Cerita Semalam - Perpustakaan

Alhamdulillah semalam saya sempat berkunjung ke sebuah perpustakaan di sini. Nak dijadikan cerita rupa-rupanya semalam juga adalah hari konvo pelajar-pelajar perempuan di situ. Namun begitu sambutannya tidak seperti majlis konvo di Malaysia, tidak ada sebarang poster ataupun apa-apa tanda majlis tersebut akan diadakan.

Jadi saya berkesempatan bertemu beberapa orang pelajar yang masih mengingati saya sebagai guru mereka suatu ketika dulu, alhamdulillah. Seronok bila mendengar cerita pelajar-pelajar yang dah tamat belajar ni termasuklah cerita honeymoon ke Malaysia.

Jangan tak tahu Malaysia adalah negara yang sentiasa termasuk ke dalam senarai orang-orang Oman berbulan madu. Kebanyakan wanita yang saya temui menceritakan bahawa mereka berkunjung ke Malaysia semasa berbulan madu. Malah ramai yang memasang impian ingin melawat Malaysia suatu ketika nanti.

Alhamdulillah saya sempat juga bertemu dengan pelajar yang pernah menyatakan hasrat hati beliau untuk berhenti belajar tiga tahun lepas. Semuanya kerana ingin menumpukan perhatian kepada 4 orang anak beliau yang masih kecil. 

Begitulah suasana hidup pelajar-pelajar perempuan di sini, yang kebanyakannya telah berkeluarga dan mempunyai anak. Sebenarnya waktu belajar sesi petang untuk pelajar perempuan adalah amat menyusahkan mereka untuk menimba ilmu, tambahan lagi pada waktu petang lah anak-anak berada dirumah dan perlukan layanan seorang ibu.

Ini adalah kerana tiga tahun lepas adalah tahun permulaan pengajian peringkat ijazah bagi pelajar-pelajar perempuan di sini. Jadi ramai bekas pelajar diploma sebelumnya memilih untuk menyambung belajar dalam situasi anak-anak yang sudah besar dan bersekolah.

Di sini kebiasaannya perpustakaan dijadikan tempat berkumpul sesama mereka, jadi suasana semalam begitu meriah dengan adegan pertemuan kembali setelah tamat belajar. Jadi tumpuan saya juga banyak tertanggu, namun begitu saya seronok melihat kegembiraan mereka berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pengajian Islam.

Ini kerana di sini tidak ramai wanita lulusan bidang agama, jadi merekalah harapan masyarakat untuk menimba ilmu agama. Semoga lebih ramai wanita yang terbuka hati untuk memilih bidang agama sebagai bidang pengajian mereka.

Teringat pula satu petikan dalam buku yang dibaca semalam mengenai wanita : "many people are unaware of the woman status in building and reforming the society, so they isolated her from knowledge and prevented her from approaching its source. This caused a confusion in the sound society"

Memang wanita amat perlu menuntut ilmu, terutama ilmu agama agar mereka mampu mengatur hidup keluarga mereka mengikut landasan syariat yang betul. Akan tetapi apa yang berlaku di dalam masyarakat Islam suatu ketika dulu, yang mana tidak membenarkan wanita belajar, telah melemahkan masyarakat Islam itu sendiri.

Wanita-wanita yang tidak berilmu inilah yang begitu mudah terpegaruh dengan pelbagai iklan di TV. Ramai yang tidak tahu memilih jenis-jenis makanan yang ada dipasaran, kerana tidak tahu membaca. Apatah lagi nak menggunakan teknologi yang ada hari ini seperti telefon, internet dan lain-lain.

Beberapa kali juga saya terserempak wanita yang menghulurkan handphone yang canggih kepada pemuda-pemuda, kerana ingin meminta tolong dailkan nombor telefon untuk mereka. Alhamdulillah suasana di sini masih aman, jarang kita bertemu dengan kejadian curi atau rompak, kalau di Malaysia alamak kena kebas lah telefon yang canggih tersebut.

Malah banyak lagi situasi negatif yang melibatkan wanita-wanita tidak berpelajaran. Moga ramai yang faham tentang kepentingan wanita menuntut ilmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman