Kanak-kanak dan Masjid

Alhamdulillah malam tadi kami berkesempatan berkunjung ke Masjid Besar disini, selepas pulang daripada majlis berbuka puasa anjuran Pegawai Kedutaan Malaysia disini.

Peluang untuk merasai suasana menunaikan 'qiyam Ramadhan' (kita panggil Terawih) disitu tidak kami sia-siakan, memandangkan ia terletak tidak jauh daripada tempat kami berbuka puasa.

Namun begitu tidak ramai jamaah bersolat disitu, yang mana jemaah perempuan hanyalah dalam tiga saf. Malah tidak terasa kemeriahan 'qiyam Ramadhan' seperti yang terdapat di kawasan saya.

Apa yang ingin disentuh ia mengenai masjid dan kanak-kanak. Ini kerana terdapat peraturan disetiap masjid had umur kanak-kanak yang boleh menunaikan solat disitu. Rupa-rupanya had umur bagi kanak-kanak yang dibenarkan masuk ke masjid besar tersebut adalah 10 tahun, jadi dua orang hero saya terlepas peluang untuk menunaikan solat berjemaah.

Saya hanya mengetahuinya apabila anak ketiga memberitahu "saya harap umur saya sudah cukup 10 tahun bila kita berkunjung ke masjid ini lagi" Bila saya bertanya kenapa, beliau memberitahu bahawa dia tidak dapat menunaikan solat disitu, kerana tidak dibenarkan masuk ke dewan solat, cuma dibenarkan berada dikawasan luar.

Barulah saya faham beberapa isu yang diperdebatkan dalam suratkhabar disini beberapa bulan lepas iaitu isu kanak-kanak dan masjid.

Sayangnya masjid yang begitu besar dan cantik hanya diperuntukkan untuk orang-orang dewasa dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas sahaja, manakala kanak-kanak yang lebih kecil hanya mampu melihat dari luar keindahannya. Jadi betullah impian anak ketiga saya tersebut, beliau impikan untuk menunaikan solat didewan solat yang begitu besar dan indah. Moga impian beliau menjadi kenyataan.

Bila sudah bercerita tentang kanak-kanak dan masjid, saya juga ingin menyentuh tentang masjid dikawasan saya, yang juga tidak mesra kanak-kanak. Namun begitu masjid ini menghadkan kanak-kanak berumur 7 tahun ke atas untuk masuk ke dewan solat. Alhamdulillah anak-anak saya sudah melepasi had umur masjid disitu.

Sebenarnya masjid-masjid disini agak berbeza daripada masjid-masjid di negara kita, kerana kebanyakan masjid tidak menyediakan ruang solat untuk wanita. Jadi jika kita dalam perjalanan ke tempat lain, pastikan masjid yang dikunjungi menyediakan ruang solat untuk wanita, jika tidak kita hanyalah mampu bersolat diluar masjid.

Itulah pengalaman saya beberapa kali bila berhenti solat di masjid yang salah (tiada ruang solat wanita). Ini menyebabkan kami lebih suka solat berjemaah dimana-mana saja kami berkunjung, taman-taman atau pantai-pantai kerana ia adalah lebih mudah daripada pergi ke masjid yang tidak mesra kanak-kanak dan wanita.

Kadang-kadang terfikir apakah penyebab wujudnya situasi ini? Mungkin saya perlu melihat sejarah Islam dan wanita serta kanak-kanak disini, barulah saya dapat membuat kesimpulan mengapa ia terjadi begitu.

Sebenarnya apa yang berlaku amat berbeza daripada situasi yang berlaku pada zaman Rasulullah saw. Ini kerana Rasulullah saw tidak pernah melarang kanak-kanak dan wanita daripada pergi ke masjid. Malah terdapat beberapa hadis yang menggambarkan bahawa kanak-kanak kecil juga dibawa ke masjid, iaitu hadis dimana Rasulullah saw terpaksa memanjangkan sujud bila cucu baginda naik ke atas belakang baginda ketika solat jamaah.

Manakala dalam hadis lain, Rasulullah saw terpaksa memendekkan bacaan solat bila mendengar kanak-kanak menangis, kerana kesiankan ibu dan kanak-kanak tersebut.

Mungkinkah situasi masyarakat yang  mengurung wanita suatu ketika dulu adalah penyebab terjadinya semua ini? Kesiannya umat Islam kerana terpaksa melalui fasa tersebut, iaitu fasa yang melemahkan umat Islam secara keseluruhannya, dan kesannya masih tersebar luas.

  

Ulasan

Sakinah berkata…
Salam,

Mungkin mereka takut kanak2 tidak dapat dikawal oleh ibubapa dan buat bising..tapi sepatutnya kenalah diberi peluang..utk membiasakan kanak2 masuk rumah Allah.

Masjid2 sepatutnya direka selesa utk wanita [menjaga kepentingan aurat mereka]..wlupun tdk wajib solat di masjid tp tdk dilarang dan penting utk wanita yg dlm musafir. Dah nampak macam diskrimasi..boleh menimbulkan persepsi negatif pada non muslim.
Sakinah berkata…
* diskriminasi
aliza berkata…
Terima kasih Sakinah atas perkongsian idea.
Sebenarnya kat sini masjid sangatlah banyak, cuma kita tak tahu yang mana ada ruang utk wanita dan yg mana tak de. Selalunya masjid besar2 ada ruang wanita.

Satu perkara bagus tentang masjid disini ialah ahli jemaahnya ramai, kebanyakan lelaki menunaikan solat di masjid setiap waktu.

Kadang2 terfikir juga, undang2 tak benarkan kanak2 masuk masjid, tp bila dah dewasa lekat pula mereka menunaikan solat di masjid, betul ke pendapat bila kita perkenalkan masjid semenjak kecil, anak2 akan sukakan masjid?

Masih lagi memerhati perkara2 elok utk dikongsikan, dan difikirkan bersama-sama.

Banyaknya rahsia yg tidak mampu kita fahami.
Ummu Tasneem berkata…
salam, mcm manalah masjid nak mesra pengunjung.. ada mcm2 peraturan..
sebab tu tak ramai anak2 remaja ke masjid gamaknya dari kecil tidak di ajar.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016