Ramadhan di sini...

Ramadhan kali ini adalah kali kelima kami menyambutnya disini, jadi kali kelima jugalah kami tidak menyambut hariraya bersama-sama keluarga di tanahair. Rindu kepada keluarga dan tanahair itu sentiasa ada, tapi keseronokan menyambut Ramadhan disini tetap terasa.

Teringat ketika tahun pertama merasai Ramadhan disini, saya terkejut melihat promosi besar-besaran menyambut Ramadhan di setiap pasaraya disini, satu suasana yang tidak pernah saya lihat semasa di Malaysia. Ini kerana segala promosi dinegara kita lebih menuju kepada sambutan raya bukannya puasa itu sendiri.

Kebanyakan surirumah membuat persiapan menyambut Ramadhan dengan membeli-belah sebelum Ramadhan bermula, jadi mereka dapat memperuntukkan masa untuk melakukan perkara lain yang bermanfaat semasa bulan Ramadhan seperti bertadarrus al-Quran dan melakukan solat sunat.

Manakala siaran TV pula selalu mempromosi Ramadhan bukannya Syawal, perkataan yang terlekat diingatan kita ialah 'Ramadhan Kareem', kerana Ramadhanlah yang kita cari bukannya hariraya.

Siaran TV disesuaikan dengan suasana Ramadhan, yang mana kebanyakan program adalah untuk mendidik diri kita semasa berpuasa. Jadi sepanjang Ramadhan kita disajikan dengan pelbagai program bermanfaat, alhamdulillah.

Alhamdulillah anak-anak juga sudah terbiasa dengan budaya sebegini, jadi mereka mengerti apa itu Ramadhan serta mereka memilih untuk berpuasa ataupun tidak. Jadi saya tidaklah perlu bersusah-payah memaksa mereka untuk berpuasa.

Apa yang saya praktikkan setiap malam sebelum anak-anak tidur ialah bertanya, siapa yang ingin berpuasa esok? Bila mereka sudah memberikan persetujuan untuk berpuasa, urusan mengejutkan mereka untuk sahur agak senang, kerana mereka bangun dengan keinginan sendiri.

Begitu juga tidak ada promosi menjual makanan secara besar-besaran disini, kerana semangat berpuasa yang ditanamkan bukannya semangat untuk berbuka puasa.

Alhamdulillah anak-anak saya juga terikut-ikut dengan budaya disekeliling mereka, menyebabkan mereka begitu mudah menerima apa sahaja makanan yang disediakan untuk mereka semasa berbuka. Apa yang tidak pernah mereka lupa ialah segelas susu dan buah-buahan. 

Alhamdulillah saya bersyukur kerana anak-anak saya mula belajar berpuasa disini, walaupun dalam suasana panas tetapi tiada promosi-promosi yang membangkitkan nafsu makan ketika berpuasa. Sekurang-kurangnya mereka mengerti "apa itu puasa?"

Apa yang masih perlu dididik ialah bagaimana untuk mereka mengisi masa sepanjang bulan Ramadhan, serta bagaimana menjaga diri dan akhlak semasa berpuasa.

Moga Allah memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab kita sepanjang Ramadhan ini. Ramadhan Kareem.

Ulasan

Ummu Tasneem berkata…
salam.. itulah yg sepatutnya di praktiskan di Malaysia.. bagusnya klu budaya itu berada di negara tercinta..

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman