Semua Insan Hebat

Sekadar berkongsi satu pengalaman saya semenjak dulu iaitu sentiasa memikirkan orang lain hebat. Alhamdulillah semenjak berada dibangku sekolah rendah lagi, saya sentiasa melihat kepada kelebihan orang lain terutama jiran-jiran sekampung.

Ia menjadi begitu memuncak ketika berada di MMP, setiap pelajar terbaik di sekolah ketika itu adalah insan yang teramat hebat pada kacamata saya sampai kini. Ada antara mereka terus menempa kejayaan, ada pula yang tenggelam tanpa berita tentang mereka.

Di antara kegemaran saya ialah membaca nama-nama pelajar terbaik dalam setiap keputusan peperiksaan penting di sekolah, tapi saya tidak meletakkan nama sendiri disitu. Mungkin itulah kelemahan diri ini, terlalu memandang rendah kebolehan diri sendiri.

Ketika itu saya tidak pernah memikirkan apa yang ada pada diri sendiri, yang saya tahu hanyalah hadir ke sekolah setiap hari. Bak kata orang zaman sekarang, tidak meletakkan matlamat diri, apa yang ingin dicapai serta apa matlamat untuk masa depan. Saya memang tidak meletakkan diri dalam kelompok pelajar terbaik walaupun pencapaian diri sendiri hampir-hampir ke situ.

Dalam masa yang sama saya aktif dalam pertandingan khat, malah sentiasa mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan. Alhamdulillah berjaya memperolehi kemenangan setiap kali menyertai pertandingan, tapi hati sendiri tidak pernah merasakan ada kehebatan disitu.

Alhamdulillah Allah swt memudahkan setiap perjalanan pembelajaran saya walaupun saya tidak pernah meletakkan apa-apa target untuk itu. Apa yang saya tahu hanyalah berusaha untuk kejayaan dalam masa yang singkat.

Jika tidak dapat mencapai apa yang hati inginkan saya akan mengubah jalan saya, sebagai contoh ketika tidak mampu mendapat keputusan terbaik semasa ijazah sarjana muda, saya memilih untuk menamatkan pelajaran lebih awal dengan belajar lebih jumlah matapelajaran. Hasilnya saya mampu menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun dan sempat bekerja sementara kawan-kawan menamatkan pengajian mereka.

Ketika belajar ilmu CVT, barulah saya memahami bahawa orang-orang dalam ketegori seperti saya memang tidak memikirkan perancangan untuk jangka masa panjang tapi mampu menyelesaikan masalah. Betulkah begitu?

Jadi apakah kaitannya dengan insan hebat? Bagi saya setiap orang adalah hebat, mereka dikurniakan oleh Allah swt kelebihan tersendiri yang tidak mampu dilakukan oleh insan lain. Itulah sebabnya Allah swt menyuruh manusia tolong-menolong agar kita mampu membantu orang lain menggunakan kepakaran yang ada pada kita.

Kemudian terfikir pula, apakah sifat sebegini boleh menimbulkan masalah kepada diri? Apakah apabila kita tidak memikirkan tentang diri sendiri hebat kita tidak boleh mencapai kejayaan dalam hidup kita? Rasanya bila kita sentiasa memikirkan kehebatan orang lain, Allah swt juga akan menghadiahkan kita kehebatan itu insya Allah.

Moga-moga kita juga mampu menjadi insan hebat suatu hari nanti.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas