PENGAJARAN DARI PALESTIN

Semalam cukup seminggu umat Islam Palestin diserang oleh tentera Yahudi, betapa tabahnya mereka menghadapi semua ujian tersebut. Begitu ramai para syuhada yang terkorban dalam serangan ini (hingga sekarang 435 orang), dan lebih 2200 tercedera berbanding 4 orang Yahudi meninggal. Semoga Allah merahmati para Syuhada tersebut.

Bila menonton rangkaian agama IQRA, Al-NAS TV, AL-RESALAH begitu juga rangkaian lain Al-Jazeera, Al-Alam semua perbincangan difokuskan kepada Palestin, siaran langsung tentang serangan tersebut, perbincangan alim-ulama juga difokuskan tentang serangan ini. Ia bukan berkisar tentang serangan Yahudi semata-mata, malah lebih jauh lagi yang mencakupi hubungan kita dengan Allah SWT.

Alhamdulillah, sepatutnya kita mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberi pelbagai pengajaran kepada kita melalui peristiwa ini. Inilah kasih sayang Allah kepada kita, DIA memberi pengajaran kepada orang-orang yang mahu berfikir dalam setiap ketentuanNYA. Sekurang-kurangnya kita masih berpeluang memuhasabah diri, membetulkan kesilapan kecil atau besar yang telah kita lakukan, memperbaiki hubungan dengan Allah sekiranya masih belum mantap, dan memperbaiki hubungan sesama manusia.

Ingatlah semua insan bersaudara, walauapapun keturunan mereka, yang membezakan kita ialah ketaqwaan kepada Allah SWT. Ketaqwaan yang terletak dalam hati kita, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW "Al-Taqwa ha huna" sambil menunjukkan kearah dada Baginda. Oleh itu jangan sekali-kali kita merasakan kita lebih baik daripada orang lain, kerana kita tidak tahu tahap ketaqwaan mereka.

Banyak pengajaran yang boleh kita kutip daripada peristiwa ini, walaupun ia masih belum berakhir. Inilah masa untuk kita memuhasabah diri, menilai target kita dalam kehidupan didunia ini. Apakah yang ingin kita capai? Bagaimanakah cara untuk mencapainya?

1. Pergantungan hanya kepada Allah semata-mata.
Pengajaran yang paling utama ialan meletakkan pergantungan kepada Allah SWT semata-mata. Tiada Tuhan selain Allah. DIA lah yang sepatutnya kita tuju apabila kita menghadapi masalah, tunduklah serta yakinlah bahawa DIA Maha Mengetahui, DIA lebih memahami segala kehendak kita. Maka dikala itu kita akan tenang dan pasrah terhadap apa yang berlaku kepada kita.
Ini terserlah apabila kita memahami dan mengingati pergertian "Iman" iaitu apa yang tersemat dihati kita (apa yang kita yakin), kemudian diucapkan dengan lidah dan dibenarkan dengan amal."

2. Kekuatan Dalaman seorang Muslim.
Ia juga menguji kekuatan dalaman seorang Muslim, mampukah kita menghadapinya. Redhakah kita dengan setiap ujian yang diberi Allah SWT. Bila kekuatan dalaman kita mantap, kita mudah redha dengan apa yang berlaku. Walau apa bisikan syaitan datang kita tetap yakin bahawa Allah menguji kita kerana kita mampu menghadapinya. Ingatlah sekuat manapun ujian kita sekiranya kita kembali kepada Allah, kita akan mampu melepasinya.

3. Jangan terlalu leka dengan kemewahan dan kesenangan yang kita kecapi.
Melihatkan keadaan umat Islam Palestin mengajar kita supaya tidak terlalu leka dengan segala kesenangan dan kemewahan yang kita dapat, kerana ia tidak dapat membawa kita ke mana-mana, akhirnya kita akan mati dan meninggalkan semua kemewahan kita itu. Sebenarnya Rasulullah sentiasa mendoakan kemiskinan, mengapa begitu? Begitu juga para Sahabah tidak leka dengan segala kekayaan mereka, sebab itulah jiwa mereka lembut dan dekat dengan Allah SWT.
Sekiranya ada kelebihan kita sedekahkan kepada orang-orang yang amat memerlukan. Itulah sikap Muslim sejati, tidak mementingkan diri sendiri sahaja.

4. Merasai bahawa umat Islam itu bersaudara.
Apabila berlakunya serangan ini ramai Umat Islam di seluruh dunia menyatakan sokongan mereka kepada umat Islam Palestin, ramai yang turut serta dalam perhimpunan dan tunjuk perasaan yang diadakan, baru terasa kekuatan umat Islam. Sekiranya hati-hati ini bersatu, orang Islam akan kuat, musuh akan gerun dengan semangat kita.
Bila menonton solat jenazah yang dilakukan di Palestin terasa betapa kuatnya mereka. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada mereka untuk berjuang.
Namun kita hendaklah ingat bahawa syaitan akan sentiasa berusaha untuk melemahkan kita, menyebabkan kita suka bersendirian, beruzlah sendiri kerana bersendirian akan memudahkan ia mencucuk jarum kepada kita untuk mengikutinya. Sedangkan ajaran Islam menyuruh kita supaya sentiasa berada dalam jamaah muslimin, agar segala kekurangan kita dapat ditampung dengan kekuatan saudara seagama.

5. Kekuatan doa Muslim
Doa itu senjata orang-orang Mukmin, ia teramat kuat dan dapat menguatkan kita. Sekiranya kita yakin dengan Allah, maka DIA akan mengabulkan segala permintaan kita. Jadi apabila umat Islam bersatu dan berdoa bersama-sama, kita akan jadi sangat kuat. Malah kekuatan inilah yang akan mampu melemahkan orang-orang kafir disekeliling kita.
Allah sentiasa dekat dengan kita, dan sentiasa bersedia untuk membantu kita tapi kita kadang-kadang terlupa, mengutamakan orang lain lebih daripada Allah. Bila menghadapi masalah, kita cuma meletakkan doa sebagai pilihan terakhir, sedangkan sepatutnya kita bermula dengan doa dan akhir dengan doa. Jadikanlah ia amalan seharian kita, agar kita tenang dan damai walau menghadapi musibah.

6. Peluang untuk kita muhasabah diri.
Inilah peluang kita untuk memuhasabah diri, menghitung kekuatan dan kelemahan diri agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung didunia dan diakhirat.
Tidak rugi orang-orang selalu memuhasabah diri dan memohon ampun diatas segala kesilapan yang dilakukan kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar lebih 70 kali sehari. Janganlah kita bertangguh-tangguh, lakukan yang sebaik-baiknya agar kita lebih tenang.

7. Kemelesetan ekonomi.
Kelemahan ekonomi tidak akan memberi kesan terhadap orang Islam sekiranya mereka betul-betul mengamalkan ajaran Islam dan sunnah Rasul. Ini kerana Islam mengambil berat tentang ummahnya, yang lemah akan mendapat bahagian masing-masing. Oleh itu sebaik-baiknya kita memerhatikan tindak-tanduk seharian, merencana segala perbelanjaan kita, tidak membazir kepada benda yang tidak perlu, jadi tidak ada istilah pendapatan sedikit.
Sekiranya kita betul-betul menjaga masa kita, banyak perkara yang mampu kita buat sehari-hari yang dapat membantu menambah isi pendapatan keluarga. Cuma yang malas saja yang akan merungut. Begitulah cantiknya ajaran Islam sekiranya kita hayati betul-betul.

8. Melengkapkan diri dengan persiapan dan ilmu yang sepatutnya.
Kitalah yang menentukan corak hidup kita, sekiranya asasnya adalah asas agama maka kita akan menjadi kuat, namun sekiranya asas agama kita kosong, maka jiwa akan mencari-cari. Apa yang dicari dan bagaimana untuk mendapatkannya? Itulah fitrah manusia, jiwa kita akan kosong sekiranya tidak diisi dengan pengisian agama, oleh itu berusahalah mencari ilmu agama untuk melengkapkan kehidupan ini.
Sehebat manapun kita dalam ilmu dunia sekiranya tidak diseimbangkan dengan ilmu akhirat, akhirnya kita akan mencari-cari untuk mendapatkan kasih sejati, kasih Rabbul Jalil. Moga Allah memberi Rahmahnya kepada kita semua.
Malangnya sistem pendidikan kita kurang menekankan pengisian agama, walaupun matapelajaran agama diajar di sekolah-sekolah tapi tidak ada teknik yang menarik disertakan dalam subjek tersebut. Agama untuk dihayati, dan penghayatannya memerlukan hati-hati yang bersih dan jiwa yang ikhlas barulah ia memberi kesan.

9. Kekuatan dalam membantu melemahkan orang-orang kafir.
Sememangnya kekuatan dalaman mampu melemahkan orang-orang kafir. Inilah yang dapat kita lihat dalam serangan Israel ke atas Gaza, selama beberapa hari mereka memulakan serangan udara dengan harapan ingin melihat umat Islam Gaza mengangkat bendera putih, tapi mereka gagal sehingga mereka mengira taktik pertama mereka gagal.
Boleh dilihat helikopter mereka menjatuhkan bom-bom ditanah-tanah kosong, ada bom yang tidak meletup dan sebagainya. Sekiranya difikirkan secara logik, bertan-tan bom yang digugurkan tersebut mampu menghancurkan keseluruhan Gaza, tapi kuasa Allah melebihi kekuasaan manusia.

Inilah diantara pengajaran yang mampu diperolehi dari peristiwa ini, disamping pelbagai pengajaran lain yang terlalu banyak. Kesimpulannya semuanya terletak ditangan kita, sekiranya kita ingin berubah ke arah yang lebih baik, tanpa ujianpun kita mampu melakukan. Namun memang sifat manusia bila diuji barulah teringat, tanpa ujian kita leka. Oleh itu bersyukurlah dengan setiap ujian yang menimpa kita, kerana kita akan menemui pengajaran yang tiada bandingannya.
Ingatlah bahawa Allah menguji hamba-hambaNya yang mampu menghadapinya sahaja, agar mereka dapat merasai manisnya hidup dikemudian hari.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat