Merancang atau Tidak?

Alhamdulillah kita telah melangkah ke tahun baru 2010, setelah dua minggu melangkah ke tahun baru 1431H. Kedua-dua tahun baru ini bermula pada hari Jumaat, iaitu hari yang paling mulia bagi umat Islam. Moga-moga tahun ini membawa pelbagai Rahmat buat kita semua.

Ramai yang menyambut kedatangan hari pertama tahun baru dengan sambutan yang meriah, namun begitu bukan semua menyedari kehadiran hari-hari ini.

Malam tahun baru 2010 bermula dengan gerhana bulan disesetengah tempat, namun begitu tidak ramai yang menyedarinya. Kami juga tidak mengetahuinya walaupun berada ditaman sehingga jam 9 malam tersebut, sehinggalah diberitahu oleh seorang rakan yang datang agak lewat.

Yang disedari ialah ada pergerakan cahaya dilangit ditaman itu yang menyebabkan anak-anak teruja melihatnya, manakala yang dewasa sedikit ketakutan. Dalam perjalanan balik barulah kami menyedari bahawa pergerakan cahaya tersebut adalah balikan daripada cahaya spotlight yang dipancarkan daripada sebuah hotel ditepi laut. Ala...cahaya tadi datang dari situ, kata anak saya.

Bila mengingat balik topik perbualan kami disitu, kebanyakannya berkisar pasal merancang keluarga. Cara-cara yang digunakan untuk merancang keluarga, terutama bagi orang yang merantau. Bukan senang untuk menghadapi cabaran berada dinegara asing, kemudian menghadapi cabaran mengandung dan melahirkan. Pelbagai perkara yang terpaksa difikirkan dan diatur agar ia tidak menjadi beban yang berat untuk ditanggung oleh sesebuah keluarga.

Orang lain sibuk memikirkan perancangan tahunan ditahun baru, kami pula berbincang tentang merancang keluarga, apakah perkaitannya? Sebenarnya ia juga sebahagian daripada perancangan, namun perancangan ini bukan terletak ditangan kita. Kita hanya mampu menggunakan pelbagai cara yang disarankan oleh doktor, tapi ketetapannya tidak kita ketahui.

Ketika itulah saya menceritakan pengalaman merancang keluarga yang gagal kami laksanakan ketika awal tempoh perkahwinan kami, sekadar berkongsi dengan kawan-kawan betapa hebatpun perancangan kita, namun perancangan Allah lebih baik buat kita.

Kadang-kadang kita menyangka apabila kita sudah menggunakan khidmat doktor pakar, dihospital yang masyhur, kita amat yakin dengan segala maklumat yang mereka berikan, malah kita begitu menyakini setiap idea yang disampaikan kepada kita. Lebih-lebih lagi teknik-teknik yang disarankan dianggap begitu berjaya dalam merancang keluarga.

Tapi apabila berlaku kegagalan, kedua-dua pihak mendapat pengajaran daripadanya.Ketika itu doktor juga terpaksa kembali kepada kekuasaan Allah swt, memang bukan semua perancangan kita akan berjaya seratus peratus.

Apakah pelajaran yang mampu saya kutip daripada kegagalan merancang tersebut? Memang banyak pelajaran yang boleh menjadi panduan buat wanita-wanita lain juga.

Memang kita disuruh merancang kemudian berserah kepada Allah swt. Jika itulah yang terbaik untuk kita, maka DIA akan mengurniakan kepada kita, namun begitu jika ia tidak sesuai dengan kita maka DIA akan mengurniakan yang lebih baik. Dalam masa yang sama kita disuruh berdoa agar segala perancangan kita berjalan dengan baik.

Bayangkan berapa ramai wanita yang terpaksa menghadapi kesan sampingan merancang keluarga, ada yang menjadi gemuk, ada yang mengalami pendarahan yang banyak serta pelbagai lagi kesan lain. Dalam masa yang sama kita begitu resah memikirkan kesan sampingan yang akan berlaku kepada anak kita sekiranya cara yang digunakan itu tidak berjaya.

Dalam kata ringkasnya, kita risau dengan pelbagai kemungkinan yang bakal dihadapi, ditambah pula mood yang sentiasa berubah-ubah kesan perubahan hormon ke atas kita.

Apakah kita pernah memikirkan satu kaedah merancang keluarga yang tidak meninggalkan kesan sampingan seperti yang dinyatakan? Dalam dunia hari ini kita akan mentertawakan pendapat orang yang menyarankan idea sebegitu, seperti yang berlaku kepada saya suatu ketika dulu apabila disarankan kepada saya agar menggunakan teknik DOA semata-mata.

Malah mungkin ada wanita yang menyatakan apalah yang ada pada doa, kita mestilah mengusahakan sesuatu, agar doa tersebut tidak menjadi doa semata-mata tanpa usaha.

Namun bagi saya setelah mencuba pelbagai teknik yang disarankan oleh doktor pakar dan gagal, dan setelah mengandung empat tahun berturut-turut, akhirnya menerima teknik yang disarankan oleh rakan itu dan hasilnya alhamdulillah, saya mampu hidup tenang tanpa memikirkan persoalan tersebut lagi.

Siapalah kita untuk menghalang perancangan Allah, yang ternyata mempunyai pelbagai hikmah yang tidak mampu saya ungkapkan. Jadi tentang merancang keluarga, fikirlah sebaik-baiknya agar kehidupan kita tetap tenang walau apapun teknik yang kita pilih.

Apa pula perancangan tahun baru kita? Apakah kita meletakkan satu target tertentu? Semoga Allah memudahkan segala usaha kita untuk mencapai segala impian kita ditahun baru ini. Jadi pandai-pandailah merancang agar hari-hari yang kita lalui ada maknanya.








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016