Mengapa Susah untuk Bersatu?

Hari ke-21 perang di Gaza menyaksikan pimpinan Islam bertemu untuk membincangkan kes ini setelah usaha Mesir gagal mencapai matlamat. Semalam (Khamis) perbincangan tergempar berlangsung di Saudi yang ditaja oleh Raja Arab Saudi, manakala hari ini pula berlangsungnya pertemuan di Doha, Qatar untuk membincangkan usaha damai yang ditaja oleh Amir Qatar.

Perbincangan yang disertai oleh perwakilan dari 14 buah negara Arab yang agak berani termasuk Algeria, Turki dan Iran.Dalam masa yang sama kesatuan negara-negara Arab menyatakan bahawa mereka akan membincangkan perkara yang sama (perkara tambahan) dalam mesyuarat Menteri-menteri luar Liga Arab di Kuwait. Malah mereka menyifatkan bahawa pertemuan di Qatar tidak mempunyai ahli yang cukup untuk meluluskan apa-apa resolusi.

Inilah yang berlaku dikalangan negara Arab, masing-masing ingin menunjukkan kebijaksanaan, namun apa yang berlaku umat Islam Gaza masih menanggung akibatnya. Setakat ini lebih 1170 syuhada dilaporkan, dengan pelbagai peristiwa yang menunjukkan kekejaman Israel terhadap umat Islam ini.

Memang tentera Israel mengganas dengan menghancurkan rumah-rumah penduduk Palestin tanpa belas kasihan dengan alasan tentera Palestin berlindung dalam rumah penduduk untuk menyelamatkan diri. Mereka juga menyatakan bahawa tentera Palestin tidak berpakaian seragam ketika menyerang mereka. Inilah alasan umat yang tidak faham tentang konsep jihad. Mereka hanya tahu perang adalah kerja askar, orang lain tidak terlibat sama, sedangkan dalam Islam, setiap orang Islam mesti menyiapkan diri untuk berjihad bila tiba waktunya, seperti dalam keadaan Palestin. Oleh itu tidak ada istilah pakaian seragam apabila keadaan mendesak seperti itu.

Ramai Penduduk Palestin hanya bersenjatakan senjata buatan sendiri, kerana sekatan yang dilakukan selama ini. Itulah kehebatan mereka yang mampu membuat senapang sendiri. Inilah kesan positif daripada musibah yang berlaku kepada mereka. Pemuda-pemuda Palestin adalah lambang kekuatan pemuda Islam, mereka tidak mudah menyerah kalah maupun berundur dari medan jihad.

Hari ke-20 menyaksikan menteri Dalam Negeri Palestin yang juga diantara pemimpin Hamas telah Syahid bersama-sama dengan anak dan beberapa orang keluarga beliau, apabila rumah tempat mereka berlindung dan merancang dibom oleh tentera Israel. Pemergian Syeikh Said Siyam menambah lagi bilangan syuhada dikalangan pemimpin Palestin, apabila Dr. Nizar Rayyan sekeluarga telah menemui syahid pada 2/1/2009 yg lalu. Begitulah takdir Allah, mereka pergi sebagai syuhada dan telah terjamin tempat mereka di syurga. Innalillah...

Pemergian pemimpin Hamas yang amat berani ini, menaikkan lagi semangat umat Islam Palestin, yang memang telah lama menanggung penderitaan disebabkan angkara pimpinan Arab yang amat bergantung kepada US dan Israel. Walaupun lebih 3 minggu berada dalam situasi peperangan, namun umat Islam Palestin tetap tabah dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Hamas untuk meneruskan perjuangan mereka. Begitulah sikap umat Islam yang faham tentang tuntutan aqidah muslim.

Bila mendengar komen pimpinan Arab, betapa senangnya mereka mengucapkan kata-kata, malah mereka mengungkapkan peristiwa di Palestin hanya sebagai "tragedi", dan mereka bersedia menyalurkan wang untuk membangunkan balik pertempatan tersebut. Begitulah keadaan bila tujuan hidup hanya untuk kesenangan di dunia, mereka tidak dapat menilai erti kemanusiaan.

Seperti itulah juga kerajaan Mesir, yang masih bertindak menyekat pintu masuk ke Gaza, denga alasan Pintu Masuk tersebut dikawal oleh Israel, sedangkan Ma'bar Rafah tersebut terletak di Mesir. Segala bantuan yang dihantar tersekat di Mesir, tidak sampai ke Gaza. Malah dua hari lepas gudang tempat simpanan barangan UN di Gaza telah dibom oleh tentera Israel dan menyebabkan kebakaran bekalan ubat-ubatan dan makanan untuk orang Gaza. Inilah target Israel untuk memeritkan lagi penderitaan umat Islam. Moga Allah membantu mereka dan terus menguatkan semangat mereka. Amin.

Mengapa begitu susah untuk semua pimpinan ini bersatu, menyelesaikan dengan cara mudah. Mengapa mereka begitu bergantung kepada Amerika? Semuanya kerana kepimpinan Islam bukan lagi dipegang oleh golongan ulama, mereka hanya berpegang kepada logik akal mereka dan bukannya kembali kepada anjuran Islam yang sebenarnya. Moga Allah membuka hati pemimpin-pemimpin ini untuk kembali menghayati Islam serta menyatukan hati-hati mereka. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat