Kota-kota yang pernah Dilawati

Alhamdulillah pagi ini kita berkongsi sedikit maklumat mengenai Oman. Ia berdasarkan pemerhatian selama kami di sini iaitu mengenai kota-kota pertahanan yang terdapat di setiap bandar utama negara ini sama ada "husn (kota)" atau "burj (menara)".

Gambar-gambar ini kami ambil selepas hariraya Aidil fitri tahun lepas, semasa dalam perjalanan pergi dan balik "Rehlah ke Ibri". Jadi kami sempat singgah berehat di tempat-tempat ini sambil melihat keunikan tempat tersebut. Subhanallah.

Inilah keunikan Oman yang masih dipelihara sehingga ke hari ini.

Sememangnya itulah diantara ilmu yang diwarisi daripada generasi terdahulu, iaitu menyediakan kelengkapan pertahanan yang mampu menjadi tempat perlindungan setiap ahli kawasan tersebut.

Itulah corak pemikiran orang-orang dahulu, termasuklah sebelum kedatangan Islam lagi. Bentuk pertahanan yang disediakan bukan untuk keperluan sendiri tetapi lebih kepada keperluan masyarakat setempat.

Bila kami masuk ke dalam kota tersebut, banyak ilmu yang kami perolehi.
 Inilah kota Jibrin, yang kami sempat melawat di dalamnya, semasa dalam perjalanan ke Ibri untuk menghadiri majlis perkahwinan. Kota yang agak besar serta memiliki pelbagai kemudahan di dalamnya. Saya dapat menggambarkan betapa eratnya ikatan ukhwah yang wujud dikalangan penduduk di sini, subhanallah.


Ini pula Husn (kota) Ibri, yang diperbaiki semula untuk mengekalkannya. Sayangnya kami tidak dapat melawat di dalamnya kerana ia ditutup pada
hari Jumaat.

Bangunan ini terletak bersebelahan dengan rumah tempat kami menginap. Rupa-rupanya rumah tersebut juga merupakan sebahagian daripada kota Ibri suatu ketika dulu. Ia dikelilingi oleh rumah-rumah lama yang diperbuat daripada tanah termasuklah rumah kawan tersebut yang dibina semula dengan teknologi baru.






Ini pula sebahagian daripada bangunan lama di Kota Bahla, bangunan lama yang dipercayai tertua di Oman. Ia dibina daripada campuran rumput dan tanah sebagaimana yang boleh dilihat dalam gambar dibawah.



Inilah gambar cara pembuatan kota tersebut, yang sedang dalam proses pemuliharaan.










Gambar Kota Bahla yang agak besar, tetapi masih dalam proses pemulihan, jadi kami tidak dapat memasukinya.

Sungguh indah senibina yang digunakan, malah ia dikelilingi oleh rumah-rumah tua yang juga diperbuat daripada tanah.

Jauh di atas bukit disekeliling kawasan ini terlihat dinding yang dibina seolah-olah Tembok Besar China.


Ini pula Kota Nizwa yang terletak di tengah-tengah bandar Nizwa. Sayangnya kami tidak sempat melawat didalamnya kerana waktu melawat tamat pada pukul 11 pagi, sedangkan kami tiba waktu azan zohor.

Inilah di antara ciri-ciri penting negara Oman dahulu, iaitu pemerintahnya amat mengambilberat tentang pertahanan setiap kawasan. Kesemua kota yang telah kami lawati terletak di kawasan yang agak strategik, dan boleh dilihat dari jauh.

Ia bukan sekadar tempat untuk berlindung ketika diserang musuh, tetapi ia juga merupakan warisan peninggalan yang begitu berharga buat insan yang ingin berfikir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman