Salah Ikutan

Alhamdulillah hari ini saya ingin berkongsi lagi cerita tentang revolusi di Tunisia, moga menjadi panduan dan teladan buat kita semua dalam mengatur hidup dialam ini.

Sebenarnya banyak cerita positif tentang apa yang berlaku disitu, insya Allah akan saya kongsikan kemudian, akan tetapi hari ini saya ingin kongsikan tentang silap faham masyarakat luar Tunisia tentang apa yang berlaku disana. Maka wujudlah trend baru dinegara-negara jiran iaitu membakar diri, ala-ala tindakan BouAzizi 'hero Tunisia'.

Alkisahnya BouAzizi dinafikan haknya untuk berniaga, yang mana haknya dirampas oleh penguatkuasa kerajaan Tunisia ketika itu. Jadi beliau telah melakukan satu tindakan berani mati iaitu membakar diri, demi mempertahankan maruah beliau, serta memprotes tindakan kerajaan, sehinggalah beliau menemui maut, kemudian kisahnya dijadikan titik mula revolusi di Tunisia.

Penganalisis politik menyatakan tindakan tersebut telah membangkitkan semangat rakyat Tunisia yang telah lama tertekan, yang mana kemarahan rakyat terus membara hinggalah Presiden Ben Ali lari meninggalkan Tunisia Jumaat lepas, tanpa mengumumkan apakah beliau ingin meletak jawatan ataupun tidak.

Hasil kejayaan tersebut, maka tindakan tersebut dijadikan ikutan dinegara jiran Tunisia, iaitu di Algeria, Mauritania dan Mesir, atas sebab berbeza.

Di Algeria, seorang bapa kepada 2 orang anak telah bertindak membakar diri kerana tidak mendapat kerja yang dipohon. Manakala di Mesir ada empat kejadian seumpamanya, yang mana ia membuatkan TV Al-Jazeera mengulas lanjut tentang tindakan sebegini.

Rupa-rupanya ramai insan yang ingin menjadi hero untuk dikenang, tapi telah tersalah faham tentang apa yang diikuti tersebut, apakah betul atau tidak dari sudut pandangan agama. Mereka terlupa bahawa tindakan tersebut termasuk ke dalam cara membunuh diri dan tidak dibenarkan didalam Islam. Inilah yang dikatakan 'salah ikutan'.

Dalam banyak fakta positif kesan revolusi Tunisia, tindakan negatif juga yang lebih menonjol untuk menjadi ikutan. Moga umat Islam faham tentang apa yang berlaku disana, serta sama-samalah kita berdoa agar Allah mengurniakan kebaikan untuk umat Islam seluruh alam.

 
p/s - Mufti Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa mengharamkan tindakan membakar diri untuk protes sesuatu, malah ada tindakan melarang menjual petrol dalam botol juga dikeluarkan sebagai jalan untuk mengurangkan tindakan membakar diri sebegitu.
Laporan semalam juga memberitahu bahawa 2 lagi kes yang seumpama ini berlaku di Algeria...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman