Tumbuh-tumbuhan bukti Kebesaran Allah

Lama tak berkongsi disini mengenai alam dan manusia. Sesungguhnya apabila kita melihat kejadian Allah terasa betapa kerdilnya kita, betapa hebatnya aturan kejadian makhluk lain di dunia ini.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Bila melihat apa yang berlaku kepada tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita yang ternyata sentiasa bertenaga, walauapapun cabaran disekelilingnya. Bayangkan pokok-pokok yang tumbuh di padang pasir seperti aloevera, kaktus, kurma dan lain-lain, walaupun kekurangan air, tapi ia tetap tumbuh segar serta memberi manfaat kepada makhluk disekelilingnya.

Biasanya pokok-pokok yang tumbuh di kawasan panas begitu kuat, berduri serta pahit rasanya. Ini termasuklah kurma yang kelat dan pahit pada mulanya tetapi apabila masak menjadi begitu manis seperti madu. Subhanallah.

Alhamdulillah kami sudahpun merasa rutob pertama tahun ini, juga sempat merasa buah-buah kurma kecil yang pahit, sekadar ingin mengetahui apakah rasanya ketika belum masak. Apakah hikmah disebalik kejadian ini?

Teringat juga siri "safari" yang menceritakan tentang buah hanzalah yang selalu ditemui tumbuh meliar di padang pasir, memang ia amat pahit tetapi tetap memberi manfaat kepada insan yang terdampar dipadang pasir, sekurang-kurangnya dapat bekalan air daripada buah tersebut.

Buah 'hanzalah' ini ada disebut di dalam hadis tentang perumpamaan orang membaca quran, iaitu:
"Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran ialah seperti perumpamaan buah utrujah iaitu buah yang berbau harum dan rasanya enak. Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran ialah seperti Raihanah iaitu buah yang berbau harum tetapi rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran ialah seperti buah hanzhalah iaitu buah yang tidak ada bau sama sekali serta rasanya pahit."
 
Sesungguhnya setiap kejadian Allah ada manfaatnya untuk makhluk lain di alam ini. Begitu juga kejadian kita, jadi jangan sesekali kita terasa apa perlunya aku lahir ke dunia ini. Setiap insan ada  kelebihan yang mampu disumbangkan untuk keharmonian alam ini.
 
Berbalik kepada tumbuh-tumbuhan, sesungguhnya banyak ilmu yang dapat kita perolehi daripada kejadiannya. Jika terasa kurang bertenaga lihatlah pokok-pokok disekeliling kita, lihatlah betapa ia begitu gagah berdiri serta berbakti tanpa penat lelah. Paling kurang ia memberi manfaat melalui kehijauan warnanya, serta oksigen yang dihasilkannya. Subhanallah.
 
Bayangkan juga sekiranya kita berada di tempat gersang tanpa tumbuh-tumbuhan, apakah perasaan kita ketika itu? Paling tidak kita akan terasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah kita perolehi selama ini, betapa indah dan tenangnya hati bila melihat kehijauan alam. Betapa sayunya hati bila terpaksa mencari-cari dimanakah kehijauan itu.
 
Menurut Dr. Mustafa Mahmud dalam program tentang 'al-ilm wa al-iman':
"setiap akar pokok akan tumbuh ke bawah mengikut graviti dan air, manakala daun akan bergerak ke atas dan mengikut arah cahaya. Pokok melilit juga sebegitu bergerak ke atas, manakala pergerakan lilitannya adalah mengikut arah lawan jam."
 
Semua pergerakan pokok dan biji telah ditetapkan, pengurusan tumbuh-tumbuhan juga telah ditetapkan, pokok akan tumbuh subur apabila tiba waktunya. Namun begitu manusialah yang tidak memahami hukum ini serta melakukan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan kerana kerakusan mereka.  
 
Yang nyata setiap benda hidup mesti berusaha melepasi halangan bukannya terikut arus, itulah diantara ilmu yang mampu kita pelajari daripada pokok.
 
Setiap pokok mempunyai akar yang teguh menjalar dibumi, semakin besar pokok tersebut makin besar dan berserabut akarnya, seolah-olah satu alam lain bagi pokok tersebut. Begitu juga manusia, pastikan kita meneguhkan asas kita, walaupun kita tidak sama dengan tumbuh-tumbuhan, kerana semakin teguh keyakinan kita, makin mudahlah kehidupan kita.
 
Apakah manusia yang melihatnya pernah berfikir? Siapakah yang mengatur semua kejadian ini?
 
Begitu banyak keajaiban alam ini jika kita melihat dan menghayati dengan hati kita, begitu juga betapa hebatnya aturan perjalanan alam ini. Apakah kita masih belum yakin itulah gambaran daripada "لا إله إلا الله"
 
Semakin kita mendekati alam ini, makin terasa betapa kerdilnya kita.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظبم.
 
 
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas