Beza Manusia dan Haiwan

Alhamdulillah seronok rasanya bila berkesempatan duduk bersama-sama anak-anak sambil menonton program tentang haiwan. Masing-masing memberikan pendapat tentang program yang ditonton tersebut.

Ketika itu terasa bertuahnya anak-anak hari ini kerana mereka berpeluang mendapatkan banyak maklumat tentang alam sekeliling mereka. Malah mereka dapat menghayatinya dan mengaitkan dengan alam kehidupan mereka.

Anak ketiga, Emad, bertanya: "Umi, menurut kenyataan dalam program tu, binatang yang mempunyai mata di sisi lebih jinak berbanding dengan binatang yang mempunyai mata di depan. Binatang yang mempunyai mata di depan lebih buas, apakah manusia juga buas "Muftarish" kerana manusia mempunyai mata di hadapan dan berdekatan antara satu sama lain?"

Alhamdulillah ayahnya sudi menjelaskan jawapan tersebut secara panjang lebar. Sekurang-kurangnya menyedarkan anak-anak realiti yang berlaku di alam ini.

Sanggupkah kita mendengar jawapan bahawa manusia adalah haiwan yang paling ganas di alam ini? Manusia mampu menghancurkan alam ini dengan segala tindak-tanduk mereka, sedangkan haiwan lain hidup secara harmoni dengan alam ini.

Ketika itu terasa betapa hebatnya kejadian makhluk di alam ini, lebih hebat lagi Pencipta kita. Kesemua haiwan memiliki rantaian tertentu dan saling berhubungan antara satu sama lain. Walaupun ada haiwan buas tapi mereka memiliki tahap-tahap keganasan yang terkawal, malah mereka menggunakannya dalam kadar tertentu.

Binatang akan memburu binatang lain sebagai makanan mereka, akan tetapi bila dah kenyang mereka tidak akan makan lagi, walaupun makanan mereka terhidang di depan mata mereka. Manakala lebihan makanan mereka dikongsi pula oleh haiwan yang lebih lemah.

Sifat ini amat berbeza daripada manusia, bila mereka kuat, mereka akan menekan orang-orang yang lemah. Bila ditambah dengan sifat tamak,  gelojoh, mementingkan diri serta banyak lagi sifat negatif, jadilah manusia lebih buruk daripada binatang.

Soalan kedua: "Bagaimana agaknya Nabi Nuh membawa semua jenis binatang, tumbuh-tumbuhan dan manusia dalam bahtera baginda? Mengapa binatang buas tidak memakan manusia ataupun binatang-binatang lain semasa dalam bahtera tersebut?

Jawapan saya ala kadar, sebagai bukti mukjizat Nabi Nuh a.s. Jika kita nak cari logiknya memang tidak sampai di akal kita, mana mungkin semuanya boleh berada dalam satu tempat dan boleh hidup harmoni?

Namun tidak mustahil suatu ketika manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan boleh hidup aman damai. Mungkinkah itu akan terjadi?


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas