Mana yang lebih teruk?

Semenjak beberapa hari lepas saya terfikirkan tentang bagaimana boleh berlaku perubahan dalam sikap dan amalan umat Islam.

Pada zaman dahulu tiada TV, internet, suratkhabar dan pelbagai lagi media yang kita miliki hari ini, penghayatan Islam di dalam masyarakat bercampur-aduk antara betul dan salah. Sepatutnya ia dapat dihayati secara keseluruhannya, tanpa pengaruh luar.

Terfikir-fikir juga apakah sumber yang mereka dapati untuk menghidupkan amalan Islam yang benar? Apakah ia warisan yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain? Mengapa sebahagian masyarakat amat berpegang teguh dengan agama manakala sebahagian lain begitu jahil?

Ya lah, bagaimana bentuk dakwah yang tersebar dalam masyarakat Islam dahulu, mengapa penghayatannya amat berbeza daripada apa yang kita fahami. 

Kemudian terasa betapa bertuahnya kita yang hidup di zaman ini, yang mana maklumat berada dihujung jari. Apa-apa saja kekeliruan dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah, sedangkan umat Islam dahulu terpaksa bersusah-payah untuk memiliki sedikit ilmu agama. 

Mungkinkah kesusahan itulah penyebab wujudnya amalan-amalan Islam yang dilakukan secara berkumpulan seperti zikir selepas solat, bacaan surah yasin beramai-ramai serta pelbagai lagi amalan lain. Bila berkumpul mereka dapat menguatkan keinginan untuk mengamalkannya, serta dapat merasai kemanisannya beramai-ramai.

Kemudian bila zaman berubah, datang generasi baru yang lebih pandai, maka pelbagai hukum diberikan kepada mereka sama ada bid'ah, sesat, khurafat dan lain-lain. Jadi tanpa menyelami apa yang berlaku dalam masyarakat dahulu, juga tanpa penghayatan yang mendalam wujudlah hukum-hukum baru yang ternyata berjaya mendekatkan sebahagian generasi kepada Islam, manakala sebahagian lagi terus hidup dalam kejahilan.

Hebatnya penyelesaian generasi lama kepada masalah yang mereka hadapi. Setiap masalah diatasi secara berkumpulan alhamdulillah. Hasilnya walaupun ilmu mereka tidaklah sebanyak mana, malah bercampur-aduk di antara betul dan salah, tetapi situasi sosial mereka masih terjaga.

Sememangnya cara mereka amat berbeza daripada kita, dalam limpahan ilmu dan maklumat di sana-sini, ramai umat Islam hanyut dibawa arus modernisasi dan globalisasi. 

Dalam kekurangan mereka, agama diletakkan didepan serta cuba dihayati secara berkumpulan. Alhamdulillah, itulah kebijaksanaan ulama zaman dahulu menyelesaikan masalah ummah disekeliling mereka. Kejahilan ummah diatasi dengan mengingatkan mereka dengan tarikh-tarikh penting dalam Islam, sekurang-kurangnya umat Islam sentiasa ingat bahawa mereka orang Islam. 

Ulama-ulama hidup dalam kesederhanaan, tugas dakwah dilakukan dengan mengutamakan masyarakat di sekeliling mereka. Pelajar-pelajar bidang agama pula dididik  dalam suasana yang mendidik mereka untuk menghayati apa yang mereka pelajari.

Terfikir juga mengapa jauhnya beza cara hidup masyarakat Islam hari ini?
Apakah kita masih meletakkan agama dihadapan ataupun kehidupan kita dipenuhi cita-cita memburu impian dunia semata-mata, dengan meletakkan agama sebagai sampingan.

Pada zaman ini, kita mampu membuat rujukan, meneliti setiap maklumat yang sampai kepada kita dengan mudah. Tapi apakah kita pernah melakukannya?

Kadang-kadang kita terlalu mudah mempercayai apa-apa saja yang kita terima dalam buku, suratkhabar, internet tanpa menapis terlebih dahulu. Mungkin bila dah banjir maklumat, rumahpun boleh roboh, diri juga boleh hancur.

Orang-orang zaman dahulu terpaksa bersusah-payah untuk memiliki sedikit ilmu, itulah sebabnya Rasulullah saw menekankan agar kita tidak menyembunyikan ilmu. Bila dapat sikit sebarkanlah yang sedikit itu.

Bezanya dalam masyarakat hari ini, ilmu yang mampu diperolehi begitu banyak serta daripada pelbagai perspektif. Bila ditambah sikap yang rajin, maka seseorang Muslim mampu memahami begitu banyak perkara, tapi ke arah manakah ilmu itu hendak dibawa?

Bayangkan jika kita membaca buku setiap hari, berapa banyakkah ilmu yang telah kita perolehi. Bila ditambah kerajinan mengaji al-quran, juga dilakukan setiap hari, subhanallah banyaknya ilmu yang mampu kita kumpulkan. Persoalannya ke arah mana ingin kita bawa ilmu-ilmu tersebut?

Jadi memiliki ilmu itu satu ujian buat kita, jadikanlah ia sebagai satu jalan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.

Mana yang lebih teruk?
Menghadapi kesusahan dalam kekurangan ataupun kesusahan dalam kebanjiran maklumat?

Bila kita menghadapi kesusahan dalam kekurangan, kita akan berusaha keras untuk menambah kekurangan tersebut. Kita lebih bijak mengagih-agihkan setiap benda yang kita miliki.

Akan tetapi bila kita sudah dibanjiri ilmu, kadang-kadang kita alpa dengan kemudahan tersebut. Kadang-kadang kesenangan boleh menyebabkan kita lalai. 

Sama-samalah kita fikirkan dan memperbetulkan mana yang perlu diseimbangkan. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus menjadikan ilmu sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Rabbi yassir wa la tuassir. 










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016