Apa Tujuan Hidup kita?

Setiap benda yang dijadikan mempunyai tujuan dan sebab ia dijadikan begitu juga insan. Jika kita meneliti didalam al-quran kita akan dapati tujuan kejadian insan adalah amat jelas sekali, iaitu untuk menjadi khalifah di alam ini. Rujuklah cerita-cerita dalam surah Al-Baqarah dan Al-A'raf dimana Allah swt memberitahu kepada malaikat bahawa DIA ingin menjadikan 'khalifah' dialam ini.

Jika kita soroti lagi kita akan dapati bahawa tugas dan tanggungjawab tersebut amat berat dan tidak mampu dipikul oleh makhluk Allah yang lain. Apakah manusia begitu hebat untuk menggalas tanggungjawab ini? Kejadian manusia memang hebat dan itulah yang sepatutnya disedari oleh setiap insan serta berusaha untuk menjadi lebih hebat.

Namun begitu bukan semua insan menyedari kehebatan diri masing-masing, malah tidak ramai yang mampu sampai ke peringkat itu. Sayang sekali hidup kita dihabiskan untuk mengulang perjalanan yang sama tanpa mencapai nikmat yang sepatutnya kita capai.

Akan tetapi bukan mudah untuk kita sampai ke peringkat yang lebih tinggi, semakin tinggi kedudukan yang Allah sediakan untuk kita, makin besar pula ujiannya. Semuanya untuk menguji tahap ketaqwaan kita.

Itulah yang saya pelajari, iaitu apabila kita gagal dalam ujian, kita terpaksa mengulangi peringkat yang sama, dan itulah yang dialami oleh kebanyakan kita yang melakukan perkara yang sama sepanjang hidup mereka.

Bayangkan insan yang menjadi tukang sapu, budak pejabat dan kerja-kerja asas lain sepanjang hidup mereka. Apakah Allah tidak memberi peluang lain yang lebih baik kepada mereka? Sememangnya Allah sentiasa membuka peluang untuk peningkatan diri kepada mereka tetapi mereka lebih senang berada dalam zon selesa, dengan melakukan perkara yang sama.

Dalam pada itu, terdapat pula insan lain yang tak betah melakukan perkara yang sama berulangkali, mereka sentiasa menganalisis pencapaian diri serta berusaha ke arah yang lebih baik. Itulah bezanya insan yang Allah swt jadikan sebagai khalifah ini.

Apakah orang yang tidak berubah itu telah berjaya menjalankan tugas sebagai khalifah ataupun kita menganggap mereka gagal? Apakah kita menganggap orang yang telah berjaya mencapai status tertentu dalam hidup mereka sebagai khalifah yang berjaya? Satu persoalan yang perlukan jawapan yang jujur dari kita.

Kadang-kadang kita menganggap diri kita telah berjaya apabila berjaya di dalam peperiksaan, berjaya mendapatkan pekerjaan dengan gaji lumayan, berjaya dalam segala usaha kita sedangkan masih banyak lagi ujian menanti kita selagi kita hidup didunia ini.

Menjadi khalifah adalah tujuan utama kita dijadikan dialam ini, tetapi setiap orang dijadikan dengan tujuan yang lebih spesifik, dan itulah yang dicari oleh setiap orang. Kita akan sentiasa mencari apakah tujuan kita dijadikan agar kita mampu memberi manfaat yang besar kepada setiap isi alam ini.

Sayangnya tidak ramai orang Islam yang mampu sampai ke peringkat ini, kita asyik berpusing-pusing dalam daerah yang sama serta melakukan sesuatu yang tidak dapat memberi kepuasan kepada rohani kita.

Kadang-kadang kita menganggap bahawa kita telah mengetahui tujuan hidup kita serta berusaha keras untuk berjaya pada peringkat itu, rupa-rupanya masih banyak lagi ujian dan saringan yang mesti kita tempuhi telah disediakan oleh Pencipta kita.

Akan tetapi garis panduan yang ditetapkan ialah "orang-orang yang beriman tidak ada perasaan gentar dan takut dalam hati mereka serta tidak bersedih". Itulah sifat orang-orang yang bertaqwa malah mereka mengembalikan segala ujian yang dihadapi, dengan mengadu dan meminta pertolongan daripada Allah swt. Itulah penyerahan yang tidak berbelah bagi.

Maka bertuahlah mereka yang telah menemui tujuan hidup mereka, kerana satu demi satu jalan kebaikan akan dibukakan kepada mereka, malah pintu kesenangan dunia juga akan dibukakan seluas-luasnya, itulah ujian yang akan menguji tahap ketaqwaan kita.

Moga kita termasuk ke dalam golongan yang telah bertemu tujuan hidup mereka, serta melakukan usaha yang terbaik dalam sejarah hidup kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman