Membaca dan Menulis

Alhamdulillah kita diberikan kelebihan oleh Allah swt pandai membaca dan menulis. Jika kita tidak tahu membaca masakan kita mampu menggunakan komputer, begitu juga jika kita tidak tahu menulis macammana kita boleh sampai ke sini.

Bersyukurlah kerana kita tidak tergolong ke dalam golongan yang "buta huruf". Moga-moga Allah memberi "Nur" kepada kita agar mampu memahami apa sahaja yang kita baca.

Dalam dunia hari ini semua orang berlumba-lumba untuk belajar membaca dan menulis. Semenjak lahir anak-anak diajar agar tahu membaca dan menulis. Itulah kehebatan ibubapa sekarang, terutama ibubapa terpelajar. 

Pernahkah kita terfikir bahawa bila kita terlalu ghairah mengajar anak-anak membaca, kita mengurangkan keupayaan mereka untuk berfikir. Sebab itulah di negara-negara Barat, anak-anak muda mesti diajar dalam setiap perkara walaupun ia hanyalah perkara-perkara asas dalam hidup mereka.

Bacalah pelbagai artikel tentang perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu diajar ketika menghadapi masalah ekonomi, tapi itulah yang mendapat banyak respon daripada pembaca, seolah-olah mereka tidak pernah fikirkan mengenainya.

Itulah hasil cara pendidikan yang berasal dari barat, sedangkan jika kita soroti sejarah kehidupan insan-insan hebat (Barat juga), kebanyakan bermula daripada 'slow learner' ataupun menghadapi masalah pada mulanya. Mengapa begitu? Apakah pengajarannya untuk kita? 

Dalam masa yang sama, di sana-sini pula orang berlumba-lumba untuk menghasilkan karya yang terbaik, yang mampu menjadi panduan dan pedoman orang lain. Buku-buku pula berlambak disana-sini, tunggu kita membaca dan mengkajinya.

Jadi membaca dan menulis memang tidak dapat dipisahkan daripada insan yang mencintai ilmu. Kadang-kadang kita membaca banyak buku tapi belum mampu untuk menulis. Ada pula yang mampu menulis tanpa perlu membaca banyak? Begitulah hebatnya kejadian Allah, yang sukar untuk kita fahami.

Bila kita soroti sirah hidup Rasulullah saw, kita dapati bahawa baginda adalah insan "ummi" iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Akan tetapi baginda terlalu "bijak" dan memiliki banyak "hikmah" yang tidak dimiliki oleh insan lain.

Oleh itu kita tidak boleh merendah-rendahkan golongan yang tidak tahu membaca dan menulis, ini kerana mereka memiliki 'gedung ilmu' yang tidak dipengaruhi oleh pemikiran sesiapapun. Sedangkan orang yang tahu membaca serta banyak membaca menghimpun pemikiran-pemikiran orang lain, yang mana kadang-kadang boleh membawa kecelaruan dalam pemikiran mereka.

Bukan senang nak menganalisis dan menyusun kembali ilmu-ilmu yang dikutip daripada pelbagai penjuru tersebut. Namun begitu jika dia mampu menyusun kembali, itulah kehebatan yang tiada tandingannya. 

Kemudian kita soroti pula apa yang baginda lakukan ketika baginda kecil dan peringkat remaja. Kehidupan baginda banyak dihabiskan di kawasan wadi untuk bekerja membantu bapa saudara baginda. Dalam masa yang sama berinteraksi dengan alam sekitar, serta berfikir tentang kehebatan kejadian Allah swt.

Sesungguhnya bagindalah suri teladan dalam hidup kita, perjalanan hidup baginda adalah sebagai panduan kita untuk mendidik anak-anak kita.

Bila kita meneliti kehidupan kita, pernahkah kita melalui corak kehidupan sebegitu? Apakah kita memberi pendedahan tersebut kepada anak-anak kita? Pernahkah kita mendongak ke langit, melihat keindahan kejadian Allah, yang mana masih belum mampu diperjelaskan oleh saintis hebat pada zaman ini. Subhanallah.

Moga-moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk memahami hakikat kejadian kita, serta memahami perkaitan antara manusia dan alam ini.

Jadi membacalah...kerana itulah jalan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, serta menulislah agar ada insan lain yang mampu turut sama berfikir tentang kebesaran Allah swt.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?