Lari ke Mana?

Sedikit perkongsian tentang revolusi di Tunisia...
Disebabkan tunjuk perasaan yang berlangsung dekat sebulan, presiden Ben Ali tidak tahan dan mengambil keputusan melarikan diri daripada Tunisia.

Ramai yang terkejut dengan tindakan tersebut kerana ia dibuat tidak sampai sehari selepas ucapan beliau disampaikan yang menyatakan bahawa beliau tidak akan menyertai pertandingan merebut jawatan presiden untuk kali seterusnya.

Sebelum itu beliau memberi ucapan memberitahu rakyat bahawa kerajaan akan menyediakan 30 ribu peluang pekerjaan pada tahun depan. Akhir-akhir ucapan beliau...ana fahimtum.. ana fahimtum...saya mengerti apa kehendak anda semua...

Apa yang ingin saya kongsikan disini ialah apabila tindakan itu dibuat dalam keadaan terdesak, maka apa yang berlaku tidak memenuhi keinginan hati beliau. 

Ketika laporan dibuat, rakyat Tunisia tidak tahu Presiden mereka lari ke mana, ada laporan mengatakan bahawa beliau ke Malta, ada yang menyatakan Perancis, ada yang menyatakan beliau lari ke Libya. Akhirnya pagi semalam kenyataan terjawab apabila kapalterbang peribadi Presiden Ben Ali mendarat di Saudi Arabia.

Malah laporan lanjut memberitahu bahawa kapalterbang tersebut terpaksa berada lama diudara kerana mereka terpaksa mencari-cari negara mana yang sudi menerima mereka untuk mendarat. Ini kerana kerajaan Perancis, yang merupakan rakan rapat presiden tidak mahu menerima Presiden Tunisia untuk mendarat disitu. Begitu juga US serta beberapa buah negara lain menolak.

Akhirnya mereka terpaksa menerima ketentuan untuk mendarat di Arab Saudi walaupun Presiden Ben Ali memang tidak menyukai Saudi. Beliau juga terpaksa menerima pelbagai syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi...seolah-olah berada dipenjara walaupun berada di Arab Saudi.

Namun begitu isteri beliau masih berada di Dubai, kerana menghadiri sambutan tahun baru disana. Kemudian ramai kaum-kerabat Al-Tarabulsi (keluarga isteri presiden) juga cuba melarikan diri dengan membawa harta-benda masing-masing tetapi disekat oleh rakyat Tunisia.

Sebenarnya merekalah yang banyak mendapat keuntungan semasa pemerintahan presiden Ben Ali, mereka bertindak seolah-olah merekalah pemerintah Tunisia. Mereka bertindak merampas harta rakyat, mencuri harta rakyat, malah merekalah penyebab huru-hara semasa revolusi. Rakyat membenci perbuatan wanita pertama dan ahli keluarga beliau, akhirnya itulah kesudahan pemerintahan Ben Ali.

Ada penganalisa politik yang tidak bersetuju presiden tersebut berada di Arab Saudi kerana mereka menganggap beliau berada dalam negara 'Kiblat' orang Tunisia. Namun begitu beliau tidak akan lepas begitu saja kerana rakyat Tunisia meminta untuk beliau diadili dimahkamah.

Moga apa yang berlaku di Tunisia menjadi iktibar buat pemimpin-pemimpin lain yang cuba mengkhianati rakyat, juga menjadi iktibar buat keluarga 'Tarabulsi' ditempat lain agar berhati-hati dengan harta rakyat.

Dunia sekarang 'sudah sempit', lari kemanapun dapat dikesan...jadi ke mana lagi penjenayah politik ingin lagi?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016