Mengapa Wanita disalahkan?

Pagi-pagi lagi terbaca berita tentang "Wanita punca gempabumi di Iran", kemudian membaca komen-komen yang ditinggalkan bagi artikel tersebut. Macam-macam idea dilontarkan dan kebanyakannya menyifatkan Mufti Iran mengeluarkan kenyataan yang melucukan dan tidak adil bagi wanita.

Memang wanita selalu disalahkan, tapi bila tiba kepada kenyataan sebegitu, ia mendatangkan fitnah yang lebih luas kepada agama Islam. Mungkin juga ia hanya putarbelit penulis untuk memburukkan lagi kedudukan Iran di mata dunia serta pelbagai lagi kemungkinan....

Pelbagai andaian boleh kita keluarkan, namun positif dan negatifnya tetap kembali kepada agama.

Inilah dunia Internet, suka tak suka kita mestilah belajar menerimanya. Jika wanita disalahkan, apakah yang dapat kita perbuat? Apakah wanita mesti bangun menyedarkan dunia tentang ketidakadilan yang berlaku kepada mereka ataupun wanita kembali meneliti "apakah puncanya dan dimana silapnya".

Selalunya lelaki akan melihat kesilapan terletak dibahu wanita, manakala wanita pula menyalahkan lelaki. Selagi kita tidak menjalankan tanggungjawab mengikut fitrah kejadian kita dengan betul, selagi itulah sikap salah menyalahkan antara lelaki dan wanita akan berpanjangan. 

Teringat pula perbincangan dengan seorang senator semasa balik tahun lepas, beliau menyatakan kesilapan berpunca daripada lelaki, kerana tidak mengajar wanita, manakala saya menyatakan "wanita pula perlu memastikan pandangan mereka terhadap diri sendiri adalah tinggi, bukannya merendahkan kemampuan diri sendiri". 

Sebenarnya tajuk ini amat menarik untuk dibahaskan, kerana cerita hubungan lelaki dan wanita tidak pernah berkesudahan, bermula daripada cerita datuk nenek kita, Nabi Adam dan Hawa hinggalah ke hari ini.

Kata-kata yang selalu kita dengar ialah bahawa "disebalik kehebatan lelaki ada seorang wanita hebat", manakala kata-kata lain pula "disebalik kehebatan wanita ada seorang lelaki hebat". Sebenarnya lelaki dan wanita saling memerlukan untuk melengkapkan antara satu sama lain.

Masalah tidak akan selesai selagi masing-masing tidak kembali memuhasabah diri, serta hanya menunding jari kepada orang lain atas setiap kesilapan yang berlaku.

Teringat juga laporan tentang "punca peningkatan perceraian di Oman" di akhbar "Muscat Daily" pada hari ibu bulan lepas, kebanyakan lelaki yang ditemubual menyalahkan wanita  di atas perceraian yang berlaku. Macam-macam alasan diberikan, yang mana kebanyakannya menyalahkan wanita.

Kalau kita bertanya kepada wanita pula, mereka akan menyatakan bahawa lelaki tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan betul, menyebabkan wanita melihat perceraian sebagai jalan keluar daripada masalah hidup.

Teringat juga satu hadis yang menyatakan bahawa "......sesungguhnya fitnah yang berlaku kepada Bani Israiil adalah kerana wanita".

Jadi perbincangan ini tidak akan tamat. Ini kerana lelaki lahir daripada seorang ibu (wanita), manakala wanita dijaga oleh Muhrimnya (lelaki) sehinggalah dia berkahwin (lelaki). Macam perbahasan ayam dan telur juga, susah nak mencari dimana puncanya.

Jadi apakah penyelesaiannya? Apakah kita akan terus menyalahkan wanita atas apa-apa yang berlaku, ataupun kita berganding bahu menyelesaikan setiap kekusutan yang berlaku bersama-sama.

Sebenarnya jika lelaki dan wanita tahu tugas dan tanggungjawab serta berusaha melaksanakannya sebaik mungkin, masalah ini boleh diselesaikan. Jika berlaku satu kesilapan muhasabah diri terlebih dahulu, perbetulkan apa-apa yang silap, jangan terlalu cepat menunding jari kepada orang sebelah. 

Dalam masa yang sama, lelaki dan wanita sama-sama memainkan peranan dalam mendidik generasi akan datang, agar lelaki dan wanita masa hadapan tahu apakah tanggungjawab yang mesti mereka laksanakan untuk hidup dalam harmoni.

Berdoa selalu agar Allah memberi kekuatan dan membantu kita dalam setiap urusan hidup. Yakinlah setiap masalah boleh diselesaikan selagi kita tidak putus asa dan redha menerimanya.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman