Di mana Ulama Kita?

Selepas seminggu perang di Palestin berlangsung, baru semalam Persatuan Ulama Muslimin Sedunia mengeluarkan pendapat, sehinggakan pengacara program bertanya "Mengapa terlalu lama mengambil masa untuk menyatakan sokongan mereka?".

Cuma beberapa orang ulama yang memang terlibat secara langsung dalam politik seperti Syeikh Fathi Yakan, pemimpin Lubnan yang amat berani tampil ke hadapan semenjak hari pertama perang berlangsung.

Inilah hakikat yang berlaku kepada umat Islam hari ini, kepimpinan seolah-olah terbahagi dua, politik dan agama berada dalam dua barisan yang berbeza. Itulah yang dikehendaki oleh musuh Islam, kejayaan memisahkan tampuk pemerintahan dari agama memberi kekuatan kepada mereka. Apabila pemerintahan dipegang oleh orang-orang yang jahil maka tunggulah kedatangan hari kiamat.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW : "Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan sekali mencabutnya dari manusia. Akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama' sehingga apabila Allah tidak meninggalkan lagi seorang ulamapun, maka manusiapun mengangkat pemimpin-pemimpin yang jahil. Mereka (para pemimpin tsb) ditanyai, lalu merekapun memberikan fatwa tanpa ilmu. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan (manusia)" Hadis riwayat Bukhari.

Jadi apa yang berlaku sekarang amat jelas mengambarkan tentang pemimpin yang jahil, sedangkan ulama yang ada tidak mempunyai kekuatan untuk menyatakan pendapat.

Apakah ini sifat yang dianjurkan oleh Islam? Apakah ini sifat yang diamalkan oleh para pejuang Islam dahulu? Ternyata sekali tidak. Ini kerana suatu masa dulu Para ulama adalah pejuang dalam masyarakat, setiap kata-kata mereka didengari malah merekalah yang mengeluarkan arahan dalam setiap tindakan umat Islam. Begitu juga di Malaysia, pejuang-pejuang kemerdekaan adalah terdiri daripada golongan ulama yang faham tujuan hidup mereka, bukannya orang yang mengaku diri ulama tapi terlalu rakus mengejar kedudukan dan pangkat.

Menyorot perjuangan Rasulullah SAW, para sahabah dan ulama-ulama terdahulu, kita dapati merekalah yang akan ke depan memberi semangat kepada pejuang Islam, mereka jugalah yang akan mengetuai peperangan menentang orang kafir. Ulama jugalah yang memberi pendapat supaya maruah umat Islam dijaga.

Namun apa yang berlaku hari ini, ulama memencilkan diri untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, berpaksikan doa semata-mata tanpa usaha. Apabila ini berlaku mereka kurang teruja untuk terlibat dalam usaha-usaha dakwah yang lebih progressif, maka tinggallah masyarakat dibawah telunjuk pemimpin yang jahil, yang memberi fatwa yang tidak bersesuaian dengan ajaran agama.

Nampaknya perang menjadikan saya suka menonton TV walaupun sebelum ini saya tidak suka menontonnya. Agak tersentak juga bila menonton rancangan agama (Siaran Langsung) yang dikendalikan oleh Syeikh Mesir yang begitu beremosi bila menceritakan tentang siaran langsung daripada satu rangkaian TV tentang perang di Gaza. Siaran langsung yang dipenuhi kata-kata semangat daripada wanita, dan orang ramai dianggap tidak menggambarkan keseluruhan umat Islam. Malah beliau menyifatkan rangkaian tersebut menggalakkan sifat agresif dan negatif dikalangan remaja Muslim.

Kemudian beliau menceritakan pengalaman mendengar cerita perang Palestin tahun 1967 dan selepasnya, menyatakan pentingnya menghidupkan lagu-lagu semangat dalam diri Muslim. Tapi program beliau yang selalunya penuh keheningan berubah wajah, beliau tidak mampu lagi menarik perhatian saya (mungkin juga penonton-penonton lain).Apakah sama mendengar dan menghafal lagu-lagu patriotik, dengan menonton secara langsung kejadian kejam Yahudi terhadap orang Islam. Apakah ada orang yang tidak tersentuh hatinya bila melihat kekejaman ini dengan mata sendiri (walaupun cuma melalui TV).

Inilah sebenarnya yang berlaku kepada kita, bila kita menyangka kita hampir kepada Allah, kita tenang sebenarnya kita dilalaikan tentang tugas dan tanggungjawab kita yang sebenarnya. Kita hanya membina hubungan dengan Allah tapi hubungan dengan manusia menjadi sempit. Disini kita lihat betapa penting untuk kita mengikut sunnah Rasulullah, sebagaimana yang diajarkan kepada kita.

Bagi saya para wartawan yang bertugas lebih berani, melangkah ke medan perang demi melaporkan keadaan sebenar yang berlaku. Mereka mampu menghidupkan semangat jihad dalam hati pemuda-pemudi Islam, malah mampu mengubah sikap sesetengah remaja yang terlalu asyik dengan kemewahan hari ini.

Moga perang ini memberi pengajaran kepada para ulama supaya mengambiltahu perkembangan semasa, sebagaimana sifat ulama-ulama silam yang begitu berani mempertahankan Islam dengan lidah dan tangan mereka.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Alhamdulillah hari ini 14/1/2009, lebih 100 orang ulama bersatu memberi pendapat tentang hukum penutupan ma'bar Rafah, yang mana mereka menyifatkan sebagai satu pengkhianatan besar terhadap umat Islam Gaza. Orang yang terlibat bertanggungjawab menjawabnya di hadapan Allah nanti.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas