Perjuangan Islam

Melihat perjuangan orang-orang Palestin mempertahankan bumi Anbiya' mengingatkan kita betapa pentingnya menguatkan pegangan kita kepada Allah SWT. Dikala umat Islam lain leka dengan pembangunan dan kemewahan, mereka tetap teguh mempertahankan maruah umat Islam. Dikala umat Islam lain sibuk dengan agenda harian masing-masing, mereka tidak boleh leka, kerana peluru tidak bermata, bila-bila saja boleh menerjah ke dalam tempat tinggal mereka.

Dalam keadaan sebegini hanya penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT saja yang boleh dilakukan, siapa lagi yang dapat membantu mereka. Inilah perjuangan Islam, perjuangan menegakkan agama ini tidak mampu dilaksanakan oleh orang-orang yang tidak mempunyai keyakinan penuh kepada Allah SWT.

Menyorot kembali kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam, betapa hebatnya penyerahan para Sababah kepada Allah SWT, mereka sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan agama yang tercinta. Dalam masa yang sama wujudnya satu golongan munafik, yang berpura-pura Islam. Ini kerana mereka tidak berjuang sepenuh hati, malah menghasut umat Islam lain supaya meninggalkan medan perang. Dalam masa yang sama wanita turut serta berjuang dan memberikan bantuan kepada pejuang. Anak-anak kecil tahu tujuan hidup mereka hanyalah untuk Islam, tidak ada istilah hiburan dalam hidup mereka. Begitulah hebatnya mereka.

Beginilah yang berlaku di Palestin hari ini, ketika Hamas tekad berjuang bermati-matian untuk mempertahankan bumi Anbiya' tersebut satu pihak lagi meminta mereka berhenti dan berdamai dimeja rundingan. Sedangkan Israel tetap meneruskan agenda mereka, lebih 5 buah masjid telah berjaya dimusnahkan, terbaru mereka mensasarkan ke rumah para pemimpin Hamas.

Begitulah sikap mukmin yang sentiasa diuji, tiada istilah berseronok dalam kamus hidup mereka, para wanita mereka terlalu tabah walaupun kehilangan anak-anak mereka, tiada perasaan gusar dijiwa mereka. Dalam kes serangan ke atas sebuah rumah di tepi masjid, wanita yang mempunyai 9 orang anak tersebut terlalu tabah walaupun kehilangan 5 orang anak dalam kejadian tersebut dengan menyatakan "tak mengapa hilang 5 masih ada 4 orang lagi untuk bersama-sama beliau". Inilah ciri-ciri wanita yang bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Jadi dimanakan tempat kita kalau nak dibandingkan dengan mereka? Mampukah kita?, kadang-kadang anak jatuh, cuma berdarah sedikit didahi kita dah kelam-kabut. Anak merengek sedikit kita dah tak tentu arah.

Sememangnya perjuangan Islam di Palestin diketahui umum, serta mendapat bantuan daripada ramai umat Islam lain, walaupun dalam masa yang sama umat Islam lain di Filipina, Myammar, Indonesia, Thailand turut menjadi mangsa agama lain. Tidak ramai yang mengambiltahu tentang mereka, perjuangan mereka tidak didengari, malah tidak banyak bantuan yang dihulurkan kepada mereka. Begitulah jiran-jiran kita disekeliling Malaysia, masing-masing berjuang menuntut hak mereka untuk bebas melakukan tuntutan agama Islam.

Inilah kesan terhapusnya perbincangan tentang jihad dalam silibus kelas agama Islam, jihad hanya difokuskan kepada jihad melawan hawa nafsu, sedangkan jihad sebenar ialah jihad yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kita juga sudah melupakan hadis Rasulullah SAW yang menyebutkan tentang cara mencegah kemungkaran yang bermaksud "Apabila kamu melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan hati, maka itulah selemah-lemah iman". Yang tinggal sekarang umat Islam cuma melaksanakan dengan hati, jadi betapa lemahnya kita.

Apakah punca terjadi sedemikian? Apakah kesilapan para ibu yang tidak mampu meniupkan roh jihad ke dalam jiwa anak-anak mereka ataupun perubahan zaman?

Menurut hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Maka kamu akan mengikut sunan orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawakpun kamu akan masuk juga, maka para sahabah bertanya Rasulullah, siapakah mereka, maka baginda menjawab: Yahudi dan Nasrani". Begitulah yang terjadi kepada umat Islam hari ini, ramai yang mengikut cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani, dengan hiburan berlebih-lebihan. Malah banyak perkara yang tidak perlu dilebih-lebihkan kerana mengikut protokol tertentu, sedangkan yang asas tidak difahami sepenuhnya.

Ditambah lagi sifat anak-anak muda sekarang, yang terlalu banyak meniru daripada orang-orang bukan Islam, kemana hilangnya identiti kita sebagai orang Islam?

Jadi bagaimanakah kita ingin memasukkan unsur gerun musuh terhadap kita sekiranya kita tidak mampu mengamalkan ajaran Islam sejati. Kita terbawa-bawa dengan cara hidup barat dalam semua segi, dan sifat-sifat itulah yang diturunkan kepada generasi selepas kita. Jadi apakah bentuk kehidupan yang akan mereka bawa seterusnya? Sama-samalah kita fikirkan.
Kita juga tidak mampu menegakkan sifat "amal maaruf dan nahi munkar" iaitu menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran", kerana tidak mahu kehilangan kawan. Itulah yang berlaku dalam masyarakat Islam dimana-mana.

Jadi apakah bentuk perjuangan Islam sekarang? Perjuangan kita sekarang adalah untuk menegakkan kalimah tauhid dalam diri anak-anak kita dan orang disekeliling kita, supaya mereka faham tugas dan tanggungjawab mereka hidup didunia ini. Perjuangan ini cuma mampu dilaksanakan oleh ibu-ibu yang telah jelas matlamat hidup mereka didunia ini, sebagaimana perjuangan yang cuba ditegakkan oleh para wanita di Palestin iaitu perjuangan untuk kebahagiaan didunia dan di akhirat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat