Peribadi Insan Contoh

Setiap orang mempunyai idola yang menjadi contoh kepada setiap tingkahlakunya. Ada yang memilih penyanyi, ahli politik, ibubapa dan sebagainya untuk memenuhi keinginan ini. Namun pilihan terbaik adalah nabi kita, Muhammad SAW, kerana kisah perjalanan hidup baginda yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia telah diceritakan dalam Al-Quran, Al-Sunnah dan kitab Sirah. Malah ia paling sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang diceritakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab: 21 yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah ada pada (Diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (Rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Dalam ayat ini Allah SWT menyifatkan Rasulullah adalah contoh teladan yang terbaik bagi manusia, terutama bagi orang yang mengharapkan Rahmat Allah dan ingin memperolehi ketenangan hidup didunia dan diakhirat. Siapa lagi yang boleh menjadi contoh kepada kita?

Apakah kita telah habis menghayati sirah hidup Rasulullah ini? Berapa kali kita habis membaca buku sejarah hidup insan agung ini? Sekiranya kita betul-betul menghayatinya, kita tidak akan jemu membacanya walau membaca berulang kali. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda "Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga Aku dikasihinya melebihi ibubapanya dan anak-anaknya dan semua manusia".

Apakah kita mampu melakukannya? Apakah tanda kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW? Sesungguhnya orang yang betul-betul mencintai baginda sanggup melakukan apa sahaja demi insan yang dicintainya, sebagaimana orang yang bercinta sanggup berkorban apa saja. Namun apakah pengorbanan kita sudah sampai ke tahap ini? Fikirkanlah.

Bagaimana ingin menghidupkan cinta dan kasih kita terhadap Rasulullah sekiranya sejarah hidup bagindapun kita masih belum khatam lagi, apatah lagi beratus ribu hadis baginda yang dikumpulkan oleh para Tabiun terdahulu belum kita baca. Apakah kita mampu mencintai baginda tanpa mengenali pribadi baginda SAW? Inilah keadaan umat Islam sekarang, betapa kita melenting apabila orang kafir mempermainkan Islam, tapi hakikatnya kita tidak menyayangi Islam itu sendiri.

Orang-orang yang menyayangi akan cuba mengenali peribadi orang yang disayanginya, tidak mungkin ia mencintai orang yang tidak dikenalinya. Bagaimana kehidupan Rasulullah bersama para isteri baginda, bagaimana pergaulan baginda dengan kanak-kanak dan pelbagai lagi. Itulah ilmu yang semakin hari semakin pupus dalam kehidupan orang-orang Islam. Pernahkah kita tanya anak-anak kita sejauh mana mereka tahu tentang Rasulullah berbanding dengan sejarah hidup celebriti pilihan mereka.

Muhasabahlah diri kita, carilah ilmu-ilmu ini serta galakkan anak-anak kita mempelajarinya kerana pendidikan ini tidak akan pernah berakhir. Mempelajarinya bermakna menghidupkan perasaan kasih dan cinta kita terhadap agama kita, mempunyai ilmu untuk mempertahankan agama kita, bukannya semangat berapi-api tapi kosong dari dalam. Ikutilah contoh terbaik ini dari segenap sudut agar kehidupan kita diberkati di dunia dan akhirat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat