Akhirnya....Alhamdulillah

Hari ini 17/1/2009, Selepas 22 hari perang di Gaza berlangsung, akhirnya Parlimen Israel mengundi dan memutuskan untuk menghentikan serangan ke atas Gaza. Alhamdulillah, moga apa yang diputuskan itu ditunaikan, walaupun tidak kesemua tuntutan Pimpinan Hamas akan dipenuhi. Demi menunjukkan kepada dunia bahawa mereka tidak bersalah, mereka menyatakan bahawa mereka semakin hampir mencapai target mereka apabila diarahkan menghentikan serangan.

Memang perit dan pedih melihat segala penderitaan umat Islam Gaza, ia akan menjadi pengajaran buat semua insan. Perang ini memperlihatkan kepada kita bahawa begitu banyak undang-undang dicabul oleh Israel, termasuklah beberapa serangan ke atas agensi UN di Gaza.

Israel menggila di Gaza selama tempoh itu serta melakukan serangan yang tidak masuk akal, seperti mengebom sekolah UNRWA, tempat penduduk Gaza menumpang teduh setelah merasakan rumah mereka tidak selamat untuk dihuni, serang terakhir pagi ini juga ditujukan kepada satu lagi sekolah UNRWA. Mengebom pusat bekalan UN, mengebom Hospital milik pertubuhan Palang Merah yang dihuni oleh lebih 100 orang pesakit. Mereka juga turut menghancurkan kawasan perkuburan Gaza, entah apa yang dicari disitu wallahua'lam.

Israel bersetuju untuk berundur dengan syarat US, Mesir dan seluruh dunia membantu mereka mengawal penyeludupan senjata ke Gaza. Israel tidak mahu umat Islam Gaza memiliki apa-apa senjata supaya senang mereka melakukan apa-apa tindakan yang disukai oleh mereka. Inilah yang dikatakan perang berat sebelah, mereka menyerang Gaza dengan seluruh kelengkapan udara, darat dan laut. Mereka juga menggunakan senjata paling canggih yang belum pernah digunakan dalam mana-mana peperangan. Malah mereka menggunakan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Kesemuanya halal bagi mereka tapi untuk umat Islam Gaza semuanya mesti disekat.

Sememangnya bila mendengar ulasan tentang peperangan tersebut, banyak sekali perkara-perkara ajaib berlaku, berkat doa umat Islam di seluruh dunia yang tidak putus-putus berdoa agar Allah membantu umat Islam ini.

Begitu banyak bom yang digugurkan tapi sangat sedikit yang mencapai targetnya. Apabila menonton siaran langsung helikopter Israel yang menggugurkan berpuluh-puluh bom, tapi bila lihat di bawah cuma sedikit sahaja yang memberi kesan. Entah meletup dimana wallahua'lam. Malah ada yang sampai ke bawah tapi tidak meletup, begitulah kekuasaan Allah. DIA ingin menyedarkan kita bahawa semua di bawah kekuasaanNYA, betapa canggihpun peralatan yang digunakan, sekiranya DIA menyatakan tidak, maka tiada apa yang akan berlaku.

Begitu juga bila dilihat pada permulaan peringkat ke-2 serangan, apabila serangan darat dilancarkan. Setelah lebih 3 hari mereka memulakan serangan dengan begitu banyak kereta kebal, tapi mereka seolah-olah berpusing-pusing ditempat yang sama, masih berada dikawasan lapang yang tidak mempunyai apa-apa. Sebab itulah mereka mengambil masa dua minggu untuk masuk ke kawasan yang lebih kurang 350KM persegi sahaja. Itupun mereka cuma sampai ke kawasan yang kurang padat penduduknya.

Saya tertanya-tanya mengapa berhari-hari mereka berpusing dikawasan lapang tersebut, apa yang mereka cari? Alasan mereka ialah mungkin tentera Hamas membina terowong dikawasan tersebut, jadi mereka ingin menghancurkannya. HANYA ALLAH YANG LEBIH TAHU, DIA mampu menyediakan tentera-tenteraNYA untuk membantu hambaNYA yang betul-betul ikhlas mempertahankan agamaNYA.

Bila mengikuti ulasan seorang syeikh dalam IQRA TV, barulah saya faham dan yakin tentang apa yang dilihat dalam siaran langsung serangan tersebut. Begitu banyak pertolongan yang diberikan oleh Allah kepada mereka, cuma mereka yang menghadapinya yang tahu. Bagi kita, jadikanlah pengajaran, panjatkanlah doa kita hanya kepadaNYA, DIA selalu dekat denga kita. Berikanlah penyerahan sepenuhnya kepadaNYA, nescaya kita akan mendapat apa yang kita impikan.

Teringat ulasan pimpinan ke-2 Hezbollah Lubnan sejurus Israel memberikan syarat mereka hari ini, supaya segala penyeludupan senjata ke Gaza dikawal, beliau dengan nada berani menyatakan bahawa merekalah yang membekalkan senjata kepada Gaza. Sekiranya Gaza dibiarkan tanpa memiliki apa-apa, nescaya Israel mampu menakluki Gaza pada minggu pertama lagi. Beliau juga mengutuk sikap Israel yang berat sebelah ini serta menyatakan bahawa mereka akan terus menghantar senjata kepada umat Islam di Gaza, agar mereka mampu mempertahankan tanahair mereka.

Pengajarannya ialah umat Islam tidak boleh terlalu mengharapkan UN kerana ternyata UN tidak memberi apa-apa erti. Berpuluh tahun dan begitu banyak resolusi yang dikeluarkan oleh UN tapi tidak mampu menyelesaikan masalah Palestin. Pada hari lawatan Ban Ki Moon ke Israel, tentera Israel telah mengebom pusat simpanan barang bantuan UN kepada penduduk Gaza, itulah harga UN dimata Israel.

Sebaliknya umat Islam mesti bersatu, membina kekuatan dalaman serta memulakan usaha untuk menaikkan nilai kita dimata dunia. Banyak perkara yang mesti dilakukan, kesemuanya dengan kembali menghayati ajaran Islam yang sejati berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagaimana sabda Rasulullah SAW : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang tidak akan menyesatkan kamu sekiranya kamu berpegang kepada keduanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku". Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat