Pertengahan Ramadhan

Alhamdulillah kita telah tiba ke pertengahan Ramadhan, pejam celik pejam celik kita akan sampai ke 10 hari terakhir Ramadhan, hari yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam yang berpuasa. Menunggu bertemu hari yang amat bermakna bagi umat Islam, iaitu malam lalilatul qadar.

Apakah keindahan yang dapat kita gambarkan sepanjang Ramadhan kali ini? Apakah ilmu yang dapat kita galas tahun ini? Apakah kita pernah berfikir tentang kehebatan Allah swt dalam mewajibkan ibadah ini kepada setiap Muslim?

Sesungguhnya Ramadhan, bulan mulia akan memberi pelbagai rahmat kepada orang-orang yang mahu berfikir. Ini kerana fitrah manusia mampu melakukan yg terbaik ketika perut kosong. Ketika inilah kita akan mampu menyusun atur serta menghubungkait segala ilmu yang telah kita pelajari, tanpa banyak masalah. Ini digambarkan oleh amalan Rasulullah dan para Sahabat baginda dalam bulan Ramadhan yg mana mereka berjihad dalam beberapa peperangan dalam bulan mulia ini.

Apakah mesej yang ingin disampaikan kepada kita hari ini? Berjihad atau peperangan memerlukan kekuatan mental dan fizikal, bukan mudah untuk dilaksanakan sekiranya tiada kekuatan iman. Baginda dan sahabat baginda bukan berjihad nafsu tetapi jihad tubuh badan, berperang dengan musuh Islam ketika berpuasa. Tidak dapat saya bayangkan betapa hebatnya mereka, para pejuang Islam ketika itu sedangkan umat Islam hari ini, sentiasa dibayangi kalimah-kalimah "lapar" , "dahaga", "letih", "mengantuk" ketika berpuasa.

Dibawah kepimpinan Rasulullah saw, Umat Islam telah berjaya mengalahkan puak kafir Quraish di dalam peperangan Badar meskipun pada masa itu mereka mempunyai pasukan tentera yang kecil dari segi bilangan, mempunyai kelengkapan perang yang tidak mencukupi dan berhadapan dengan musuh Allah yang tiga kali ganda bilangannya termasuk yang terkuat dan paling berpengalaman dalam peperangan.

Manakala Pembukaan Kota Mekkah (Fatah Mekkah) juga berlaku dalam bulan Ramadhan yang mana pembukaan ini telah menundukkan puak Quraish di bawah kekuasaan pemerintahan Islam sekaligus memudahkan jalan untuk perluasan Daulah Islamiyyah ke serata pelusuk dunia.

Semasa pemerintahan Khulafa’ ar Rashidun, Umat Islam mencapai kemenangan yang besar ke atas musuh-musuh Islam dalam bulan Ramadhan sebagai contoh mereka telah berjaya mengusir Tentera Salib dari As-Syam sepenuhnya walaupun sebahagiannya telah cuba diusir semenjak berabad lamanya.

Kaum muslim juga telah mengatasi dan mengalahkan bala tentera Tartar di Ein Jaloot yang telah melakukan kerosakan dan kekejaman terhadap kaum muslimin sebelumnya. Jadi dapat dilihat bahawa berpuasa bukanlah penghalang untuk umat Islam mempamerkan kehebatan masing-masing kerana bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan umat Islam ke atas musuh-musuh mereka.

Sekiranya kita soroti lagi cerita peperangan pada zaman Rasulullah, kita dapati bahawa Perang Uhud dan Perang Khandak pula berlaku pada bulan Syawal. Apakah yang dapat kita fahami daripada peristiwa-peristiwa tersebut ialah kesinambungan amalan Ramadhan dan Syawal, kekuatan yang diperolehi semasa Ramadhan diteruskan lagi selepas tamatnya Ramadhan. Malah Umat Islam mampu beroleh kemenangan sekiranya kita berpuasa atas landasan iman, bukannya berlapar semata-mata kerana Ramadhan ialah waktu kita meningkatkan keimanan dan keyakinan kita terhadap Allah swt.

Dalam dunia hari ini, ramai umat Islam terlalu lemah ketika berpuasa, mereka merasa seolah-olah puasa menyekat segala aktiviti harian mereka. Ramai pula yang menghabiskan masa dengan tidur kerana nak mengelakkan letih berpuasa. Apakah fahaman tersebut betul dan apakah kesannya terhadap masa depan Umat Islam?

Sekiranya umat Islam tidak menggunakan bulan mulia ini untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan merancang masa depan mereka, maka rugilah masa depan mereka. Ini kerana pada bulan ini Allah swt membuka peluang untuk kita beroleh RahmatNya, memohon petunjukNya untuk melakukan perkara yg terbaik untuk kita dan umat Islam.

Jadi sebaik-baiknya kita gunakan masa ini untuk merancang segala amalan dan urusan kita, agar segala amalan yang dilakukan beroleh keberkatan walau dimana sahaja kita berada. Maka amat buruk sekali sekiranya bulan ini kita gunakan untuk bertelagah sesama sendiri, membuka keaiban orang lain dan pelbagai lagi perkara mungkar yang ditegah oleh Allah swt.

Apakah kita lupa akan keberkatan bulan Ramadhan yg mana doa-doa kita mudah dikabulkan oleh Allah swt, apatah lagi doa orang-orang yg teraniaya, maka lebih besar peluang untuk dikabulkan. Inilah pendidikan Ramadhan yang amat berkait dengan hubungan sesama manusia.

Marilah sama-sama kita fikirkan apakah ilmu yang dapat kita galas daripada Ramadhan tahun ini. Sama-samalah kita pergunakan masa kita untuk merenung kehebatan Allah swt, merenungi ayat-ayat Allah disekeliling kita, serta penuhi masa kita untuk mentadabbur ayat-ayat tersebut. Terlalu banyak ilmu yang mampu kita perolehi sekiranya kita berfikir sepanjang bulan ini...

Malangnya ramai yang berlumba-lumba menghabiskan bacaan al-quran tanpa memahami apa yang dibaca mereka. Ramai lebih mementingkan berapa kali khatam quran dalam bulan ini bukannya menghayati ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab suci ini. Moga Ramadhan kali ini kita mampu menyelongkar pelbagai ilmu-ilmu yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran.

Fikirkanlah dan hayatilah tentang kehebatan dan kebesaran Yang Maha Pencipta, yang mencipta alam ini bukan untuk sia-sia tetapi untuk manfaat setiap makhlukNya. Dalam masa yang sama kita merenungi ayat-ayat Allah disekeliling kita, yang mampu membuatkan kita berasa betapa kerdilnya kita di sisi Allah swt, juga dapat mengingatkan kita kembali apakah kita telah memenuhi tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman