Pendidikan Sirah Nabi

Sirah Nabi ataupun sejarah kehidupan nabi Muhammad SAW amat cantik jika diperkenalkan kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Malah perbincangan tentang corak kehidupan Rasulullah SAW akan membuka minda anak-anak kita untuk menerima Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Dalam masa yang sama anak-anak kita dapat menghafal surah-surah Al-Quran yang berkaitan dengan sirah tersebut.

Selama ini kita cuma belajar tentang sejarah hidup baginda dalam pelajaran Agama Islam di sekolah, tanpa memikirkan pengajaran disebalik kisah tersebut. Anak-anak kita cuma menjadi pendengar pasif, tanpa cuba menghayatinya. Namun sekiranya para ibu mengambil inisiatif membuka kembali kisah-kisah ini anak-anak akan berminat untuk memberi pendapat dan persoalan mereka.

Surirumah hari ini ramai yang terpelajar, paling tidakpun tahu membaca dan menulis jadi apa salahnya kita jadikan program bercerita tentang kisah hidup Rasulullah sebagai aktiviti keluarga kita. Cubalah...insya Allah anak-anak kita akan tertunggu-tunggu aktiviti ini. Malah ia mampu mengurangkan masa mereka menonton TV kegemaran mereka.

Perbincangan tentang Sirah hidup Rasulullah SAW bermula dengan cerita, iaitu cerita tentera bergajah sebagaimana yang diceritakan dalam surah Al-Fiil. Cerita ini memang menarik, kemudian diikuti kisah kelahiran baginda Rasulullah dan mukjizat yang mengiringinya. Begitu juga kisah pencarian ibu susu nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh Halimatul Saadiah, ibu susu Nabi SAW. Sememangnya bagi ibu-ibu yang pandai bercerita, mereka mampu menjadikan kisah ini amat menarik bagi kanak-kanak.

Kemudian diikuti kisah masa kecil baginda yang tragis, ia mampu mengingatkan anak-anak kita bahawa hidup ini sentiasa dalam ujian. Bukan untuk menyusahkan anak-anak kita, tapi untuk mengingatkan mereka agar sentiasa bersedia dengan qada' dan qadar Allah SWT.

Rasulullah SAW diuji semenjak dalam kandungan lagi, kisah kehilangan bapa yang membawa penderitaan kepada ibunda Baginda selepas kelahiran baginda dimana tidak orang yang sudi menyusukan anak yatim. Namun dalam masa yang sama diperlihatkan kepada kita kelebihan yang Allah berikan kepada keluarga Halimatus Saadiah apabila beliau sanggup menyusukan Nabi Muhammad SAW. Semuanya akan menjadi pengajaran berharga kepada anak-anak kita dalam mengatur hidup mereka.

Kisah menjalani kehidupan jauh dari ibunda tercinta, jauh daripada sanak-saudara ini mampu melembutkan hati anak-anak kita, mampu menghidupkan perasaan simpati anak-anak kita terhadap penderitaan orang lain. Kemudian diikuti kisah kehilangan ibunda dan datuk tercinta, dan meneruskan kehidupan bersama-sama bapa saudara. Kehidupan yang susah ini mengajar Baginda agar berdikari semenjak kanak-kanak lagi.

Sememangnya anak-anak sukakan kisah-kisah ajaib dan magic. Jadi dalam sejarah hidup Rasulullah memang terkandung kisah-kisah ajaib, mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada baginda, jadi ini secara tidak langsung membuka minat anak-anak kita terhadap cerita-cerita ini. Sesungguhnya tiada cerita yang lebih hebat dari sejarah hidup Baginda SAW. Bercerita tentangnya akan membuka minda kita sendiri betapa hebatnya Insan ini. Ujian demi ujian diatasi dengan tenang, malah ia menjadi penyebab utama Baginda melaksanakan tanggungjawab mencari rezeki semenjak kanak-kanak lagi.

Memang banyak pengajaran yang mampu kita perolehi daripada sirah ini. Bagaimana akhlak yang baik mampu menarik orang lain menyukai baginda Rasulullah SAW semenjak baginda kecil lagi, itulah contoh-contoh sifat dan perwatakan yang perlu kita dedahkan kepada anak-anak kita. Moga kita dapat membantu mereka dalam memilih corak hidup mereka. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas