersabda: "Ruh itu bagai tentera yang berbaris. Mana yang bersesuaian berdampinganlah dia dan mana yang bertentangan berjauhanlah dia."

Kadang-kadang kita terfikir mengapa susahnya untuk kita berdampingan dengan seseorang?, mengapa orang lain mudah saja mendapat kawan?, apakah kekurangan kita dalam persahabatan?, apakah kita tidak pandai melayan orang lain sehingga begitu susah untuk mendapat sahabat ataupun orang untuk didampingi serta pelbagai lagi persoalan tentang hubungan sesama manusia.

Jadi bila membaca hadis ini kita akan lebih tenang kerana kita dapat memahami bahawa Rasulullah saw pernah menjelaskan tentangnya dalam hadis di atas. Jadi redhalah dengan apa yang berlaku kepada kita.

Sebagaimana kita fahami bahawa setiap insan memiliki roh dan jasad, sekiranya roh kita bersesuaian dengan orang yang kita temui maka kita akan senang berdampingan dengannya dan begitulah sebaliknya.

Jadi kita faham bahawa setiap hubungan yang terjalin bukan sekadar hubungan jasad, malah ia melibatkan hubungan roh, sekiranya jasad kita menginginkan hubungan terjalin akan tetapi roh kita tidak bersesuaian, maka kita tidak akan dapat berdampingan dengan insan tersebut.

Teringat ilmu yang pernah dipelajari tentang manusia, yang mana kita mempunyai tenaga seolah-olah kita adalah magnet yang mampu menarik antara satu sama. Magnet inilah yang mesti sentiasa dijaga agar sentiasa dapat menarik insan lain kepada kita. Cara penjagaan magnet ini ialah dengan menyejukkannya, sekiranya dipanaskan magnet akan hilang kuasa tarikannya.

Begitu juga manusia, sedar tidak sedar Rasulullah saw telah mengajar kita pelbagai cara untuk menyejukkan diri. Dengan menyejukkan diri kita akan dapat menguatkan tenaga magnet kita. Dalam masa yang sama mengingatkan kita agar tidak melakukan perbuatan yang akan memanaskan magnet kita ini seperti marah, buruk sangka serta pelbagai lagi akhlak buruk. Begitu juga kita diajar menjaga pemakanan kerana sekiranya perut kita panas, magnet kita juga akan menjadi lemah.

Apabila magnet kita telah kuat, maka kita akan mampu menarik insan-insan lain yang mempunyai magnet yang kuat seperti kita. Begitu juga sekiranya magnet kita lemah maka kita akan menarik insan-insan yang mempunyai magnet yang lemah. Subhanallah.

Itulah yang dapat kita lihat disekeliling kita sekarang, yang mana setiap orang berkawan dengan insan yang sepertinya, yang baik berkumpul sesama mereka, manakala yang buruk berkumpul sesama mereka. Orang yang buruk akhlaknya walaupun dijemput untuk menyertai orang-orang baik tetap akan menolak, pelbagai alasan yang akan diberikan oleh mereka untuk menjauhi golongan baik.

Itulah hakikatnya...begitu senang untuk mengumpulkan manusia untuk menghadiri konsert hiburan tetapi amat berat untuk mengumpulkan mereka untuk menghadiri majlis ilmu. Apakah ini bermakna terdapat ramai insan yang memiliki magnet yang lemah hari ini?

Namun begitu kita tidak boleh berputus asa dengan keadaan ini, malah kita digalakkan agar sentiasa beristigfar kerana istigfar yang kita amalkan akan dapat menyejukkan sebahagian orang yang panas ini, yang akhirnya akan berubah menjadi sejuk insya Allah. Dengan itu rohnya akan dapat disesuaikan dengan roh kita, dan kita akan dapat berkumpul dengannya. Inilah yang dianjurkan kepada kita untuk melakukannya apabila kita dapati pasangan kita tidak sehaluan dengan kita. Moga dengan itu rohnya boleh berdampingan dengan kita insya Allah.

Roh yang berbaris ini pula boleh diperkuatkan lagi dengan menghadiri pelbagai program yang diajar kepada kita seperti solat jamaah, menghadiri majlis ilmu, ziarah-menziarahi serta pelbagai lagi ajaran Islam. Namun sekiranya ia tinggal bersendirian, walau sekuat manapun ruh dia akhirnya akan menjadi lemah. Itulah sebabnya Rasulullah menyuruh kita menjaga hablun minnas, agar kita menjadi kuat.

Sesungguhnya memang banyak ilmu yang telah diajar oleh Rasulullah saw kepada kita, namun kita jarang berfikir mengenainya. Moga Ramadhan kali ini kita lebih memahami hakikat diri kita, serta berusaha untuk lebih menguatkan ruh kita. Moga dengan itu kita akan dapat berdampingan dengan insan-insan yang bersesuaian dengan kita insya Allah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016