Ahlan Wasahlan 2011

Pagi-pagi lagi anak-anak sibuk bersiap untuk ke sekolah setelah seminggu bercuti. Masing-masing begitu seronok untuk belajar, apatah lagi hari ini merupakan hari pertama dalam tahun 2011.

Anak ketiga Emad begitu seronok mengira..."lagi sebelas hari birthday saya, saya akan masuk 10 tahun".  Entah apa lagi yang difikirkannya setelah berbahas tentang kisah nabi-nabi semalam.

Berbagai-bagai soalan ditimbulkannya tentang 'ciptaan manusia hari ini', kemudian dijawab berpandukan kisah nabi-nabi. Sebagai contoh orang yang pertama terbang ialah Nabi Sulaiman, terbang dengan bantuan angin, bukannya Abbas bin Farnas, orang pertama membuat kapal laut ialah Nabi Nuh. "Mesti besarkan kapal Nabi Nuh..boleh memuatkan orang, binatang dan tumbuh-tumbuhan".

Bila dia mula berfikir, sayapun mesti berfikir sama...begitulah anak-anak.

Alhamdulillah, bila anak-anak berfikir berpandukan kisah-kisah Rasul, mereka akan nampak keindahan Islam. Sekurang-kurangnya mereka akan nampak bahawa dalam Islam ada pembangunan, bermula daripada zaman Nabi Adam lagi.

Umat Islam bukannya hidup tidak bertamadun sebagaimana yang selalu digambarkan, malah tamadun Islam bermula lebih awal, jika kita soroti kisah nabi-nabi. Bayangkan Nabi Nuh dengan bahtera baginda..nabi ketiga dalam salsilah nabi-nabi sudah mampu membina bahtera. Kemudian dalam kisah Nabi Yunus juga menceritakan tentang Nabi Yunus menggembara menaiki kapal laut.

Bila kita membaca tentang kisah Nabi Yusuf pula kita akan belajar tentang pentadbiran dan perancangan dalam Islam, jika kita meneliti kisah Nabi Sulaiman, kita dipersembahkan dengan cerita bangunan istana yang hebat, cerita bagaimana jin-jin bekerja atas arahan Nabi Sulaiman dsb...

Jika al-Quran menggambarkan kepada kita tentang keadaan umat manusia sebelum zaman Nabi Muhammad, serta azab yang dikenakan kepada mereka diatas kedurhakaan mereka, maknanya banyak ilmu yang mampu kita perolehi daripadanya.

Oleh sebab itu banyak ayat quran menyebutkan tentang suruhan berjalan-jalan dimukabumi ini serta mengambil pelajaran daripada kisah-kisah yang lampau. Itulah sumber yang mampu meneguhkan keimanan kita.

Perhatikan juga betapa hebatnya tamadun manusia zaman dahulu, akan tetapi ia lebih kepada pembangunan material, sedangkan jika kita menggembara di alam siber hari ini, kita akan mampu meneroka kehebatan spiritual. Subhanallah...

Jadi semakin lama kita menggembara dialam nyata dan alam spiritual, kita akan terasa betapa Agungnya Allah swt. DIA menciptakan manusia dengan pelbagai kelebihan yang tidak mampu kita gambarkan.

Setiap insan mempunyai kelebihan sendiri, yang amat berbeza diantara satu dengan yang lain, jadi hargailah diri kita, serta setiap insan yang kita temui, kerana kita dijadikan dengan tujuan-tujuan tertentu, untuk menyempurnakan antara satu sama lain.

Sorotilah perjalanan hidup kita, pasti akan kita temui satu fasa yang begitu bermakna...namun begitu masa sentiasa bergerak, fasa tersebut mungkin telah berlalu, tetapi kita masih mampu untuk memulakannya sekali lagi.

Apakah kedatangan 2011 ini merupakan fasa untuk kita memulakan semula kehebatan diri kita? Sama-samalah kita mulai tahun baru ini dengan lafaz 'bismillah...', moga Allah memberkati kehidupan kita ditahun baru ini.

Ahlan Wa sahlan 2011...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016