Mengaji Quran ketika Haid

Salam Ramadhan....

Bersempena bulan yang mulia ini, ramai surirumah berusaha untuk bertadarrus quran dengan niat  untuk menghabiskan bacaan pada bulan ini. Moga Allah memudahkan kita memenuhi niat murni ini.

Namun begitu ramai yang merasakan impian mereka tidak mampu dicapai kerana haid. Bagi yang terpaksa bercuti beberapa hari sehingga 15 hari (maksimum) ketika haid, keinginan tersebut dianggap mustahil. Ini kerana kita terpaksa menggandakan bacaan tersebut.

Bagi yang sudah biasa mengaji quran sejuzuk sehari pada bulan-bulan biasa, selalunya tidak menghadapi masalah untuk menggandakan bacaan tersebut. Akan tetapi bagi ramai yang masih belum lancar mengaji, akan terasa berat untuk menghabiskan satu juzuk sehari.

Dalam masa yang sama, kita telah diberitahu bahawa "wanita haid tidak boleh mengaji quran", malah ada sesetengah guru agama tidak membenarkan menyebutkan apa-apa huruf Arab kerana menganggap ia adalah daripada Al-Quran. 

Ramai juga yang tertanya-tanya apakah yang kita boleh lakukan ketika waktu haid, terutama pada bulan mulia ini? Apakah kita boleh meneruskan tadarrus quran seperti biasa?

Bila saya bertanya kepada ustaz, saya telah diberitahu bahawa terdapat ulama yang membenarkan wanita haid mengaji quran. Kemudian bila dianalisa pendapat-pendapat ulama, ramai ulama membenarkan wanita haid mengaji quran kerana tiada dalil mengharamkannya.

Menurut fatwa Ibn Baz berkaitan hukum membaca doa yang memuatkan ayat-ayat quran ketika haji: "...dibolehkan wanita membaca doa, juga dibolehkan wanita mengaji quran, kerana tidak ada dalil yang jelas tentang pengharamannya, akan tetapi membaca daripada hafalan tanpa menyentuh mushaf. Sebaik-baiknya membaca doa daripada buku-buku yang tertulis doa-doa dan ayat quran dan hadis". 
   
Begitu juga menurut majmu' fatawa berdasarkan soalan:
Apakah harus wanita mengaji quran ketika uzur? Apakah dibolehkan beliau membaca bacaan, amalan sebelum tidur seperti ayat kursi dan lain-lain?

Jawapannya: "tidak mengapa dan dibolehkan wanita haid atau nifas mengaji quran daripada hafalan" dalam kata lain dibolehkan meneruskan amalan yang biasa dilakukan sebelum tidur. Ini kerana ulama yang melarang wanita haid mengaji quran berdalilkan hadis  لا تقرأ الحائض ولا الجنب شيئا من القرآن . Hadis ini adalah hadis daif.

Diantara hujah ulama ialah: "haid dan nifas tempohnya panjang, mungkin boleh menyusahkan wanita terutama bagi wanita yang menghafal quran kerana ia boleh menyebabkan mereka terlupa hafalan mereka jika tidak diulangbaca " Jadi dibolehkan wanita haid mengaji quran daripada hafalan ketika haid.

Manakala dalil lain ialah hadis ketika musim haji, dimana Saidatina Aisyah haid ketika itu, maka Rasulullah berkata kepada beliau
افعلي ما يفعل الحاج غير ألا تطوفي بالبيت حتى تطهري  .
yang bermaksud "lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji kecuali tawaf di Baitulharam sehingga anda bersuci". Didalam hadis ini baginda tidak melarang Saidatina Aisyah daripada mengaji quran.

Apa yang jelas orang yang mengerjakan haji mengaji quran, manakala Rasulullah tidak menyebut tentangnya kepada Saidatina Aisyah, jadi ulama mengambilkira bahawa apabila baginda tidak menyebutkannya kepada Saidatina Aisyah bermaksud 'tidak dilarang mengaji quran ketika haid'.

Dalam hujah lain, kebanyakan wanita mengalami haid dan nifas, sekiranya wanita dilarang mengaji quran ketika haid, sudah pasti Rasulullah saw menjelaskannya dengan hujah yang jelas. Jadi apabila ia didiamkan bermaksud tidak dilarang melakukannya.

Menurut sesetengah ulama, wanita haid tidak dibenarkan menyentuh mushaf ketika membacanya, jadi sebaik-baiknya mereka membaca daripada kitab terjemahan dan buku-buku tafsir, kerana buku-buku tersebut tidak termasuk ke dalam kategori mushaf.

Sememangnya hukum-hakam yang diterapkan ketika kita kecil melekat amat kuat dan amat sukar untuk dihilangkan, termasuklah hukum ini. Walaupun mengetahuinya tetapi sehingga kini saya masih terasa bimbang setiapkali melakukannya.

Moga kita dapat meneruskan amal ibadat kita dengan tenang ketika bulan mulia ini, dan dapat mencapai target yang ingin dicapai pada Ramadhan kali ini.  


  

Ulasan

fazlina berkata…
x sangka dpt jumpe blog ni..Alhamdulillah..dan terima kasih ustazah..di atas perkongsian ilmu yg sgt bermanfaat.Moga2 sy dpt memperbaiki diri dengan lebih baik..dengan sentiasa melaksanakan dn menurut perintah Allah.Amin.
ZINNIRAH berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
bola rose berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
bola rose berkata…
Salam .. Hadis Rasulullah daripada riwayat Tirmizi 'orang yang haid dan berjunub jangan membaca sesuatu daripada al-Quran. Hadis ini menunjukkan HARAM membaca al-Quran ketika dalam haid. HARUS baca Al-Quran dalam hati tanpa melafazkanya dan membaca dengan niat berzikir (Al-Baqoroh ayat 201 dan Al- Zukhruf ayat 13. Hadis yang saudara sebut di atas adalah hadis larangan bagi wanita dalam haid mengerjakan tawaf. hadis itu ada sambunganya lagi. Ada sesetengah ulamak mengatakan '….sehingga aku suci' tetapi pendapat ini lemah. sila padam tulisan anda yang bersalahan dengan Islam kerana setiap dosa pembaca dan pengamalnya akan kembali kepada anda. Sila rujuk kepada ulamak yang zuhud tawadhuk dan berakhlak tinggi dan hafiz quran serta rujuk pada kitab yang sohih sebelum menulis entry berkaitan dengan Islam lebih-lebih lagi hukum Islam.
Tanpa Nama berkata…
https://sites.google.com/site/ensiklopediamelayuh/haid/hukum-haid-membaca-al-quran

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016