Apakah Cara Berfikir kita Sama?

Alhamdulillah hari ini saya nak berkongsi beberapa perkara yang saya kira boleh dijadikan topik untuk sama-sama kita fikirkan.
 
Ketika saya duduk mendengar rakan bercakap dengan pelbagai hujah tentang masalah yang berlaku dinegara mereka Mesir, akhirnya saya menyampuk, rasanya itu juga berlaku di Malaysia... Apakah perkara tersebut?
 
Pertama sekali mereka bercerita tentang rakyat yang kurang berpuas hati tentang pilihanraya yang berlaku di Mesir, kerana anggapan mereka ada penipuan seperti peluang untuk mengundi dinafikan, kertas undi dibuang dan sebagainya. Akhirnya rakyat bangkit menimbulkan huru-hara.
 
Bagi saya ia sama saja dengan cerita-cerita yang berlaku dinegara kita, setiap kali pilihanraya berlaku, itulah cerita sensasi yang disebarkan disana-sini, bezanya orang kita masih mampu bersabar serta cuba membetulkannya dengan cara yang sesuai.
 
Bila diceritakan mereka agak terkejut, kerana mereka menganggap bahawa ia sama dengan apa yang tersebar ditempat mereka...apakah cara manusia berfikir adalah sama?
 
Saya katakan bahawa, setiap orang mempunyai cara berfikir yang berbeza, isu-isu sebegitu akan timbul dimana-mana saja, cuma kita diberi pilihan, boleh memilih sama ada negatif atau positif, dengan kata lain ingin berada dalam negara yang aman ataupun porak-peranda?
 
Sebenarnya ramai yang memilih untuk berada di tempat yang aman, namun bila berlaku revolusi seperti dinegara-negara Arab sekarang, mereka mestilah bersabar kerana perubahan tidak akan berlaku sekelip mata, mereka mestilah teruskan usaha bukan sekadar menunggu bantuan kerajaan.
 
Kadang-kadang kesian mendengar pemikiran orang-orang yang baru lepas daripada kezaliman dan tekanan, lebih-lebih lagi orang yang jarang berfikir secara kritis, mereka tidak nampak dimana silap mereka. Apa yang mereka nampak hanyalah kesilapan jauh, semuanya angkara orang luar yang ingin menjatuhkan negara mereka.
 
Kemudian mereka meletakkan kesalahan pada gereja-geraja Nasrani yang dianggap menjadi batu api untuk menjatuhkan kepimpinan sekarang. Banyak kempen sulit dijalankan di dalam gereja Nasrani.
 
Bayangkan jika mereka berada dalam situasi seperti Malaysia, yang mempunyai masyarakat majmuk...apakah agaknya tomahan dan tanggapan mereka?
 
Apa yang saya cuba jelaskan ialah kita mesti belajar berfikir secara sederhana, jangan terlalu taksub, umat Islam boleh hidup dengan masyarakat bukan Islam jika kita pandai bertoleransi, kerana itulah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw kepada kita.
 
Akhirnya saya menyatakan bahawa lebih elok kita belajar berfikir bukannya menghafal, begitu juga anak-anak kita, kita mulakan dengan mengajar mereka untuk berfikir, agar umat Islam lebih maju ke hadapan.
 
Kita mestilah hidup di alam realiti kerana masa hadapan amat berbeza daripada apa yang kita alami dahulu, begitu juga zaman anak-anak kita amat jauh bezanya daripada zaman kita dibesarkan.
 
Apakah cara berfikir kami adalah sama? Bagi saya bezanya begitu jauh kerana kami datang daripada negara dan budaya yang berbeza, begitu juga tahap pendidikan yang berbeza.
 
Namun begitu jika mereka terbuka hati untuk belajar dan mendengar pengalaman kita alhamdulillah. Moga Allah memudahkannya...
 
Rakan Sudan pula menceritakan tentang kewujudan emas di Sudan baru-baru ini, selepas Sudan terbahagi dua, bagi beliau itulah Rahmat Allah untuk penduduk Sudan setelah sumber minyak mereka menjadi hak milik Sudan Selatan.
 
Sayapun teringat kisah yang pernah saya dengar suatu ketika dulu tentang emas yang ditemui di Selatan Kelantan setelah kepimpinan Kelantan jatuh ke tangan PAS, itulah nikmat yang Allah kurniakan. Terasa seolah-olah ia sama....macam skrip yang sama...
 
Bagi saya, jika manusia bekerja mengusahakan tanah tersebut, ia akan menjadi lebih berharga daripada emas yang wujud didasarnya. Emas yang diperolehi hasil kerja keras manusia, akan lebih berharga, kerana ia boleh mendatangkan hasil secara berulang-ulang, berbanding dengan galian emas yang hanya mampu diperolehi sekali saja setelah kerja mengorek dijalankan, serta memusnahkan alam sekitar dengan aktiviti-aktiviti perlombongan tersebut. 
 
Begitu jugalah harapan penduduk-penduduk negara yang berjaya melakukan revolusi, mereka menunggu-nunggu bantuan kerajaan kerana anggapan mereka kekayaan negara akan diagih-agihkan kepada mereka dengan banyaknya. Apabila harapan tidak kesampaian, ramai yang berharap agar pemerintahan lama kembali semula.
 
Apa tidaknya, jika mereka sanggup bekerja keras sewaktu dibawah pemerintah yang zalim, apabila mereka bebas, mereka jadi malas berusaha, menunggu dan menunggu, lebih banyak bercakap daripada bekerja.
 
Kadang-kadang terfikir, apakah ia satu persamaan atau kebetulan? Ataupun memang cara berfikir umat Islam adalah sama, wallahu a'lam.

Ulasan

Mieza Jhaa K berkata…
Mungkin juga.. kita semua dah semakin celik mata sekarang dan tahu mana permata mana kaca..best entry..thanks berkongsi rasa dan pendapat..

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?