Cuti Sekolah Bermula

Alhamdulillah hari ini anak-anak sudah mula bercuti sekolah musim panas, sebelum memulakan sesi persekolahan baru lepas raya puasa tahun ini. Nampak gaya cuti tahun ini juga panjang, jadi kami mestilah memikirkan pengisian agar cuti ini mampu diisi dengan program yang bermanfaat. 

Sebagai ibubapa, bila musim cuti sekolah kita mempunyai masa yang lebih panjang bersama anak-anak, jadi tahap kesabaran juga perlu ditinggikan lagi. Begitu juga tahap fokus perlu lebih mantap kerana inilah waktu untuk menjawab pelbagai persoalan yang akan diajukan nanti. 

Kadang-kadang rasa nak tergelak apabila soalan bertubi-tubi diajukan, bila tak sempat untuk menjawab maka saya meminta mereka bertanya suami. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Namun begitu soalan cepumas bila cuti sekolah bermula ialah 'bila kita akan balik kampung?'
Begitulah anak-anak, bila dah terbiasa dengan aktiviti balik kampung, maka fikiran mereka akan terus ke situ setiap kali cuti sekolah.

Alhamdulillah kami sudah memulakan program pertama semalam, expedisi ke Sur. Sebenarnya itulah kali pertama kami melawat ke sana dengan niat sekadar melihat tempat tersebut dan mengetahui apa yang menarik tentang kawasan itu. Jika ada tempat-tempat menarik kami akan kembali semula suatu masa nanti untuk melawat tempat-tempat tersebut.

Rupa-rupanya dalam perjalanan kami bertemu juga kawasan macam 'Bukit 7' perjalanan KB - KL. Itulah tempat yang paling diingati kerana 'Bukit 7' merupakan penyebab utama suami tidak suka memandu balik kampung semasa di Malaysia, jadi bukit 7 di sini mungkin akan menjadi penyebab utama untuk kami berfikir panjang bila ingin mengunjungi kembali kawasan ini.

Alhamdulillah kami sempat menjenguk dua buah kota di Sur, akan tetapi tidak dapat melawat di bahagian dalam kerana hari Jumaat. Kemudian kami sempat melawat 'Ancient City' dalam perjalanan balik, sambil mandi laut disitu.

Kesilapan kami ialah tidak membuat perancangan rapi serta tidak mendapat maklumat awal tentang kawasan tersebut sebelum memulakan perjalanan, jadi itulah takdir kami semalam, alhamdulillah. Begitu juga keadaan cuaca yang teramat panas juga menganggu keseronokan perjalanan kami.

Namun begitu kami ditunjukkan dengan sikap orang Oman yang amat peramah bila kami tumpang berehat di bawah bayangan rumah mereka di Finns, kami dijemput bertamu ke rumah mereka, namun suami menolak.

Anak-anak yang begitu bersemangat pada mulanya, agak tidak tahan dengan bahang kepanasan. Namun begitu bila bertemu air laut segala masalah hilang, mereka begitu asyik berenang, hilanglah kepanasan tersebut.

Bila berada dalam bahang kepanasan sebegitu, saya berkata kepada anak perempuan, alhamdulillah disini kita masih boleh mandi dan gunakan aircond bila terasa panas, akan tetapi bagaimanakah keadaan kita diakhirat nanti? 

Alhamdulillah sempat juga menceritakan tentang hadis 7 golongan yang berada dibawah arasy Allah diakhirat nanti, iaitu hari dimana tiada tempat berlindung daripada kepanasan matahari di padang mashyar. 

Maksud hadis tersebut ialah:
“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di bawah bayangan-Nya (di akhirat nanti), pada hari itu tidak ada sebarang teduhan selain bayangan arasy-Nya. Mereka itu ialah (1) pemimpin yang adil; (2) pemuda yang terdidik (dibesarkan) dalam ibadat kebaktian kepada Allah; (3) Orang yang hatinya sentiasa berpaut rapat dengan masjid; (4) dua orang yang berkasih sayang kerana (agama) Allah, bertemu dan berpisah untuk keredaan-Nya; (5) lelaki yang dipujuk wanita cantik lagi hartawan (bagi memenuhi nafsunya) tetapi dia menolak dan berkata aku takutkan Allah; (6) orang yang berderma secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak sedar apa yang didermakan oleh tangan kanannya; (7) dan mereka yang sentiasa menyebut (mengingati) Allah dimasa keseorangan (kesunyian), maka berlinanganlah air matanya.” 

Moga kita semua termasuk ke dalam golongan tersebut, serta dapat mengelakkan kita daripada merasa bahang kepanasan yang terlampau.


Ulasan

Srikandi berkata…
sudah bercuti sekolah d sana ek..sronok jejalan bersama keluarga.

semoga kita tergolong dalam 7 golongan yg dikatakan dalam hadis tu.ameen..
Aliza Yunus berkata…
Terima kasih MysDear,

Amin...

alhamdulillah anak-anak dah mula bercuti, tapi cuaca panas sangat, nak keluar rumah pun tak tahan sangat, jadi kami wujudkan aktiviti dalam rumah je.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas