Masih Lagi Menanti....

Tajuknya macam orang yang sedang menunggu sesuatu yang masih belum dapat. Itulah cerita kami pada musim panas tahun ini.

Ia bermula dengan tujuan memperbaharui visa kemudian membuat paspot baru kemudian menunggu visa baru, kemudian boleh lah kami merancang perjalanan melancong ke luar Oman jika diizinkan Allah swt.

Oleh kerana paspot kami sekeluarga akan tamat pada Oktober tahun ini, maka urusan pembaharuan visa tidak dapat dilakukan sehingga kami menyerahkan paspot baru yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan tempoh lakunya.

Pada ketika itu, lebih kurang tiga bulan lepas, anak-anak masih bersekolah, jadi kami tidak boleh balik ke Malaysia dan membuat paspot sendiri di sana. Jadi urusan membuat paspot baru kami lakukan di kedutaan Malaysia disini.

Alhamdulillah urusan agak senang, akan tetapi masa yang diambil untuk membuat paspot baru Malaysia dari luar negara mengambil masa yang agak lama iaitu dua hingga ke tiga bulan. Ini kerana setiap permohonan akan dihantar balik ke Kuala Lumpur kemudian paspot baru akan dihantar kepada kami dalam tempoh tersebut.

Selepas itu jadilah kami penunggu kedatangan paspot baru. Selepas dua bulan berlalu saya dihubungi oleh pekerja kedutaan memberitahu bahawa paspot saya telah siap, alhamdulillah. Namun begitu yang tiba hanyalah paspot saya, paspot anak-anak yang diproses bersama-sama masih belum dapat. Maka terpaksalah kami menunggu sebulan lagi untuk meneruskan urusan seterusnya.

Ketika cuti sekolah bermula, anak-anak mula memberitahu keinginan mereka untuk balik kampung ataupun melancong ke mana-mana. "Boring la asyik duduk kat sini je", "jom la kita pergi Musandam" (salah satu tempat menarik di Oman, berdekatan dengan Iran, tetapi dipisahkan oleh UAE). 

Sayangnya apabila kami mencari maklumat mengenai perjalanan ke situ, kami diberitahu bahawa kami perlu membawa paspot untuk ke sana, rasanya seolah-olah orang Semenanjung nak ke Sabah dan Sarawak, menggunakan paspot untuk perjalanan dalam negara sendiri.  

Apa la paspot...paspot...paspot, anak-anak mula merungut. Nak balik kampung tak boleh, nak pergi jalan tak boleh, mengapa paspot penting umi? Alhamdulillah, kejadian yang berlaku mengajar anak-anak tentang kepentingan memiliki paspot yang sah.

Sekurang-kurangnya mereka mengetahui bahawa dalam dunia hari ini, kita tidak dapat berjalan ke mana-mana tanpa paspot yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan tempoh lakunya, malah paspotlah nadi kehidupan perantau diluar negara.

Betapa ramai insan yang terpaksa menghadapi masalah kerana paspot. Ramai yang menjadi pelarian kerana negara sendiri enggan mengeluarkan paspot kepada mereka. Begitu juga ramai pekerja asing dianiaya hanya kerana paspot. 

Jadi terpaksalah kami bersabar kerananya...cuma yang tak tahannya bila terpaksa memberitahu kawan-kawan bahawa Malaysia mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk memperbaharui paspot dari sini. Ramai yang terkejut dengan info ini, kerana mereka menganggap bahawa Malaysia negara yang lebih maju daripada negara mereka, sepatutnya pengurusannya lebih cekap daripada negara mereka.

Kawan dari Sudan memberitahu bahawa mereka cuma perlu sehari saja untuk dapatkan paspot baru daripada kedutaan mereka di sini. Begitu juga kawan-kawan dari negara lain, terasa malu nak memberitahu punca utama kami tidak dapat balik kampung tahun ini hanyalah kerana paspot dan visa.

Begitu juga pegawai di institut tempat suami bekerja tidak dapat berbuat apa-apa selain menunggu paspot kami siap untuk urusan visa kami di sini. Kata-kata sinis yang terpaksa didengar ialah, "jika Malaysia terpaksa mengambil masa tiga bulan untuk siapkan paspot baru, jadi visa pun mungkin lambat juga, sebab Oman tidaklah semaju Malaysia." 

Namun begitu Ramadhan semakin hampir, jadi kami terpaksalah memendamkan segala niat dihati. Moga ada hikmah atas apa yang berlaku.

Dalam masa yang sama kami juga bersyukur kerana telah berkesempatan melawat pelbagai tempat menarik berdekatan sini tanpa perlu berjalan jauh. Anak-anak tetap seronok bila kami menghabiskan masa di Oman Dive Center, Pantai Sawadi dan lain-lain. Ini kerana mereka begitu seronok berenang dan menyelam melihat pelbagai jenis ikan dan hidupan laut. 

Alhamdulillah 'ala kulli hal.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?