Menulis Lagi...

Alhamdulillah kerana dapat menulis lagi di sini walaupun terpaksa menghadapi masalah laptop merajuk. Almaklumlah ditinggalkan dua bulan lebih tanpa sesiapapun menggunakannya. Bila start je terus keluar mesej mesti di boot balik. Alamak...namun begitu alhamdulillah masih mampu digunakan semula walaupun bermasalah. Laptop yang menjadi teman semasa bekerja dulu, masih setia memberi khidmat buat diri ini.

Bila membaca balik beberapa tajuk yang pernah difikirkan dulu, terasa perlunya tulisan tersebut diolah semula terutama setelah melalui pelbagai pengalaman bergaul dengan surirumah. Begitu juga hasil perbincangan dengan kawan-kawan lama yang juga merupakan surirumah.

Di antara tajuk yang perlu dibincangkan juga adalah "peranan suami di dalam pendidikan anak-anak", memandangkan contohnya yang teramat jelas di dalam al-Quran, iaitu kisah Luqman menasihati anaknya dan bagaimana Nabi Ibrahim mendidik anak. Jadi keharmonian rumahtangga akan terhasil apabila kedua-dua suami dan isteri memainkan peranan masing-masing dalam mendidik anak-anak.

Bila melihat kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, yang mana si isteri terpaksa keluar mencari nafkah sedangkan si suami bersenang-lenang di rumah. Bak kata seorang jiran di kampung: "Dah 'dia' tak nak kerja, terpaksalah aku keluar bekerja dikantin sekolah sekurang-kurangnya dapatlah RM 30 sehari untuk perbelanjaan rumah".

Seorang lagi surirumah terpaksa melarikan diri daripada rumahnya kerana tidak tahan lagi hidup dengan suami yang menagih dadah. Ada juga yang terpaksa keluar bekerja kerana suami menghadapi masalah kesihatan yang serius, beliau terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut walaupun hanya bekerja sebagai tukang sapu sekolah. Itulah di antara beberapa contoh masalah masyarakat.

Dalam masalah mencari ilmu pula, kebanyakan surirumah ini berkeinginan untuk belajar ilmu agama terutama mengaji quran, akan tetapi ramai yang dihalang oleh suami. Ada yang terpaksa datang secara menyorok untuk belajar agama, kerana takut diketahui oleh suami mereka. Bayangkan suami yang jahil kemudian tidak menyediakan guru untuk isteri mereka belajar, malah menghalang niat murni si isteri yang ingin belajar secara percuma di surau-surau berdekatan rumah mereka. Apakah bentuk keluarga yang mereka bina?

Bila melihat betapa susahnya surirumah-surirumah tersebut menghadapi hari-hari dalam hidup mereka, terasa betapa bersyukurnya hidup yang kita lalui. Betapa banyaknya anugerah yang telah diberikan oleh Allah kepada diri ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman