Solat dan Pengurusan Masa

Apakah perkaitan antara solat dan pengurusan masa?
Ramai yang menjaga solat tetapi gagal menguruskan masa, apakah itu kesan positif daripada solat kepada beliau?

Sebagai seorang Muslim kita disuruh mengerjakan solat dalam waktu-waktu yang ditetapkan, iaitu lima kali sehari semalam. Setiap waktu solat ada garis waktu yang tertentu yang mesti kita ikuti, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar waktu-waktu tersebut mengikut citarasa kita sendiri.

Waktu-waktu solat adalah gambaran awal bagi umat Islam tentang pengurusan masa, jika umat Islam mampu mengurus waktu solat mereka, banyaklah kebaikan yang akan terhasil daripadanya.

Namun begitu kadang-kadang kita bertemu dengan insan yang begitu menjaga waktu solat, akan tetapi tidak berdisiplin dalam menjaga masa, seolah-olah solat dan kehidupan diluar solat ada pemisahnya.

Apakah tindakan kita bila berhadapan dengan situasi sebegini? Apakah kita cuma mengikut cara mereka tanpa bertindak untuk memperbaikinya?

Apa yang penting umat Islam perlu sedar bahawa ada ikatan kuat antara solat dan pengurusan masa. Jika kita ingin berjaya pastikan kita mengurus masa dengan betul bermula dengan menjaga solat kita.

Setiap waktu solat bermula dengan laungan azan yang mengingatkan kita agar berusaha menuju kejayaan. Itulah kejayaan umat Islam, menjaga waktu solat adalah merangkumi menjaga masa mereka setiap saat.

Jika kita mampu menunaikan solat pada awal waktu, maknanya kita mempunyai masa yang panjang untuk menguruskan urusan-urusan lain dengan tenang.

Jika kita mampu menjaga urusan berkaitan solat, mengapa kita tidak mampu menjaga waktu kita diluar waktu solat?

Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mengurus waktu dengan baik dan teratur, dengan melakukan usaha yang diredhai oleh-Nya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas