Jangan Lupa Jiran Anda

Menjaga hubungan kejiranan adalah dituntut dalam Islam, malah Rasulullah banyak bersabda tentang jiran. Walau sebagaimana hebatpun anda dan pasangan anda, kehidupan anda tidak akan sempurna sekiranya anda melupakan jiran di sekeliling anda. Namun hari ini terlalu ramai yang tidak mengendahkan hak jiran tetangga, nak mengukirkan senyuman pun berat, seolah-olah jiran itu orang asing bagi mereka.

Pengalaman hidup berjiran di beberapa tempat di Malaysia dan di Oman, menyebabkan saya terasa bahawa tahap kefahaman orang-orang Islam tentang jiran semakin berubah. Dimana-mana sahaja, orang semakin melupakan hubungan sesama jiran, malah ramai yang tidak mengenali dan berkenalan dengan jiran sendiri. Apatah lagi sekiranya jiran itu berlainan keturunan dan bertutur bahasa yang berbeza dengan kita.

Pengalaman berjiran dengan orang yang tidak dikenali, berjiran dengan rakan sekerja, berjiran dengan pendatang, malah sekarang berjiran dengan pelbagai kaum yang datang dari negara yang berbeza. Realitinya ramai surirumah dibandar-bandar tidak mengendahkan tentang hubungan ini, ini kerana mereka sibuk dengan urusan seharian. Mereka kurang terbuka untuk mewujudkan hubungan baik sesama jiran.

Sekiranya dikampung, jiran duduk bersama-sama menghadiri kelas-kelas agama, berkongsi cerita masing-masing, kadang-kadang bertukar-tukar masakan harian, keadaan di bandar amat berbeza sekali. Masing-masing keluar rumah, masuk kereta dan berlalu pergi ke tempat tujuan masing-masing. Kadang-kadang jiran yang berdiri di depan rumahpun tidak disapa.

Sekiranya budaya ini berterusan maka hilanglah satu pendidikan sunnah. Didikan yang diajar oleh Rasulullah SAW ini semakin diketepikan oleh masyarakat yang hidup sendiri sendiri, yang diketahui "nafsi nafsi" bukan "Ummati ummati". Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan kita agar hidup dalam satu kumpulan, bukan bersendirian.

Alhamdulillah, kita patut bersyukur kepada Allah kerana mendapat jiran yang baik dengan menghormati kita sebagai jirannya. Namun demikian ada juga yang malang sebab mendapat jiran yang tidak menjaga hak kita sebagai jiran atau jiran kita pula tidak mendapat jiran yang menjaga haknya. Inilah ujian masing-masing.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, "Bimbingan Mukmin", terdapat terdapat beberapa hak dan tanggung jawab yang perlu ditunaikan oleh seseorang terhadap jirannya, antaranya ialah: hendaklah seseorang itu mula memberi salam kepada jirannya, menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya. Jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya. Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya. Hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya. Sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik Bersedia menolong jiran yang ditimpa bencana Tidak menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya serta tidak terpengaruh dengan kata-kata untuk memburuk-burukkan jiran.

Jiran atau tetangga ada tiga macam iaitu Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak, dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran musyrik, jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran Muslim dan jiran yang mempunyai tiga hak, ialah jiran Muslim yang berkerabat, maka baginya hak ketetanggaan, hak keislaman dan hak kekerabatan.

Perhatikanlah bagaimana Islam telah menetapkan bagi seorang musyrik haknya, hanya kerana ia menjadi tetangga kepada seorang Muslim saja. Rasulullah s.a.w. telah bersabda lagi: "Malaikat Jibril sentiasa mengingatkan aku tentang hak jiran sehingga aku menyangka ia akan mewariskannya" malah sabda baginda lagi: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan tentangganya” dan sabda baginda lagi: “Tiada sempurna iman seseorang hamba, sehingga tetangganya terselamat dari segala kejahatannya".

Malah hubungan kejiranan dalam Islam amat luas iaitu meliputi 40 buah rumah setiap penjuru. Kalau nak dihitung begitu ramai jiran kita, betapa ramai saudara kita, tapi realitinya ramai yang tidak pernah mengenali satu sama lain. Sekiranya suatu masa dulu, jiran sama-sama mendidik anak-anak, kanak-kanak sekampung berkumpul dan bermain sama-sama, kini tidak lagi kerana ramai yang tidak menghayati ajaran ini.

Ketahuilah bahwasanya bukanlah hak tetangga itu semata-mata dengan mencegah diri dari melakukan yang boleh menyakitinya saja, bahkan hendaklah menanggung dengan sabar segala kelakuan yang tidak sopan yang mungkin datang daripadanya pula. Begitulah diantara tugas dan tanggungjawab kita, dalam menjaga hubungan sesama manusia. Fikirkanlah adakah kita telah memenuhi tuntutan ini ataupun belum...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman