Menulis Lagi...

Alhamdulillah hari ini saya ingin menyambung kembali apa yang selalu saya fikirkan. Memang kadang-kadang terasa fikiran terlalu berat bila memikirkan persoalan-persoalan tentang kejadian manusia dan alam ini.

Namun saya tidak boleh melarikan diri daripada terus berfikir mengenainya, kerana ia mampu mencerahkan fikiran saya, dan mampu mendekatkan diri kepada Pencipta kita. Bila berfikir saya tidak mampu berhenti hinggalah berjaya menemui jawapannya.

Hari ini saya ingin memperkatakan tentang satu teknik yang selalu digunakan dalam motivasi barat iaitu "jangan fikirkan masalah disekeliling kamu tetapi tumpukan perhatian kepada diri sendiri". Menurut mereka sekiranya kita memikirkan tentang perkara negatif disekeliling kita, terutama isu-isu semasa, kita akan terpengaruh dengan energy negatif tersebut. Fakta sebegini selalu kita temui apabila membaca tentang 'mind power' dan beberapa cara lain yang diasaskan oleh orang-orang bukan Islam.

Namun begitu betulkah fakta tersebut? Berdasarkan pengalaman sendiri, saya merasakan bahawa ia tidak sesuai untuk kita yang beragama Islam. Ini kerana dalam Islam, kita dituntut untuk mengambiltahu hal ehwal jiran tetangga serta tolong-menolong sesama kita. Bagaimana kita boleh membantu orang lain sekiranya kita tidak tahu masalah mereka.

Persoalan lain ialah apakah bila kita memikirkan masalah orang lain, ia akan berjangkit kepada kita? Jika ia boleh menyebabkan masalah kepada kita, mengapa Allah swt menyuruh kita menolong orang-orang yang susah?

Sememangnya kita perlu mengkaji secara mendalam sebelum mencuba pelbagai teknik barat, untuk memastikan ia betul-betul sesuai untuk kita. Janganlah kita terlalu ghairah mencubanya hanya berpandukan kepada buku semata-mata, sebaliknya bergurulah kepada orang yang betul-betul arif mengenainya.

Sayangnya dalam dunia hari ini, kita mudah terpikat dengan ilmu yang dikatakan ada asasnya dalam Islam ataupun yang dikatakan telah disesuaikan menurut pandangan Islam walaupun pengasasnya bukan seorang yang thiqah.

Jadi jalan terbaik ialah carilah guru yang boleh membimbing kita, serta menjaga hubungan beliau dengan Allah swt. Jika guru tersebut hanya pandai bercakap, hindarilah. Mungkin itulah sebabnya para perawi hadis menguji guru mereka terlebih dahulu sebelum menerima riwayat daripada mereka.

Moga Allah menemukan kita dengan orang yang betul-betul memahami konsep kekuasaan Allah yang sebenar-benarnya, yang boleh membawa kita dekat kepada Allah swt.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman