Bertudung atau Berpurdah?

Alhamdulillah saya sempat membaca lagi buku tentang bertudung atau berpurdah, kali ini buku "Anniqab Lilmar'ah: bayna qaul bibid'iyyatihi wal qaul biwujubihi" (Purdah untuk Wanita: Antara pendapat bahawa ia Bid'ah dan pendapat wajib memakainya) karangan Dr. Yusuf Al-Qardawi.

Sememangnya saya sentiasa dikelilingi oleh wanita-wanita yang berpurdah, tambahan lagi wanita-wanita Oman agak ramai yang berpurdah apabila keluar ke khalayak ramai, jadi hati saya selalu terasa was-was, apakah betul tuntutan yang telah dilaksanakan, bimbang tidak menepati tuntutan yang sepatutnya.

Jadi entah berapa kali saya membaca buku-buku tentang hukum bertudung dan berpurdah semata-mata ingin meyakinkan diri bahawa apa yang dilakukan sememangnya tepat dan betul. Sewaktu zaman pelajar lagi saya memikirkan perkara ini, apabila membaca buku hati menjadi tenang, kemudian ia datang lagi hinggalah tiba disini, saya masih lagi memikirkan perkara yang sama.

Saya sememangnya kagum dengan wanita-wanita yang sanggup berpurdah, betapa hebatnya mereka, kemudian hati berbisik 'alangkah bagusnya jika aku juga boleh memakai purdah seperti mereka'. Tapi adakalanya kita perlu berbuat sesuatu mengikut kesesuaian kita, jangan pakai hari ini beberapa tahun kemudian ia entah ke mana. Sebaik-baiknya apa yang kita lakukan biarlah bersederhana dan berterusan.

Menurut Dr. Yusuf Al-Qarawi, para fuqaha semenjak zaman sahabat lagi menerima pendapat bahawa 'wanita Muslimah tidak diwajibkan berpurdah dan harus mendedahkan muka dan tapak tangan dihadapan orang lelaki'.

Ini berdasarkan hujah-hujah seperti berikut:

1. Pakaian wanita ketika musim haji dimana Rasulullah melarang wanita yang dalam ihram memakai sarung tangan dan tutup muka.

2. Semasa solat dimana mazhab bersependapat bahawa wanita harus membuka tutup mukanya. Ia berdasarkan hadis Asma bint Abi Bakr ketika mana Rasulullah memberitahu beliau agar bertudung, dalam hadis "Wahai Asma', sesungguhnya perempuan yang telah didatangi haid (aqil baligh) tidak harus dilihat kecuali bahagian ini dan ini, dan Rasulullah menunjukkan bahagian muka dan dua tapak tangan."

3. Ayat Quran yang menyuruh lelaki menjaga pandangan, sekiranya muka wanita semuanya ditutup, apa perlunya ayat ini diturunkan. Ini kerana lelaki hanya akan terpikat apabila melihat muka wanita, dan dari muka juga akan menimbulkan fitnah.

4. Ayat "ولو أعجبك حسنهن" iaitu walaupun anda tertarik dengan kecantikannya. Dari mana datangnya kecantikan sekiranya tidak ada peluang untuk melihat wajah wanita, bahagian yang dijelaskan sebagai sumber kecantikan wanita.

5. Hadis "إذا رأى أحدكم امرأة فأعجبته" yang bermaksud apabila seseorang kamu melihat wanita dan takjub (merasa tertarik) kepadanya. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan wanita pada zaman Rasulullah tidak menutup muka (berpurdah).

6. Hadis "فصعد فيها النظر وصوبه" iaitu cerita tentang seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah untuk dinikahi, apabila Rasulullah memandang kepada beliau, baginda menolak, beliau duduk dan dilihat juga oleh para sahabat yang lain, kemudian salah seorang daripada mereka meminta untuk mengahwini wanita tersebut.

Begitu juga ada beberapa hadis lain yang menggambarkan situasi bahawa wanita-wanita pada zaman Rasulullah sebenarnya tidak berpurdah kecuali jarang-jarang, malah tidak ada perintah mewajibkan wanita berpurdah.

Namun begitu apa yang berlaku hari ini ialah kita terlampau menekan golongan berpurdah ini seperti yang berlaku dalam kes di universiti Al-Azhar. Sekiranya mereka melakukan atas keinginan hati mereka biarlah mereka teruskan.

Perkara yang sepatutnya kita lakukan ialah memberi peringatan kepada wanita-wanita yang masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti tidak bertudung, memakai pakaian ketat, memakai pakaian jarang dan sebagainya.

Malah begitu ramai yang terikut-ikut dengan fesyen tertentu hingga lupa apakah bahagian yang wajib ditutup oleh seorang wanita. Ramai yang bertudung tapi memakai baju lengan singkat, memakai baju paras pinggang yang apabila tertunduk sedikit ternampak aurat dan sebagainya.

Jadi persoalannya ialah apakah kita telah memenuhi tuntutan agama dalam menutup aurat? Apakah kita telah melaksanakan tuntutan dakwah ini kepada wanita-wanita lain disekeliling kita? Moga kata-kata yang baik yang kita keluarkan mampu menarik wanita untuk menutup aurat dengan sebetul-betulnya.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?