Bersyukurlah dengan anak-anak kita

Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita dikurniakan anak-anak dalam kehidupan kita. Sesungguhnya kita bertuah kerana berpeluang untuk memiliki anak-anak, serta berpeluang memiliki insan yang banyak mengajar kita mengatur hidup.

Ada anak yang hebat semenjak kecil, setiap perjalanan hidup mereka hebat, dapat membaca awal, menghafal quran awal serta pelbagai kehebatan lain. Yang lain pula perkembangan pelajaran mereka agak perlahan serta mempunyai pencapaian yang agak mengecewakan ibubapa.

Memang terdapat perbezaan yang jelas diantara anak-anak kita, hanya ibubapa yang lebih mengetahui bagaimana untuk menangani perbezaan ini.

Sememangnya Allah menjadikan perjalanan hidup yang berbeza-beza antara setiap manusia, oleh itu bersyukurlah selalu. "Alhamdulillah 'ala kulli hal".

Bila kita mengimbas kembali perjalanan hidup kita, kita akan temui rakan-rakan yang begitu hebat semasa kecil, orang yang kita amat kagumi semasa kita di sekolah rendah, tapi dimanakah mereka kini?

Dalam masa yang sama kita ditemukan pula dengan rakan lain yang begitu lemah semasa kecil tapi sekarang memiliki pencapaian yang amat membanggakan.

Itulah perjalanan hidup, semuanya bergantung kepada kekuatan seseorang menempuh cabaran.

Begitu juga dalam mendidik anak-anak, kadang-kadang kita begitu bangga dengan pencapaian anak-anak kita ketika kecil sehingga kita terlupa akan perjalanan hidup mereka yang masih panjang.

Masih banyak liku-liku hidup yang akan mereka tempuhi, terutama bagi anak-anak yang begitu hebat ketika berumur setahun jagung. Sedangkan perjalanan hidup yang diambilkira sesudah mereka baligh, apakah mereka mampu mengekalkan kehebatan tersebut dan terus berjaya, ataupun mereka juga akan menjadi sebagaimana insan-insan lain.

Jadi bersyukurlah selalu dengan anak-anak kita, mungkin mereka tidaklah sehebat mana ketika ini, tapi berkat dorongan dan semangat yang kita berikan, mereka juga akan mampu menjadi insan hebat serta mampu menempuh ujian hidup mereka dengan tabah.

Moga anak-anak kita mampu mengubah alam ini ke arah yang lebih baik, dengan memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing hidup di alam ini.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?