Oman oh Oman...

Alhamdulillah kami selamat tiba di bumi Oman semula setelah lebih dua bulan berada di Malaysia. Inilah kali pertama saya berada lama di kampung halaman semenjak menjejaki kaki ke pusat pengajian tinggi 20 tahun lalu, seterusnya bekerja dan berkahwin.

Sememangnya begitu banyak pengalaman yang diperolehi kali ini, yang tiada bandingannya. Segala ketetapan Allah begitu cantik, yang mana saya berpeluang untuk menilai diri serta mengimbas pelbagai peristiwa yang pernah dilalui sebelum ini. Sesungguhnya tiada pembaziran atas setiap apa yang berlaku kepada kita, semuanya mempunyai hikmah dan pengajaran. Fikirkanlah dan syukurilah...

Begitu juga peluang menghadiri kursus perubatan Islam (tanpa dirancang) setelah beberapa tahun meninggalkan alam pekerjaan juga amat bermakna buat diri ini. Moga ilmu itu mampu digunakan untuk membantu insan yang memerlukannya.

Kemudian bermusafir dalam bulan Ramadhan bersama-sama anak-anak bukan semudah yang disangka, namun pengalaman berbuka puasa dan bersahur dijalanan akan menjadi kenangan anak-anak bila mereka dewasa nanti.

Sememangnya setiap detik yang berlaku ada pengajaran buat orang yang mahu berfikir...

"Umi, tengok asap diatas sayap kapalterbang". Itulah kata-kata anak-anak saya setiap kali melihat kapalterbang melintasi awan untuk naik ke tempat yang lebih tinggi. "Kita berada di atas awan ya umi". Tambah yang lain. Kemudian pelbagai persoalan tentang kapalterbang diajukan, memang sukar untuk kita yang tidak pakar dalam bidang ini untuk menjawabnya.

Selepas kali pertama menaiki kapalterbang, anak yang paling kecil bercita-cita nak jadi pramugara...orang yang bagi makanan atas kapalterbang. Kali seterusnya cita-citanya berubah..nak jadi pemandu lah. Nampak gaya banyak lagi kerjaya berkaitan kapalterbang akan menjadi pilihannya.

Ketika itu juga saya terfikir tentang awan dan hujan, juga bagaimana kapalterbang boleh terbang dalam kesejukan langit di atas sana. Bila melihat catatan perjalanan yang ditayangkan, barulah terasa bahawa kapalterbang berada dalam kawasan yang terlalu sejuk di atas sana, selalunya -40 hingga -50 darjah celcius. Ketika penerbangan malam kesejukannya bertambah menghampiri -60 darjah celcius. Tanpa kesejukan itu, kita tidak mungkin dapat hidup di alam ini, kerana kesejukan itulah yang mengurangkan bahang kepanasan matahari yang tiba ke bumi ini. Apakah kesejukan itu yang membantu menambah kelajuan setiap pesawat? Sesungguhnya Allah swt begitu penyayang kepada hamba-hamba-Nya.

Ketibaan dibumi Oman kali ini dalam bulan Ramadhan, dan perjalanan kami menuju ke kawasan yang mempunyai perbezaan masa 4 jam daripada waktu Malaysia. Nampaknya kena sambung puasa lagi...panjang sikit puasa daripada kebiasaan. Kenalah kaji hukum puasa sebegini, bagi orang yang memilih untuk berpuasa semasa perjalanan jauh.

Suasana Ramadhan disini pada waktu petang amat berbeza daripada di Malaysia, kerana tiada bazaar Ramadhan. Sedangkan di Malaysia dimana-mana saja kita dapat melihat orang menjual makanan berbuka puasa.

Kami tiba lagi ke bumi ini untuk meneruskan kehidupan ini. Moga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas