Lama tak Menulis - Ujian Hidup

Alhamdulillah, pagi ini saya beroleh kekuatan untuk menulis lagi serta berkongsi beberapa peristiwa dengan sesiapa yang sudi membaca.

Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada ujian, kecil ataupun besar, namun yang paling penting ialah bagaimana kita menerima ujian tersebut. Apakah kita meredhai setiap ujian tersebut serta berusaha untuk memperbaiki hubungan kita dengan pencipta kita ataupun kita menyalahkan-Nya. Moga-moga kita termasuk ke dalam golongon orang-orang yang menerima setiap ujian ke atas kita dengan positif. Hanya Allah yang tahu akan hikmahnya.

Kadang-kadang kita tidak menyangka bahawa kita akan diuji oleh Allah, ujian yang mampu mengubah segala tindak-tanduk kita. Apabila terlalu banyak ujian yang kita hadapi, kita akan lebih tertumpu untuk menyelesaikan segala ujian tersebut, sehinggakan kita melupakan banyak urusan lain yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia.

Kita terlupa bahawa kehidupan yang singkat ini seharusnya dipandu dengan baik tanpa mengabaikan hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia. Sebaik manapun hubungan kita dengan Allah, tetapi sekiranya kita terlupa tentang hubungan dengan kaum-kerabat serta jiran tetangga, apalah maknanya. Inilah kehebatan cara hidup yang digariskan oleh Islam.

Namun begitu hari ini ramai yang hidup nafsi nafsi, terlalu sibuk sehinggakan tidak mempunyai masa untuk mengetahui apa yang berlaku kepada saudara-mara, adik-beradik serta jiran tetangga. Apa khabar mereka? Apakah yang berlaku kepada mereka ketika ini? Apakah yang boleh kita bantu mereka? Ada juga yang tidak menjalinkan hubungan ini kerana perbezaan fahaman politik. Itulah yang banyak berlaku dalam dunia sekarang.

Apakah mereka lupa bahawa Allah swt amat menekankan tentang hubungan sesama manusia. Rasulullah saw juga banyak mengingatkan kita tentang hubungan ini. Banyak adab-adab yang diajarkan dalam usaha menjalinkan hubungan sesama manusia.

Sekiranya hubungan kemasyarakatan di sesebuah tempat hancur, maka akan hancurlah keamanan masyarakat itu. Ini kerana ahli masyarakat tidak lagi mengambilberat sesama mereka, yang difikirkan hanyalah bagaimana mengisi perut mereka dan anak isteri sahaja. Amat senang juga berlaku penipuan dan pembohongan kerana sifat percaya-mempercayai sesama ahli masyarakat sudah pudar.

Kadang-kadang kita hanya memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa memikirkan maslahat orang lain. Inilah ujian pertama yang saya tempuhi setelah menjejaki kaki ke tanahair. Ujian berdepan dengan staff limosine KLIA yang tidak memikirkan masalah orangramai, yang mereka tahu hanyalah keuntungan mereka sehingga sanggup menyarankan saya menyewa dua buah teksi dengan membiarkan anak yang masih kecil menaiki teksi sendiri hanya kerana lebih seorang penumpang. Apakah ini satu bentuk pemikiran yang harus diteruskan dalam masyarakat kita?

Namun begitu Allah swt telah menetapkan perjalanan lain yang lebih selesa bagi kami sekeluarga, serta telah mengatur banyak perkara lain yang terlalu manis untuk dikenang, serta memudahkan urusan selanjutnya. Alhamdulillah. Akhirnya kami mampu menyelesaikan banyak urusan dengan begitu mudah, subhanallah.

Sesungguhnya kita hanya merancang, tapi rancangan Allah selalunya lebih baik kepada kita. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berfikiran positif apabila menempuh apa-apa ujian, serta jangan cepat melenting. Kita sentiasa diberi pilihan, sekiranya kita tidak melenting insya Allah kita akan beroleh satu ketetapan yang amat baik buat kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman