Aplikasi facebook

Alhamdulillah setelah beberapa bulan menggunakan facebook, rasa terpanggil untuk menulis sesuatu mengenainya. Mungkin sudah ramai yang menulis tapi saya juga ingin meluahkan isihati mengenainya. Moga-moga dapat kita fikirkan bersama-sama.

Memang terdapat banyak keseronokan bila melayarinya, terutama apabila dapat berhubung kembali dengan teman-teman lama, ada antaranya yang sudah lebih 20 tahun tidak bertemu muka.

Akan tetapi disebalik keseronokan tersebut, perasaan negatif selalu muncul. Persoalan mengapa kita dipertemukan semula disitu, sedangkan realitinya kita tidak pernah mengingati sahabat tersebut. Apakah ada sesuatu yang perlu kita pelajari daripada kehidupan mereka? Ataupun ada persamaan antara kita, iaitu sama-sama melayari facebook.

Di situ juga kita boleh menggunakan pelbagai aplikasi yang disediakan, termasuklah aplikasi menilik sesuatu yang berkaitan dengan nama, tarikh lahir, bulan kelahiran serta pelbagai lagi.

Pada permulaannya saya tidak berminat untuk mencubanya, akan tetapi apabila melihat rakan-rakan begitu ghairah mencuba, saya juga ingin melihat sejauhmana kebenaran aplikasi tersebut, serta berapa banyakkah aplikasi yang disediakan?

Memang terdapat perbezaan yang ketara antara aplikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Melihat kepada aplikasi dalam bahasa Inggeris, ia merupakan kajian yang mantap serta bersumberkan kajian professor-professor yang hebat, walaupun ia bukanlah satu pilihan yang baik untuk kita sebagai orang Islam.

Akan tetapi bila melihat aplikasi yang disediakan dalam bahasa Melayu, terasa sedih melihatnya. Mengapakah aplikasi-aplikasi yang disediakan begitu rendah mutunya, seolah-olah orang Melayu tidak pernah membuat kajian mengenainya.

Apakah ia disediakan semata-mata ingin melihat anak melayu menghabiskan masa dengan segala aplikasi yang tidak memberi erti kepada mereka. Apakah itu tahap pemikiran pengguna-pengguna internet melayu, yang mana saya rasa kebanyakan mereka terdiri daripada golongan terpelajar.

Tolonglah fikirkan sesuatu yang boleh memberikan manfaat, serta menunjukkan bahawa anak melayu juga hebat. Kita membuat sesuatu bukan hanya sekadar suka-suka dan sebagai hiburan semata.

Bagi saya, apabila kita membuat sesuatu biarlah ia boleh menjadi alat kajian kita sepertimana yang disediakan dalam bahasa Inggeris, yang mana saya yakin mereka menggunakan aplikasi tersebut untuk mendapatkan data yang lebih kuat dan mantap.

Sememangnya ada data yang boleh kita kumpul melalui aplikasi sebegitu, malah ia lebih senang daripada menggunakan soal-jawab biasa. Ini kerana setiap pengguna mengharapkan sesuatu yang berfaedah untuk mereka, jadi mereka rela memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya.

Sayangnya anak Melayu tidak mampu menyediakan kajian yang mantap mengenainya, juga belum mampu menggunakan ruangan yang diperolehi dengan sebaik-baiknya.

Apakah tujuan saya menulis mengenainya? Adakah sekadar ingin memberitahu pembaca bahawa saya juga menggunakan aplikasi yang tidak berfaedah tersebut?

Sebenarnya saya ingin berkongsi kerisauan saya tentang corak pemikiran orang-orang kita sekarang. Yang mana itulah sebenarnya punca gejala sosial yang begitu tenat dinegara kita. Jika insan yang terpelajar berada pada tahap begitu, apakah pula corak pemikiran insan-insan lain yang tidak pernah menjejaki kaki ke pusat pengajian tinggi. Fikir-fikirkanlah...

Inilah tugas kita terutama surirumah yang mempunyai anak-anak yang perlu dididik, sama-samalah kita mendidik anak-anak kita agar tahu berfikir secara kritikal, serta serius apabila melakukan sesuatu, bukan sekadar suka-suka... 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas