Beza cara Hidup di Rantau

Alhamdulillah, sepanjang cuti sekolah kali ini, kami sempat mengikuti beberapa program bersama-sama rakan senegara, sama ada dianjurkan secara persendirian ataupun anjuran kedutaan.
 
Jadi anak-anak mempunyai kenangan tertentu sepanjang cuti ini, bukan hanya sekadar duduk dirumah serta menghadap TV sepanjang masa.
 
Inilah masalah bila berada dirantauan, ibubapa yang mesti menyediakan program untuk anak-anak, kerana kami hanyalah satu keluarga yang hidup sendiri, serta begitu jauh daripada sanak-saudara.
 
Terbayang-bayang keadaan anak-anak saudara yang tinggal berhampiran ahli keluarga lain, mereka bebas kunjung-mengunjungi, serta bebas melakukan aktiviti sendiri tanpa perlu bergantung kepada ibubapa.
 
Namun begitu kami redha, kerana inilah jalan pilihan kami sehingga hari ini....
 
Dalam masa yang sama, saya kasihan mendengar keluhan kawan anak-anak, yang hanya terperuk dirumah sepanjang masa cuti, bertanyakan khabar anak-anak saya, yang dikira bernasib baik kerana ada program diluar rumah.
 
Inilah bezanya cara kita dan cara didikan orang-orang Arab. Isteri-isteri dan anak-anak orang Arab sudah terbiasa hidup terkurung, jika sempat dapatlah mereka keluar berjalan-jalan, jika tidak rumahlah tempat mereka sehari-hari.
 
Bayangkan bertahun-tahun berada dirantau orang, jika ditanya kawasan berhampiran pun mereka tidak tahu, malah tidak pernah sampai ke tempat tersebut.
 
Ini amat berbeza daripada cara orang-orang Malaysia, kita mengambil peluang berada dinegara orang untuk melancong serta mengenali tempat tersebut. Hasilnya kita berasa seronok berada dinegara orang.
 
Inilah peluang yang sepatutnya kita rebut, bukan sekadar untuk mengenali tempat tersebut, tetapi agar hati kita tenang, kerana kita mengenali dunia disekeliling kita.
 
Bukan mudah untuk kita berada dirantau orang, jika kita mengurung diri daripada masyarakat sekeliling kita, menutup hati daripada menerima kehadiran insan lain disamping kita. Sepanjang masa mengeluh tentang kekurangan orang lain, tanpa menyedari itulah kekurangan diri sendiri.
 
Saya pernah beberapa kali cuba menghubungkan mereka dengan jiran yang berasal daripada negara mereka, tapi ternyata gagal. Mereka bukan seperti kita, yang begitu gembira bila mengetahui ada rakan senegara tinggal berhampiran, kerana kita berkongsi adat dan budaya yang sama.
 
Kadang-kadang saya terasa malas untuk mengambiltahu hal mereka, tetapi hati didalam begitu kesian....mengapalah suami mereka tidak memahami keinginan hati si isteri.
 
Apa yang jelas, hari demi hari sikap dan perangai makin berubah ke arah negatif, meskipun ia hanyalah perubahan kecil tetapi itulah petunjuk bahawa emosi mereka mula sakit.
 
Apa yang mampu dilakukan hanyalah berdoa, moga Allah membuka hati mereka untuk lebih bersikap terbuka, menerima kehadiran insan lain serta kekurangan mereka, kerana dari situ akan datang ketenangan dan kebahagiaan.
 
Moga Allah memudahkan segala urusan kita, serta merahmati kehidupan kita semua. Amiin.
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman