Cyclone Phet di Oman

Alhamdulillah hari ini matahari memancar dengan terang setelah seharian hujan semalam. Rupa-rupanya Oman dilanda angin monsun lagi seperti yang berlaku pada 2007 lepas.

Mengikut laporan awal ia dijangka lebih kuat daripada Gonu 2007 tapi alhamdulillah ia tidaklah seteruk yang diramalkan malah persediaan awal telah menyelamatkan keadaan. 

Sebenarnya kami tidak mengetahui tentang ramalan tersebut, cuma melihat begitu banyak kereta berderet-deret ke Lulu Darsait sewaktu mengambil anak perempuan dari rumah kawannya. Dari situlah kami tahu bahawa Cyclone Phet dijangka melanda Oman pada Khamis lepas.

Disebabkan berita tersebut kami terpaksa membatalkan aktiviti mingguan di pantai, malah pada awalnya berniat untuk membatalkan sama program pada sebelah petang. Akan tetapi anak-anak tetap mendesak, jadi kami tetap menjadi pengunjung setia taman Qurum pada sebelah petangnya. Kali ini suasana di taman begitu sunyi, tidak ramai pengunjung seperti biasa.

Alhamdulillah seronok berada di taman setelah lebih sebulan kepanasan, tapi kali ini suasana begitu tenang dan angin bertiup menyejukkan suasana. Inilah juga peluang untuk melihat buah-buah kurma yang sudah berubah menjadi kuning dan merah, serta separuhnya sudah masak.

Alhamdulillah betapa terasa Rahmat-Nya apabila cuaca berubah menjadi sejuk pada minggu ini, malah air juga tidak sepanas dulu. Ketika umat Islam diseluruh dunia sibuk dengan tunjuk perasaan membantah kekejaman Israel, kami di Oman berdebar-debar menunggu kedatangan angin monsun kali ini.

Cyclone Phet kali ini melanda kawasan Syarqiyyah dan Masirah pada hari Khamis, kami di Muscat cuma merasai hujan dan angin yang bertiup lebih laju daripada biasa semalam.

Sebenarnya berita sensasi yang disebarkan menyebabkan kami menjadi risau, malah laporan akhbar menyatakan inilah ribut yang terkuat akan melanda Oman semenjak 1948. Apa yang diwar-warkan ialah ribut ini mampu meruntuhkan rumah dan menterbalikkan pokok-pokok.

Alhamdulillah kali ini kami tidak terasa risau sangat, kerana sudah memahami apa itu angin monsun, bak musim tengkujuh melanda Kelantan, jika hujan berlarutan lama banjir akan berlaku. Malah ketinggian ombaknya tidak setinggi dan sekuat ombak yang melanda pantai-pantai di Kelantan ketika hujung tahun.

Malah hujan semalam yang berpanjangan telah menyebabkan kejadian banjir dibeberapa tempat. Bagi kami ia berlaku kerana kesilapan dalam merancang pembangunan dan pembinaan jalanraya dan rumah.

Jika dilihat kebanyakan jalan utama dibina dikawasan rendah dan laluan air, jadi setiap kali hujan jalan tersebut akan tenggelam. Malah tidak ada sistem perparitan seperti yang dapat kita lihat di Malaysia, jadi banjir mudah berlaku.

Alhamdulillah sekarang ini banyak jalanraya utama sedang diperbaiki, dibina lebih tinggi daripada biasa hasil kejadian Gonu yang lepas, namun begitu belum sempat diperbaiki sepenuhnya, angin monsun datang lagi.

Moga hujan kali ini memberi lebih banyak keberkatan kepada bumi Oman, mator Rahmah wa barakah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman