Kenduri Kahwin di Tunisia

Setiap masyarakat mempunyai adat tersendiri berkaitan dengan perkahwinan, yang mana ia menggambarkan keunikan masyarakat tersebut.

Semasa menziarahi keluarga di Tunisia kami berkesempatan untuk menghadiri beberapa majlis perkahwinan, serta merasai sendiri kemeriahan suasana disitu.
 Suasana di majlis  kenduri kahwin
Disana setiap majlis dianggap tidak lengkap tanpa kumpulan jemputan sama ada kumpulan nyanyian ataupun kumpulan nasyid. Begitu juga kenduri meraikan kejayaan pelajar dalam pelajaran turut diiringi kumpulan muzik dan majlis tari-menari.

Kebanyakan majlis perkahwinan disini dilangsungkan semasa cuti musim panas, ketika inilah mereka berebut-rebut mengadakan majlis kahwin. Maka setiap malam bunyi muzik kedengaran disana-sini.

Kebanyakan majlis berlangsung selama tiga malam, maka kita terpaksalah bersabar dan pekakkan telinga sehingga majlis tersebut berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam. Ketika itulah muda-mudi dan mereka yang gemarkan muzik keluar menari beramai-ramai. Sabar ajelah...

Satu adegan yang tidak dapat saya lupakan apabila melihat orang wanita yang begitu beria-ia menari ketika nasyid dan selawat kepada Rasulullah dibaca. Apa yang penting bunyi paluan gendang menarik mereka untuk menari.

Sememangnya keluarga pengantin terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk setiap majlis perkahwinan, termasuklah membayar kumpulan muzik tertentu selama tiga malam. 


 Bergambar dihadapan kereta pengantin

Apa yang saya anggap lucu dalam adat perkahwinan di Tunisia ialah pada dua malam pertama pengantin lelaki tidak bersiap sebagaimana pengantin perempuan.

Mereka akan memakai pakaian biasa, dan tiba-tiba duduk disamping pengantin perempuan diatas pelamin. Kesemua mereka berpakaian biasa, hinggakan sukar untuk membezakan pengantin lelaki daripada jemputan lain.

Pengantin lelaki cuma berpakaian lengkap pada malam terakhir, yang mana ketika itu dia dan ahli keluarganya datang menjemput pengantin perempuan untuk dibawa kerumah dimana mereka akan meneruskan kehidupan suami-isteri.  

Ketika itu jugalah kereta pengantin akan dihias cantik untuk membawa pengantin. Sepanjang perjalanan hon kereta akan dibunyikan, manakala pemandu lain yang bertembung dengan mereka juga akan turut membunyikan hon kereta mereka sebagai tanda keraian.

Bagi pengantin yang kahwin dengan orang yang berdekatan, mereka akan berarak menuju ke rumah pengantin dengan diiringi paluan gendang serta menari disepanjang jalan.

Menghadiri kenduri kahwin
Biasanya ahli keluarga mengambil kesempatan bergaya dengan pelbagai fesyen moden, termasuklah pakaian tradisi mereka.
Alhamdulillah kami berkesempatan mengenali adat dan tradisi mereka, walaupun begitu jauh daripada amalan Islam sejati.

Inilah kesan yang terpaksa mereka harungi selama lebih 50 tahun berada dalam pemerintahan sekular yang menghalang setiap usaha dakwah daripada disampaikan kepada rakyat.

 Bergambar dengan nenek dan sepupu-sepupu mereka


Moga suatu hari nanti adat dan amalan yang bertentangan dengan agama tersebut digantikan dengan budaya baru bersesuaian dengan pemerintahan baru disana.

Moga kejayaan Parti Al-Nahdha, sebuah parti yang memperjuangkan Islam di Tunisia dalam pilihan raya asas pada 23 Oktober lepas membuahkan perubahan yang jelas ke arah yang lebih baik.

Sama-samalah kita doakan...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman