Masih Ingatkah lagi Al-Quran itu?

Alhamdulillah dalam masyarakat hari ini ramai yang telah mempunyai kesedaran dalam mengamalkan ajaran agama Islam. Ramai ibubapa yang amat menitikberatkan ajaran ini menyebabkan wujudnya ramai remaja alim.

Bertuahnya anak-anak ini kerana dididik dengan sempurna oleh ibubapa yang mengetahui tugas dan tanggungjawab mereka. Suasana ini amat berbeza daripada zaman kanak-kanak kami. Bak kata suami: "Kita tidak pernah diajar untuk berdoa sebelum berbuat apa-apa, malah ramai yang tidak diberitahu kepentingan solat dan mengaji al-Quran." Kita melakukannya apabila hati tercari-cari sesuatu.

Malah di negara beliau, yang amat jelas kesekularannya, anak-anak menjadi semakin jauh dari agama sendiri walaupun negara Arab. Alhamdulillah bahasa mereka masih membantu mereka mengaji dan menghayati al-quran walaupun tidak seperti kanak-kanak di negara lain. Namun begitu tidak ramai yang mendidik anak-anak mendirikan solat sehinggalah mereka mencarinya sendiri. Bayangkan remaja yang membesar tanpa ajaran agama, apakah bentuk keluarga yang dibangunkan oleh mereka.

Jika di Malaysia, kita melenting dengan ISA, di negara mereka tahanan seperti itu terlalu ramai, terutama orang-orang yang dianggap penyokong parti Islam. Petandanya adalah tanda di dahi dan buku lali yang menunjukkan bahawa mereka adalah ahli ibadah. Jadi bersyukurlah kita dengan kelebihan yang kita ada dalam mendidik anak-anak.

Bila bercerita tentang betapa bertuahnya anak-anak kita sekarang, saya teringat satu peristiwa yang berlaku ketika kami di bumi Maahad. Ketika itu kami seperti remaja lain, seronok dengan kehidupan harian tanpa mempedulikan kepentingan Al-Quran. Maklumlah dah khatam quran sebelum ini dan ibubapa jarang mengingatkan tentang amalan ini, lagi pula sibuk dengan mengulangkaji pelajaran. Masa itu tidak banyak program motivasi yang menyentuh hal-hal sebegini, jadi bertuahlah pelajar yang mengamalkannya.

Suatu hari ustazah memberitahu bahawa sesiapa yang berminat untuk melihat al-Quran yang telah hilang hurufnya bolehlah berkunjung ke bilik Gerakan. Alhamdulillah kumpulan saya telah mengunjungi bilik tersebut dan melihat sendiri kejadian pelik yang berlaku kepada al-Quran tersebut.

Di dalam bilik tersebut terdapat dua buah al-Quran, salah satunya semua mukasuratnya kosong, tidak ada sedikitpun tanda cetakan diseluruh al-Quran tersebut yang selalu dibaca oleh tuan punyanya setiap hari. Menurut ustazah, tuan punya al-Quran tersebut memang selalu membacanya setiap hari, namun begitu beliau terkejut apabila suatu hari mendapati al-quran yang selalu dibacanya menjadi kosong. Tiada lagi huruf-huruf yang tertulis didalamnya.

Manakala yang satu lagi terbakar, akan tetapi cuma kertas bahagian kosong antara ayat-ayat al-quran sahaja yang terbakar, kertas dibahagian hurufnya masih elok dan kalimah al-quran tetap terjaga. Bila kita melihat seolah-olah ada orang melakukannya dengan penuh berseni, daripada mula hingga akhir al-quran.

Apa yang dilihat ketika itu masih terbayang dan akan saya ingati selama-lamanya. Ketika itu kami amat yakin bahawa ia adalah betul-betul kejadian benar, dan kami ditunjukkan buktinya agar kami menyedari apa tujuan kami belajar agama.

Malah ketika itu ada satu perasaan baru tercetus dalam diri, memikirkan kealpaan diri dengan pengajian ini. Kami terkedu dan ramai yang mula menangis... ketika itu juga saya teringatlah hadis yang diajar oleh guru kami tentang "bagaimana ilmu boleh terhapus". Apakah ini petanda dunia ini akan berakhir? Banyak lagi persoalan lain dalam fikiran ini.

Barulah timbul perasaan ingin mengaji quran setiap hari, agar ilmu ini tidak akan hilang didunia ini. Alhamdulillah setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmahnya, jika kita mengambil positifnya ia akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Semoga lebih ramai orang menyayangi kitab ini dan mengambil pelajaran daripadanya. Hidupkan Al-Quran dalam diri kita...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas