Mengapa terlalu Bersungguh?

Apakah persaingan itu penting untuk perkembangan anak-anak?
Apakah persaingan akan mewujudkan sikap bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja?
Perlukah bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja?
 
Persoalan diatas ditimbulkan oleh anak sulung saya, setelah beberapa kali dikritik sebagai terlalu bersungguh apabila melakukan sebarang kerja.
 
Sudah beberapa kali beliau mengadu kawan-kawan disekolah bertanya mengapa beliau selalu bersungguh-sungguh apabila melakukan sebarang kerja.
 
Sebagai menjawab keresahan anak saya membacakan satu hadis Rasulullah saw :
"Sesungguhnya Allah swt sukakan orang yang apabila melakukan kerja, mereka bersungguh-sungguh".
 
Sebenarnya pengertian hadis diatas cukup jelas tentang sikap mulia yang sepatutnya diamalkan oleh setiap umat Islam, akan tetapi ramai yang kurang mengambilberat tentangnya serta bekerja sambil lewa.
 
Perkara ini banyak berlaku disekolah, kerana anak-anak kurang didedahkan tentang kepentingan melatih diri bersungguh-sungguh apabila melakukan kerja, terutama apabila belajar.
 
Apakah sikap bersungguh-sungguh akan lahir apabila ada persaingan ataupun ia wujud daripada fitrah anak-anak tersebut.
 
Semasa berada di Malaysia, saya tidak pernah memikirkan perkara ini secara serius kerana sistem pendidikan dinegara kita terlalu menekankan persaingan. Jadi semenjak kecil kita dilatih untuk bersaing, hinggakan wujud sikap tindas-menindas serta jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.
 
Ini kerana kita dibesarkan dengan nombor, setiap kali periksa, semua akan bertanya 'awak dapat nombor berapa didalam kelas?'. Sesiapa yang dapat no tunggal adalah hebat dan yang dapat nombor corot dianggap tidak pandai. Itulah asas persaingan utama dalam hidup seorang pelajar di Malaysia.
 
Saya masih ingat lagi seorang sahabat yang enggan meminjamkan nota pelajaran kepada saya ketika berada di universiti, malah siap berpesan kepada rakan-rakan agar jangan diberikan kepada saya, sedangkan setiap nota pelajaran yang saya siapkan boleh dikongsikan oleh sesiapa saja.
 
Bagi saya ilmu itu milik Allah, sesiapa yang dibukakan hatinya kepada ilmu akan dapat faham apa yang diajar. Itulah hasil negatif apabila persaingan menjadi terlalu kuat.
 
Apa yang saya tahu ialah apabila melakukan sebarang kerja, ia akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tanpa memikirkan apakah ia menaikkan kedudukan saya ataupun ia akan menjatuhkan saya.
 
Namun begitu sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak saya ternyata begitu berbeza daripada pengalaman saya. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan unsur-unsur persaingan, tiada siapa mengetahui siapa yang paling pandai dan siapa yang tercorot. 
 
Masing-masing belajar tanpa mengetahui siapakah pelajar terbaik didalam kelas tersebut, dalam kata lain sesiapa yang banyak menyertai perbincangan dianggap bijak, dan sesiapa yang diam akan dianggap kurang bijak. 
 
Tahun demi tahun berlalu, pembelajaran berlaku seperti biasa, anak-anak sentiasa bersungguh apabila melakukan sebarang tugasan, alhamdulillah. Apa yang mereka tahu pada akhir tahun mereka akan menerima keputusan pembelajaran mereka sama ada mumtaz, jayyid jiddan, jayyid atau makbul dalam setiap pelajaran yang dipelajari.
 
Empat tahun pertama belajar mereka hanya belajar dengan disertakan ujian-ujian kecil daripada guru-guru yang mengajar, kemudian pada tahun kelima, barulah mereka mula didedahkan dengan sistem peperiksaaa yang meliputi 40% daripada markah keseluruhan matapelajaran tersebut.
 
Sebenarnya apabila tiada persaingan, sikap bersungguh-sungguh tidak dapat dizahirkan. Ini kerana masing-masing leka dengan ketenangan sendiri. Apabila ada orang yang bersungguh-sungguh, mereka akan dianggap pelik.
 
Itulah yang berlaku kepada anak sulung saya disekolah. Kawan-kawan menganggap beliau pelik kerana sentiasa bersungguh apabila menyiapkan sebarang projek, serta setiap kali ujian diadakan.
 
Fitrah anak-anak ialah bersungguh-sungguh apabila berbuat sesuatu, hinggakan bermainpun mereka akan bersungguh. Jika sikap ini dijaga sebaiknya, anak-anak akan berkembang menjadi insan yang berjaya dalam hidup mereka, tanpa perlukan persaingan negatif.
 
Sifat ini amat jelas ketika anak-anak masih kecil, tetapi tidak ramai yang mampu mengekalkan sifat ini setelah dewasa, malah ramai yang selesa untuk buat kerja sambil lewa sahaja.
 
Apabila kita faham konsep bersungguh ini, kita akan berusaha untuk melakukan kerja-kerja kita dengan bersungguh-sungguh.
 
Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melakukan segala usaha kita dengan bersungguh-sungguh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?