Semangat Muslim

Apakah semangat Muslim diajar oleh Nabi Muhammad SAW? Adakah ia masih wujud ataupun telah bertukar bentuk?

Sepanjang mengikuti laporan peperangan di Gaza serta laporan tunjuk perasaan membantah kekejaman Israel di Gaza, hati saya tertanya-tanya apakah ada pengajaran untuk kita kongsi bersama disitu? Apakah ia berkaitan dengan fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah SWT?

Sememangnya Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrah yang jelas, itu boleh dilihat kepada kecenderungan kanak-kanak kerana mereka masih lagi pada peringkat fitrah. Ia disebutkan dalam satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a katanya:
"Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?" Riwayat Bukhari.

Sifat-sifat positif kanak-kanak sepatutnya dipelajari oleh orang dewasa untuk hidup lebih harmoni. Jadi bersyukurlah sesiapa yang mempunyai anak-anak kerana kita boleh belajar banyak perkara daripada mereka.

Masalahnya ramai ibubapa menganggap anak-anaklah yang perlu belajar daripada mereka kerana mereka lebih lama hidup, terlebih makan asam garam dalam hidup ini. Itu yang menyebabkan timbulnya pelbagai sifat negatif, apa taknya mereka menyuruh anak-anak meniru akhlak mereka sedangkan akhlak anak-anak lebih baik daripada mereka. Sekiranya ibubapa mampu mempamerkan akhlak mulia alhamdulillah, ia sesuai untuk ditiru oleh anak-anak mereka, tapi sekiranya kita tidak mampu menghidupkan akhlak-akhlak positif, biarlah anak-anak berfikir sendiri, membina jatidiri berpandukan fitrah kejadian manusia.

Itulah yang dijelaskan dalam hadis diatas, kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci daripada kesilapan, tapi ibubapa merekalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi dengan mempamerkan dan mengajar sifat-sifat negatif kepada anak-anak.

Cubalah perhatikan sifat mulia yang wujud dalam diri kanak-kanak disekeliling kita, betapa mereka mudah melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang ditemui, mudah berkenalan dan berkawan dengan sesiapa saja, mempunyai sifat ingin tahu yang kuat, tidak mudah berkecil hati, bila bergaduh begitu senang mereka memaafkan kawan-kawan mereka serta pelbagai lagi sifat-sifat positif. Alam kanak-kanak amat luas dengan kasih sayang dan sifat tolak-ansur, amat berbeza daripada alam orang dewasa yang penuh dengan iri hati, hasad dengki, perkauman dan pelbagai lagi sifat negatif.

Kanak-kanak juga tidak mempunyai perkauman, mereka berkawan dengan semua jenis kanak-kanak lain yang ditemui oleh mereka. Sekiranya ibubapa tidak menjelaskan orang tu hitam, coklat, putih ataupun orang tu India, Cina, Arab dan sebagainya, mereka akan membesar tanpa sifat perkauman. Ini kerana kanak-kanak melihat orang lain semua cantik hatta yang hitam legam pun mereka anggap cantik. Inilah pelajaran yang saya perolehi daripada 4 orang anak-anak saya yang sedang membesar.

Mulanya saya amat terkejut bila mereka menyifatkan anak orang afrika yang ditemui sangat cantik, saya mula bertanya dimana kecantikan yang mereka kata tu, kerana mata kasar saya menyatakan kanak-kanak tersebut hitam dan tak cantik, namun bila difikirkan balik itulah fitrah kanak-kanak yang sepatutnya kita biarkan. Biarlah ia terus berkembang positif kerana hasilnya mereka mampu hidup dalam masyarakat yang indah pada pandangan mereka.

Inilah diantara semangat yang perlu kita pupuk dikalangan orang Muslim, dan ini jugalah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak ada sifat perkauman yang membezakan diantara kita,
yang ada cumalah ketaqwaan masing-masing. Bila ada yang cuba menyedarkan saya dengan mengatakan bahawa berkawan dengan orang India yang busuk, saya diam kerana saya menyedari bahawa hati si India tadi lebih suci daripada orang yang mengatakan dia busuk.

Jadi biarkan anak-anak kita membentuk jatidiri mereka dengan sifat-sifat positif ini, kerana sekiranya kita masuk campur kita akan mengeruhkan keadaan, menyebabkan kacau-bilau dalam diri anak-anak kita. Apa taknya kanak-kanak bergaduh sikit saja, tapi apabila ibubapa masuk campur, jadilah bermasam muka, masalah kecil dah jadi besar. Mungkin sebab itulah ibubapa zaman dulu kurang masuk campur tentang pergaulan anak-anak mereka, dibiarkan mereka bergaduh dan cari penyelesaian sendiri.

Berbalik kepada tunjuk perasan yang diadakan sekarang, sama-samalah kita berdoa agar hati-hati mereka terus dieratkan dengan semangat yang satu, iaitu keimanan kepada Allah SWT dan perasaan ingin melihat Islam terus dihayati dalam dunia ini. Namun yang paling utama agar manusia menyedari bahawa tidak ada beza antara muslim, Arab ataupun tidak, sama-samalah kita menghidupkan alam ini dengan semangat yang satu, iaitu mengesakan Allah SWT dan menghidupkan sunnah RasulNYA . Itulah semangat Muslim yang dizahirkan secara tidak langsung daripada peperangan di Gaza, dan itulah kemenang umat Islam Gaza yang tidak mampu digugat oleh Israel, walau apa jenis senjata mereka gunakan. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas