Wajah-wajah Itu - Surirumah

Alhamdulillah kesempatan berada dikampung kali ini, memberi peluang kepada saya untuk duduk bersama-sama dengan surirumah. Para surirumah yang amat saya kenali semenjak zaman kanak-kanak lagi, tapi hari ini mereka tidak lagi segagah dulu.

Wajah-wajah itu yang amat murah dengan senyuman, masih tetap seperti dulu. Mereka masih lagi berkumpul di surau untuk sama-sama melakukan ibadat, berjalan kaki dari rumah setiap waktu solat semata-mata untuk solat berjemaah bersama-sama. Di surau juga saya rapat dengan mereka sewaktu zaman kanak-kanak dulu. Terasa begitu cepat masa berlalu, kerana wajah-wajah itu kini semakin tua, malah anak-anak mereka yang menjadi teman sepermainan juga semakin berusia. Begitulah kitaran hidup...

Barulah terasa begitu lama penghijrahan saya mengejar ilmu, kemudian merantau ke negara orang. Saya amat kagum dengan para surirumah tersebut semenjak dulu, malah merekalah contoh kejayaan surirumah dalam mendidik anak-anak. Kejayaan anak-anak diganti dengan menyambut kejayaan cucu-cucu menjejaki kaki ke menara gading.

Semasa kecil, saya sempat bersama-sama mereka turun ke bendang menanam padi, menanam sayur serta pelbagai lagi kerja-kerja kampung. Teringat betapa seronoknya bekerja bersama-sama dibendang yang bersebelahan, kemudian mendengar jeritan wanita-wanita yang menjerit setiap kali melihat lintah melekat dibetis mereka. Itulah kenangan.

Rupa-rupanya begitu lama masa berlalu, kepayahan hidup suatu ketika dulu merapatkan hubungan kami. Namun kehidupan di kampung masih tetap sama, cuma keadaan yang berbeza. Para surirumah ini masih seperti dulu, cuma mereka juga tidak dapat menerima wanita terpelajar berada di rumah. Mereka dapat menerima hakikat diri mereka yang berada di rumah kerana kekurangan mereka, namun tidak dapat menerima hakikat wanita terpelajar tidak bekerja.

Malah masing-masing gembira menceritakan kejayaan anak menantu serta cucu wanita yang bekerja. Itulah hakikat dunia hari ini. Jadi kepada mana-mana wanita yang berhajat untuk berada dirumah, kuatkanlah tekad kerana cabarannya amat berat. Cabaran menghadapi kata-kata wanita lain disekeliling kita, yang tidak berfikir panjang merenung perjalanan hidup mereka.

Jika direnung kejayaan anak-anak mereka kemudian cucu-cucu mereka semuanya kerana keikhlasan mereka mendidik. Setelah puas mendidik anak-anak, tugas mereka diteruskan dengan mendidik cucu-cucu mereka sehinggakan ada yang sudah tua masih perlu menjaga cucu-cucu yang masih bayi. Namun mereka gembira...gembira dengan duit anak-anak yang telah bekerja, mudah untuk membeli makanan yang disediakan diluar, sedangkan mereka dulu membesarkan anak-anak dengan hasil masakan sendiri.

Kemudian topik utama perbincangan adalah keruntuhan akhlak anak-anak muda zaman sekarang, kisah pecah rumah, anak-anak muda memakan pil kuda, dadah serta pelbagai lagi. Ditambah pula kisah kanak-kanak yang berani membuat lagak aksi semasa menunggang motosikal dan mengayuh basikal. Begitu juga kisah anak-anak sekarang yang kurang adab serta malas untuk menunaikan solat ataupun mengaji quran.

Dari mana datangnya segala masalah tersebut? Memang surirumah tua tidak akan memahami hakikat bahawa mendidik anak tidak akan sama dengan mendidik cucu. Mereka tidak akan mampu mendidik cucu mereka sebagaimana mereka mendidik anak-anak. Namun itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat kita.

Saya terasa amat terkejut apabila mendengar pelbagai cerita kemerosotan akhlak anak-anak muda sekarang. Apatah lagi masalah yang berlaku dikampung, yang rata-rata wanitanya beragama Islam, di sebuah negeri yang diperintah oleh Parti Islam.

Ternyata punca masalahnya adalah tahap kefahaman surirumah tentang tugas dan tanggungjawab mereka. Satu golongan adalah wanita terpelajar, akan tetapi tugas mendidik anak-anak diserahkan kepada orang lain manakala sebahagian lagi surirumah sepenuh masa, kebanyakannya tidak berpelajaran. Keghairahan masing-masing mengejar harta dan wang menggadai hidup anak-anak yang sepatutnya dididik dengan baik. Hasilnya wujudlah masalah sosial...

Sekiranya wanita diberi kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab mereka, tidak mustahil masalah sosial yang membelenggu masyarakat kita hari ini akan mampu diselesaikan. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam perkenalan. saya bersetuju dgn pandangan akak. saya juga seorang surirumah hampir 8 thn. Alhamdulillah,hidayah dari Allah adalah hadiah yg ternilai

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas