Cerita Seorang Raja...

Alhamdulillah saya telah berkesempatan membaca beberapa buah buku-buku motivasi barat pada bulan lepas, diantaranya buku 'The Magic of Thinking Success' oleh Dr. David J Schwartz, 'Iktashif nafsika min jadid' buku terjemahan daripada bahasa Jerman tulisan Kurt Tepperwein, serta sebahagian daripada buku 'The secret' yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. 

Dalam masa yang sama sempat membaca beberapa buah buku Arab yang agak menarik pada pandangan saya. Inilah rezeki bila berkunjung ke perpustakaan, membaca buku disana tidak sama dengan membaca dirumah.

Bila membaca dirumah, fokus kita akan lari ke tempat lain, memikirkan urusan rumahtangga yang tidak habis-habis. Akan tetapi apabila berada di perpustakaan kita akan lebih fokus kepada matlamat yang kita gariskan sebelum masuk ke situ.

Apa yang ingin saya kongsikan disini ialah tentang satu cerita yang diulangcerita dalam kebanyakan buku motivasi barat iaitu tentang Raja dan pemikir hebat di negara mereka.

Apa yang saya ingat sudah beberapa kali saya bertemu dengan cerita tersebut sebelum ini, ditulis dalam buku-buku motivasi lain yang pernah saya baca.

Akan tetapi kali ini saya sempat mencatatkannya untuk rujukan saya pada masa hadapan, iaitu cerita seorang raja yang mengarahkan pemikir-pemikir dinegara beliau menulis buku yang dapat mengumpulkan semua ilmu hebat disitu. Akhirnya terhasillah 100 buah buku, kemudian baginda menyuruh dikurangkan kepada sebuah buku agar senang dirujuk oleh rakyat jelata.

Selepas beberapa tahun para bijakpandai tersebut berjaya menghasilkan sebuah buku, ringkasan daripada buku-buku sebelumnya. Akhirnya raja menyuruh mereka menghasilkan satu ayat sahaja, dan mereka menghasilkan ayat "Anda juga kreatif, segala sesuatu adalah mungkin".

Cerita yang lebih kurang sama diceritakan dalam buku 'The Magic of thinking Success' akan tetapi bersandarkan soalan "What it takes to become a success?". Para pemikir mengambil masa 10 tahun untuk mendapatkan jawaban kepada soalan tersebut, dimana mereka kembali dan menyerahkan 24 buah buku kepada sang Raja.

Kemudian Raja menyuruh mereka mengurangkannya isinya, setelah 10 tahun berlalu mereka berjaya menghasilkan sebuah buku, dan setelah diserahkan kepada Raja mereka disuruh memilih satu ayat sahaja yang boleh dijadikan panduan rakyat jelata. Setelah 10 tahun lagi berlalu mereka datang dan menyerahkan satu ayat "There is no free lunch". 

Apakah maksud tulisan saya disini? 
Sebenarnya apa pun ayat yang dihasilkan, semuanya bermaksud ingin memberi motivasi kepada pembaca. Begitu juga kita, jika kita mengambil kata-kata yang kita dengar atau baca secara positif, ia akan dapat mendorong kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik.

Lebih bertuahlah sesiapa yang mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan mereka setiap hari, kerana sebuah Kitab suci tersebut telah mengandungi pelbagai hikmah yang tiada bandingannya.

Betapa bertuahnya umat Islam, jalan hidup kita telah disuluh dengan panduan-panduan yang begitu berharga, sama ada Quran ataupun hadis, jika kita melihatnya secara positif.
Fikir-fikirkanlah...





  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016