Kajian yang Bagus - Perubatan Islam

Sepanjang minggu lepas saya sibuk membaca buku tentang kajian yang agak menarik pada pandangan saya iaitu tentang kajian ilmiah berkaitan tenaga Al-Quran. Satu kajian yang dijalankan oleh beberapa orang pakar perubatan Muslim di Iran dan ditulis dalam bahasa Arab.

Yang menariknya kajian ini mendapat pembiayaan sebanyak setengah juta Aus Dollar daripada Kementerian Kesihatan. Kajian dilakukan ke atas pesakit-pesakit yang menderita penyakit yang tidak mampu disembuhkan oleh perubatan biasa. Dan kebanyakan penyakit tersebut berjaya disembuhkan dalam tempoh masa yang berbeza-beza dengan menggunakan teknik berkaitan penggunaan ayat-ayat Quran.

Sememangnya di Malaysia, cara ini sudah tersebar luas akan tetapi saya belum pernah bertemu dengan kajian ilmiah untuk membuktikan kesan positif penggunaan cara ini. Begitu juga teknik-teknik yang digunakan oleh ustaz-ustaz, pengamal perubatan Islam di Malaysia, juga begitu banyak tetapi tidak lari daripada penggunaan ayat-ayat ruqyah dan doa-doa tertentu.

Agak-agaknya adakah doktor di negara kita yang berminat untuk membuat kajian sebegini? Atau mereka selesa kekal sebagai "Doktor Robot", sebagaimana yang diistilahkan dalam beberapa tulisan yang saya baca.

Namun begitu terdapat beberapa perkara yang amat dititikberatkan dalam kajian ini iaitu 'tahap keyakinan pesakit terhadap cara perubatan ini', 'kesanggupan pesakit meninggalkan teknik perubatan biasa', kemampuan pesakit meneruskan cara perubatan ini sehingga sembuh' serta beberapa syarat lain.

Sesungguhnya keyakinan kita yang tidak berbelahbagi kepada penyembuh kita iaitu Allah subhanahu wa taala membantu proses penyembuhan berjalan lebih cepat. Subhanallah.

Sememangnya bila kita bercerita tentang penyakit, kita tidak boleh lari daripada mencari punca utama terjadinya penyakit tersebut, jika puncanya berjaya ditemui dan diubati insya Allah segala penyakit kita akan dapat disembuhkan.

Alhamdulillah terdapat ramai doktor-doktor Muslim yang mula mencari alternatif lain dalam perubatan. Mereka semakin yakin untuk menggunakan cara-cara perubatan yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah saw, serta kembali mencari ubat-ubatan tradisi.

Malah terdapat beberapa saluran TV perubatan Islam disiarkan, dimana testimoni-testimoni pesakit yang sembuh disiarkan bersama-sama dengan laporan perubatan biasa.

Sekiranya kita yakin sepenuhnya kepada Allah, ayat al-Fatihah sudah mampu membantu kita, akan tetapi banyak cabaran luaran menyebabkan kita kurang yakin terhadap teknik perubatan Islam. Kita lebih teruja untuk menyembuhkan fizikal kita, sedangkan rohani kita tidak dipulihkan. Itulah yang menyebabkan ramai yang sembuh daripada satu penyakit, menderita penyakit lain pula. 

Penulis buku menggunakan ayat-ayat al-quran tertentu tapi tidak menyatakan dengan jelas tentang ayat-ayat tersebut. Penulis juga menggunakan asmaul husna dalam perubatan beliau, yang mana beliau menyatakan bahawa asmaul husna dapat memberikan kesan yang lebih cepat apabila ia diulang-ulang selama 15 minit. Nampak gaya sesiapa yang berminat untuk mendapatkan ilmu tersebut mesti berguru dengan beliau.

Sebenarnya banyak buku-buku mengenai kajian perubatan Islam telah dihasilkan dalam bahasa Arab, kebanyakannya hasil kajian pakar-pakar perubatan yang ingin beralih kepada perubatan berasaskan al-quran dan sunnah.

Teringat pula satu program dokumentari tentang perubatan tradisi di Afrika, saya kagum melihat bagaimana mereka mampu membantu masyarakat setempat menggunakan ubat-ubatan tradisi, yang ternyata lebih murah, sedangkan masyarakat lain menggunakan ubat-ubatan kimia dalam rawatan.

Moga-moga mereka berjaya menyedarkan masyarakat Islam tentang kepentingan menggunakan perubatan Islam untuk menyembuhkan penyakit yang dihadapi.













Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman