Redhalah Bila Berada Jauh

Dalam dunia hari ini ramai yang memilih untuk berkahwin dengan orang yang jauh, belajar di negara luar, bekerja di luar negara serta pelbagai lagi urusan yang menyebabkan kita berada jauh dari ahli keluarga.

Seharusnya kita memahami bahawa pilihan kita, akan mengubah banyak perkara dalam hidup kita. Apabila kita berada jauh daripada ahli keluarga, kita akan ketinggalan banyak perkara berkaitan dengan ahli keluarga kita. Kita tidak dapat menikmati keseronokan berkumpul dengan ahli keluarga tersayang dalam upacara tertentu. Jadi seharusnya kita meredhai segala yang berlaku hasil pilihan kita.

Jika kita lihat masyarakat dulu, amat menjaga hubungan silaturrahim ini, termasuklah menjaga kemaslahatan ahli keluarga dengan tinggal di kawasan berdekatan. Malah perkahwinan juga dijalinkan dengan pasangan yang tinggal berdekatan, agar senang menjaga hubungan kekeluargaan. Namun hari ini ramai yang tinggal berjauhan, kahwin dengan orang jauh menyebabkan ikatan kekeluargaan semakin longgar.

Mungkin kita tidak memikirkan tentang kepentingan ini semasa mabuk bercinta, ataupun terlalu yakin dengan keputusan kita bahawa itu ketentuan Allah. Sedangkan terlalu banyak ranjau dan duri yang terpaksa kita tempuhi dengan keputusan yang kita pilih. Kita hanya merancang tetapi ketentuan dari Allah, sekiranya itulah yang terjadi maka kita hendaklah meredhai segala ketetapan tersebut, serta carilah jalan untuk menyeimbangkan tuntutan dan tanggungjawab kita dengan keluarga kita.

Begitu juga apabila kita memilih untuk melanjutkan pelajaran di suatu tempat yang jauh, maka kita mestilah redha dengan keputusan kita. Redha menerima hakikat bahawa kita berada jauh dari sanak-saudara. Redha berpisah sementara dengan ahli keluarga kita.

Memang banyak ujian yang terpaksa kita tempuhi apabila kita membuat pilihan sebegini. Oleh itu perkuatanlah hubungan kita dengan Allah agar setiap apa yang kita lakukan beroleh keberkatan-Nya.

Alhamdulillah minggu ini saya berpeluang menghadiri majlis aqiqah di rumah adik, terasa betapa seronoknya menghadiri upacara sebegini serta bertemu mata dengan sanak saudara. Memang terlalu lama saya terlepas daripada menghadiri program sebegini, termasuklah majlis perkahwinan saudara-mara serta rakan sekampung. Terasa betapa jauhnya saya daripada semua orang-orang yang saya sayangi, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Namun itulah ketetapan Allah apabila saya memilih untuk mengikuti suami bertugas di luar negara. Sebelum itu bertungkus-lumus belajar dan bekerja di negeri lain. Memang jauh dari sanak-saudara walaupun tetap mengunjungi ketika pulang bercuti.

Bila melihat gambar-gambar sanak-saudara, terasa itulah kekurangan diri yang terpaksa diterima. Memang tak ada gambar kita dalam setiap majlis yang diadakan oleh mereka. Sedih ada...terasa ingin mengulang semula detik-detik yang berlaku, tapi itulah ketentuan yang harus kita terima dengan redha.

Bila berada dikampung, barulah terdengar pelbagai cerita tambahan yang selalunya tidak diceritakan melalui telefon. Maklumlah bukan semua cerita boleh disembangkan dalam masa yang terhad. Ketika itulah hati berbisik seakan-akan ingin menetap dikampung, berdekatan dengan orang-orang yang kita sayangi.

Terdengar komen orang tua-tua: "apalah anak muda hari ini, kahwin dengan orang Selangor, Johor, Kedah, Perak dan lain-lain, seolah-olah tiada anak dara dari negeri sendiri" Terasa pulak kita yang berkahwin dengan orang yang lebih jauh, jauh dari Selangor, Perak atau negeri-negeri lain di Malaysia. Namun itulah ketetapan Allah agar kita berfikir.

Alhamdulillah kami masih diberi peluang untuk pulang bercuti di kampung, dapatlah merasa sedikit sebanyak keseronokan berada dikampung. Moga Allah terus memberi kekuatan kepada kami mengharungi kehidupan sebegini.

Bagi yang berada jauh tu, bersabarlah dengan ujian, insya Allah kita akan beroleh Rahmat Allah. Jangan lupa "ziarahlah jarang-jarang, akan bertambah kasih-sayang". Itulah kata-kata penguat hati, moga kita termasuk ke dalam doa orang-orang yang kita sayangi.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?