Bezanya...

Tiba-tiba teringat satu perkara yang agak menarik untuk sama-sama kita fikirkan, iaitu perbezaan antara perbuatan orang-orang yang tahu dan orang yang buat-buat tahu.

Ini berdasarkan pemerhatian selama berada disini, iaitu bagaimana memilih imam untuk solat berjemaah?

Setelah lebih setengah tahun kami mengikuti program bersama-sama orang-orang Arab, yang mana kesemua mereka adalah pensyarah-pensyarah pinjaman daripada Universiti Al-Azhar dan Universiti Khartoum di Sudan yang bertugas sama-sama dengan suami saya.

Satu situasi yang agak menarik untuk dikongsikan ialah tentang sikap mereka ketika memilih imam tiap-tiap kali solat maghrib dan isyak berjemaah. Pada mulanya saya agak pelik bila melihat sikap tolak-menolak di antara mereka, siapa yang akan jadi imam, terutama apabila syeikh yang lebih tua tidak hadir.

Bila difikirkan balik, barulah teringat bahawa inilah sikap memuliakan orang yang lebih berilmu untuk menjadi imam dalam solat. Ya lah kesemua mereka adalah pakar dalam bidang tajwid, fiqh, hadis, lughah, usul fiqh, jadi siapakah yang lebih layak untuk mengimani solat sesama mereka.

Program kami pun hanyalah program untuk mereka melepaskan letih bekerja tiap kali hujung minggu, jadi anak-anak dan isteri dapat turut serta. Alhamdulillah.

Ada di antara mereka mempunyai salsilah keturunan yang sampai kepada para sahabat Rasulullah saw, ada yang sudah mempunyai pangkat Professor dalam bidang mereka. Namun begitu sikap merendah diri sesama mereka masih lagi wujud, alhamdulillah.

Namun begitu situasi ini amat berbeza apabila kami menghadiri program berbentuk keagamaan yang dianjurkan oleh orang-orang Malaysia. Orang kita agak mudah menerima, tanpa memeriksa diri sendiri dahulu, juga tanpa melihat apakah ada diantara makmum mereka lebih berilmu daripada mereka.

Jadi orang yang menganggap diri mereka layak menjadi imam akan terus ke hadapan menjadi imam solat berjemaah, ataupun mungkin telah dipilih oleh tuan rumah. Jadi tidak nampak situasi tolak-menolak sesama mereka berlaku seperti yang selalu saya lihat sebelum ini.

Bila diimbas kembali program semasa di universiti, saya teringat kata-kata penceramah yang ingin menarik minat golongan pelajar lelaki agar melatih diri untuk menjadi imam solat. Jadi ramai daripada kita telah dilatih semenjak belia untuk menjadi imam solat, jadi mereka dengan mudah menerima tugasan tersebut tiap-tiap kali disuruh untuk menjadi imam solat.

Mungkinkah penceramah kita terlupa satu perkara penting yang perlu diambilkira iaitu mengambilkira status ilmu makmum mereka. Jadi orang yang dipilih untuk menjadi imam melihat dulu siapakah yang akan menjadi makmum mereka.

Sama-samalah kita fikirkan...




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman