Musim Cuti Bermula...

Entah apa yang nak diceritakan pun tak tahu, maklumlah sekarang saya agak sibuk dengan anak-anak dirumah serta membuat persiapan percutian musim panas. Biasalah kat sini bila cuaca terlalu panas, maka ramailah ibubapa yang memberi cuti sendiri kepada anak-anak mereka. Ini cerita tentang pembelajaran di sekolah kerajaan disini...

Dah dekat empat tahun di sini, perkara yang sama berulang iaitu cuti sekolah bermula awal lebih kurang dua minggu daripada tarikh yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Biasanya anak-anak saya adalah antara pelajar terakhir bercuti kerana mereka amat seronok ingin ke sekolah. Malah mereka sentiasa memberitahu bahawa sesiapa yang cuti 3 hari tidak akan dibenarkan untuk ke sekolah semula. Jadi minggu ini mereka berkata: "dah tiga hari kita cuti, mesti cikgu tak bagi kita pergi sekolah semula."

Tahun ini juga mereka tetap ke sekolah hinggalah saya tidak membenarkan mereka ke sekolah, apa taknya, pada hari terakhir mereka ke sekolah cuma tinggal satu dua orang je pelajar satu kelas, maka cikgu menggabungkan kesemua pelajar dalam satu kelas untuk berinteraksi sesama mereka. Bagi mereka biasa aje, malah makin seronok kerana adik dan abang bersama-sama dalam satu kelas.

Bila memikirkan bahawa ibubapa lain tidak melepaskan anak-anak ke sekolah dalam keadaan panas sebegini, maka kami juga terpaksa mengambil tindakan yang sama. Memang kesian anak-anak balik sekolah dalam bahang panas serta berpeluh-peluh. Tapi bagi mereka sama aje panas atau sejuk. Itu membuatkan saya berfikir, sebenarnya ibubapa lah yang berfikir ikut perasaan sendiri sedangkan anak-anak lebih seronok bermain walaupun dalam panas. Banyak juga pelajaran yang boleh didapati dari sini.

Alhamdulillah bila berada di rumah mereka mencuba pelbagai aktiviti ciptaan sendiri. Memang setiap hari ada saja program mereka, tapi satu permainan yang tidak pernah dilupakan ialah mencipta benda-benda baru daripada 'permainan seakan-akan lego'. Setiap hari ada saja objek baru ciptaan mereka, jika nak dirakamkan memang terlalu banyak. Begitulah anak-anak saya menghabiskan masa semenjak dari usia mereka kecil.

Itulah permainan yang mereka minta apabila kami ke kedai pertama kali kami tiba di Oman. Kadang-kadang saya terfikir: "Tak boring ke mereka bermain permainan tersebut sejak kecil sampai sekarang?" Daripada sekecil-kecil permainan hinggalah pelbagai jet, robot, motosikal, funfair serta pelbagai lagi ciptaan mereka. Begitulah cara mereka bermain-main, hari ini abang mulakan, esok adik pula, masing-masing berkata: "Dia curi idea saya." Ini kerana bila seorang mula membuat motorsikal yang lain akan cuba mengubah idea tersebut dengan menambahkan komponen lain, serta ingin menunjukkan kelainan ciptaannya. Begitulah cara mereka bermain.

Tambahan lagi mereka berempat, cuma sekarang si kakak sudah tidak mengindahkan permainan ini kerana sibuk membuat persediaan untuk peperiksaan. Memang dalam sistem pendidikan Oman bila pelajar berada di peringkat kedua pengajian (darjah 5) baru bermula peperiksaan. Itupun cuma 30% daripada markah keseluruhan, 70% lagi diambil daripada aktiviti dalam kelas termasuklah akhlak pelajar.

Bila melihat sistem penilaian bagi peringkat pertama (darjah 1 - 4) juga menyeronokkan, malah cikgu cuma dibenarkan memberikan penilaian positif sahaja tentang pelajar. Memang tidak ada pilihan negatif disediakan dan ia dicatat dalam penilaian bertulis sebagai positif dari semua sudut. Sekiranya ibubapa inginkan penilaian keseluruhan anak-anak mereka (positif dan negatif) maka kenalah bertanya sendiri kepada guru-guru yang mengajar. Jadi di sini sepanjang pembelajaran dari tahun pertama hingga ke empat pelajar dilatih berani bercakap dan berfikiran kreatif.

Alhamdulillah di sini guru-guru ditugaskan untuk memerhati dan mencungkil bakat terpendam pelajar, kemudian mereka akan dilatih oleh guru-guru tertentu untuk meneruskan bakat tersebut. Malah mereka akan memanggil ibubapa ke sekolah untuk memberitahu kebolehan anak-anak, dalam usaha memantapkan lagi kebolehan anak-anak. Ibubapa juga akan diberikan sedikit motivasi untuk membantu anak-anak mengembangkan lagi bakat tersebut. Biasanya digelar "pelajar Mauhub" dan sentiasa disebut-sebut agar dicontohi oleh pelajar-pelajar lain dalam kelas.

Jadi bila ke sekolah barulah ibubapa menyedari bahawa anak-anak mereka mempunyai kebolehan tertentu. Boleh dikatakan bahawa cikgu amat mengambilberat tentang perkembangan pelajar tambahan lagi pelajar yang berasal daripada keluarga yang sama. Memang cikgu yang sama ditugaskan untuk mengajar adik-beradik, untuk memudahkan komunikasi antara guru dan ibubapa. Ini kerana senang bagi mereka menjelaskan perbezaan antara anak-anak yang datang daripada satu keluarga.

Alhamdulillah memang agak senang mendidik anak-anak yang berumur rapat kerana mereka membesar bersama-sama serta belajar dan bermain dalam satu kumpulan. Cuma ibubapa kena pandai membahagi masa untuk mereka agar tidak wujud perasaan cemburu dan dengki mendengki sesama mereka.

Memang semenjak kecil saya sentiasa mengajar mereka untuk bermain dalam kumpulan. Biasanya mereka mampu mengumpulkan kanak-kanak lain untuk bermain bersama-sama kerana mereka berempat. Kemana saja kami pergi akan ada anak-anak lain meminta untuk menyertai kumpulan mereka, alhamdulillah.

Cuma masalahnya bila diminta untuk melantik ketua, si kecillah yang sentiasa bersedia untuk menjadi ketua sedangkan anak sulung tidak berminat, begitu juga si abang yang tidak suka dilebel sebagai ketua serta tidak suka mengarah. Saya cuba memahami keinginan mereka berdasarkan ilmu yang dipelajari tentang mengenal anak-anak.

Sememangnya cara pendidikan di sini agak berbeza daripada sistem yang diamalkan di Malaysia. Cara pendidikan di sini amat menekankan agar pelajar berani memberi pendapat dalam perbincangan serta suka berfikir. Malah buku-buku rujukan yang disediakan juga begitu padat dengan maklumat yang bermanfaat. Namun begitu segalanya kembali kepada pelajar, sekiranya mereka berminat untuk mendapat ilmu mereka akan memberi sepenuh tumpuan semasa belajar, walau apapun situasi mereka.

Alhamdulillah 'ala kulli hal...


Ulasan

rosnah berkata…
Ada baiknya sistem begitiu. TEtapi andainya di jalamkan di msia begitu nah rasa pihak kerajaan perlu memperbetulkan guru-guru dulu. Biasalah dalam penilaian guru banyak tidak accountablitynya, sekarang d msia ada jugak subjek yang cuba di buat
penilaian 30% oleh guru sendiri spt kerja kursus sejarah PMR.Tetapi ramai yang nak menjaga nama meluluskan dan memberi markah maksimun walaupun tak sampai tahap.
Aliza Yunus berkata…
Memang susah tugasan tu, lagi pula sistem pemarkahan mereka amat ditil, ada banyak sub-title untuk pemarkahan tu. Terkejut za bila ditunjukkan oleh guru anak-anak. Sebenarnya cikgu tersebut nak tunjukkan bahawa result terakhir setiap tahun bukannya dibuat cincai je, tapi hasil yg teliti, berdasarkan pelbagai tugasan yg diberikan kepada pelajar.

Lecturer di U kita pun tak ada sistem macam tu. Kita ada sistem 'carry mark' tapi tak lah seteruk tugasan cikgu-cikgu di sini.

Lagi satu, cikgu2 kat sini amat confident bila bercakap dan berhujah serta amat mudah mesra dgn ibubapa. Dah memang sifat wanita Oman macam tu, bila jadi cikgupun sama je.

Rasanya kalau cikgu-cikgu di Malaysia mampu buat macam ni kan elok.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman