Hubungan Kaum-Kerabat

Dalam dunia hari ini, hubungan kaum-kerabat semakin luntur, ramai yang kurang mengendahkan saudara-mara dalam hidup mereka. Maka wujudlah satu keadaan dimana keluarga menjadi kecil yang hanya terdiri daripada ibubapa, adik-beradik dan sepupu sahaja.

Semakin hari istilah dua pupu, tiga pupu serta pertalian keluarga besar semakin dilupakan. Ramai yang sudah tidak mengenali antara satu sama lain. Inilah satu kehilangan besar dalam adat melayu. Masyarakat Melayu suatu ketika dulu amat mengambil berat tentang pertalian keluarga, serta darah keturunan mereka, namun hari ini adat ini hilang ditelan zaman.

Mungkinkah kesibukan ibubapa menyebabkan mereka tidak sempat memperkenalkan anak-anak mereka kepada saudara-mara? Ataukah ia berpunca daripada ketidakprihatinan mereka untuk menjaga hubungan ini?

Saya masih teringat semasa zaman kanak-kanak, setiap kali musim perayaan kami akan dibawa oleh nenek mengunjungi kaum-kerabat ini, semata-mata untuk memperkenalkan kami kepada saudara-mara yang lain. Memang seronok mendengar penjelasan orang tua-tua tentang pertalian darah ini, hinggakan saya terbawa-bawa dengan amalan mereka, serta lebih mengenali dua pupu serta tiga pupu saya.

Namun oleh kerana berada jauh, hubungan ini seolah-olah terputus, begitu lama saya tidak bertemu dengan saudara-mara yang berada jauh dari kampung yang selalu kami kunjungi suatu ketika dulu. Memang sedih bila mengenangkan keadaan ini.

Sepatutnya dalam kecanggihan teknologi hari ini, hubungan ini mampu dipereratkan namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Ramai yang lebih mementingkan sahabat daripada saudara-mara. Kita mempunyai ramai sahabat termasuklah sahabat alam cyber, tetapi kita kehilangan hubungan kerabat. Itulah yang berlaku...

Apabila ibu saya menceritakan kisah benar yang berlaku berdekatan kampung kami, dimana sepupu bertumbuk dengan sepupu di sekolah kerana tidak mengenali saya sama lain, saya merasakan kita sudah sampai ke satu peringkat parah dalam hubungan sesama manusia. Sampai bila kita ingin meneruskan sifat-sifat ini? Apakah tidak ada cara untuk memperbaikinya?

Sememangnya dari kecil ibu sentiasa mengingatkan kami agar menjaga hubungan keluarga ini, malah beliau amat tegas dalam hal ini. Beliau sentiasa mengambil tahu apa yang berlaku kepada sepupu, dua pupu serta jiran tetangga, malah sentiasa berusaha untuk mengadakan program untuk mengumpulkan jiran tetangga (kebanyakannya kaum kerabat). Tapi sikap manusia hari ini amat berbeza dari dulu.

Selalunya percutian kami dipenuhi dengan program ziarah, namun untuk mengunjungi saudara-mara yang berada jauh dari kampung adalah mustahil. Jadi ramailah saudara-mara yang sudah bertahun-tahun tidak bertemu mata. Begitulah yang terjadi, moga ia menjadi iktibar buat insan yang mementingkan hubungan kekeluargaan. Sama-samalah kita menghidupkan kembali adat murni yang sudah semakin hilang ditelan arus teknologi.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman